Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenerima biasiswa PPIS-LBKM mahu kaji darah haid, kesan masalah rahim awal
Penerima biasiswa PPIS-LBKM mahu kaji darah haid, kesan masalah rahim awal
Bolehkah sesuatu yang dibuang wanita setiap bulan membantu menamatkan penantian bertahun-tahun untuk mendapatkan diagnosis endometriosis?
Rasa sakit akibat haid sering dianggap sebagai perkara biasa bagi ramai wanita, namun bagi Cik Nur Syahirah Ruhazat, 28 tahun, ia bukan sesuatu yang patut dipandang remeh.
Ini disebabkan pengalamannya melihat rakan-rakannya bergelut dengan kesakitan akibat haid, sebelum akhirnya mendapat tahu mereka menghidap keadaan seperti endometriosis atau PCOS (Sindrom Ovari Polisistik).
Endometriosis ialah keadaan perubatan kronik apabila tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim tumbuh di luar rahim.
PCOS pula merupakan gangguan hormon dan metabolik yang menjejas fungsi rahim.
Terdetik satu persoalan besar dalam fikiran Cik Syahirah: bagaimana jika darah haid itu sendiri boleh membantu mendedahkan sama ada terdapat perkara yang tidak kena?
Kini, penyelidik PhD dalam bidang Genetik (Bioinformatik) di Institut Pasteur, France, itu sedang mengkaji sama ada darah haid, yang lazimnya dibuang setiap bulan, boleh digunakan sebagai alat yang mudah diakses dan tidak invasif untuk mengesan endometriosis lebih awal.
Beliau merupakan penerima Biasiswa PPIS-LBKM 2026, sekali gus menjadi penerima kelima sejak kerjasama itu dimulakan. Sebelum ini, beliau pernah menerima Biasiswa Merit Pascasiswazah LBKM pada 2025.
Minat Cik Syahirah terhadap kesihatan wanita mekar secara beransur-ansur selepas beliau melihat sendiri bagaimana sakit haid yang teruk boleh dianggap sebagai perkara biasa.
Seorang rakannya mengalami senggugut yang begitu teruk sejak usia muda sebelum akhirnya didiagnosis dengan endometriosis ketika berusia 22 tahun.
“Bila kita muda, orang selalu anggap sakit akibat haid adalah normal. Kita fikir memang sepatutnya sakit atau darah memang banyak. Tapi ada satu tahap apabila kesakitan itu begitu teruk sehingga menjejas kehidupan. Itu mungkin petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Pengalaman itu membuat beliau sedar bahawa ramai wanita mungkin hanya mengetahui tentang keadaan seperti endometriosis atau PCOS selepas bertahun-tahun menanggung simptom.
“Saya berada pada satu tahap dalam kehidupan dimana saya perlu fikir apa yang mahu saya kaji. Saya sedar saya berada dalam kedudukan yang membolehkan saya melakukan sesuatu mengenainya (endometriosis),” katanya.
Dalam penyelidikannya, Cik Syahirah menggunakan bioinformatik, bidang yang menggabungkan biologi, sains komputer dan statistik, untuk meneliti data biologi.
Secara khusus, beliau mengkaji mutasi somatik, iaitu perubahan pada DNA yang berlaku secara spontan dalam sel, bagi melihat sama ada maklumat sedemikian boleh dikesan melalui darah haid dan seterusnya membantu memahami endometriosis.
Menurutnya, salah satu kelebihan utama darah haid ialah kebolehcapaiannya.
“Kita tidak perlu mengambil darah. Ini sesuatu yang wanita memang keluarkan setiap bulan,” ujarnya.
Beliau berharap kajiannya kelak dapat membantu wanita mendapatkan diagnosis lebih awal dan melalui kaedah yang kurang invasif berbanding pembedahan.
Cik Syahirah juga melihat biasiswa yang diterimanya itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap perjalanan akademiknya, tetapi satu amanah.
Beliau yang bercita-cita menjadi saintis sejak sekolah menengah berkata sokongan itu mengingatkannya bahawa penyelidikan harus membawa manfaat kepada masyarakat.
Bagi beliau, kejayaan kajian itu akhirnya harus diukur melalui perubahan yang dirasakan wanita dalam kehidupan mereka.
“Ia mengingatkan saya untuk betulkan niat. Banyak penyelidikan dibiayai oleh masyarakat, jadi kita mempunyai tanggungjawab memastikan apa yang kita kaji benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.