Melihat keperluan adanya wadah untuk belia lebih yakin untuk menulis dan mengutarakan isu yang sedang berlaku, penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, mengorak langkah menubuhkan sebuah kolektif untuk mengisi kekosongan itu.
Digelar Meja Conteng, ia bertujuan memastikan suara belia terus didengari dalam arus dunia yang penuh dengan pendapat yang berbeza.
Pengasas bersama Meja Conteng berusia 28 tahun itu, yang kini sedang mengikuti program Dwisarjana terbaru dalam Teknologi & Hal Ehwal Global di Sciences Po Paris, Perancis dan Universiti IE di Madrid, Sepanyol, berkata:
“Meja conteng (ditubuhkan) untuk melestarikan satu wadah di mana suara orang muda akan terus berkembang dan juga terus didengari di masyarakat yang semakin pesat dengan pendapat yang berbeza atau bercanggah.
“Saya mahu membimbing generasi penulis muda agar mereka lebih yakin menyuarakan pandangan, membina nama, dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam dunia penulisan di Nusantara.”
Beliau, yang juga penasihat bagi kolektif pantun belia yang lain – Rumah Rima – menubuhkan Meja Conteng bersama dua temannya, Encik Fadhli Fadzil dan Encik Hidayat Nordin pada 2024.
Cik Aisyah menegaskan makna sebenar kejayaan tidak terletak pada kemenangan anugerah semata-mata.
Lebih penting lagi ialah keupayaan membina sebuah masyarakat yang dapat terus memberi inspirasi kepada orang lain.
Beliau menambah penulisan merupakan alat yang mampu mencapai matlamat tersebut, sekali gus memberi kesan berterusan.
“Penulisan dianggap sebagai satu kejayaan apabila ia memberi kesan yang berkekalan dan membantu membina suara masyarakat yang prihatin terhadap masa depan serta persekitaran mereka.
“Ini di samping karya itu berjaya menjadi titik perbualan bagi pembacanya,” ujarnya.
Cik Aisyah mempunyai ijazah sarjana muda dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi) dalam bidang Pengajian Global dan Pengajian Melayu dari Fakulti Kesenian dan Sains Kemasyarakatan (FASS) NUS.
Kejayaan ini dicapai selepas beliau menghadapi cabaran besar, apabila 33 permohonannya ke universiti tempatan dan luar negara ditolak dalam tempoh dua setengah tahun, berikutan keputusan GCE A-Level yang kurang memberangsangkan.
Badai tidak berhenti melanda di sana.
Selaku anak sulung dalam empat beradik, beliau terpaksa menjadi tonggak keluarga apabila ibu dan ayahnya dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) pada 2021, akibat tumor otak (ibu) dan angin ahmar (bapa).
Namun, ia tidak mematahkan semangatnya yang terus berusaha keras untuk menggapai kejayaan.
Beliau telah mewakili Singapura dalam pelbagai persidangan antarabangsa di Brunei dan Indonesia di Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) bagi kategori puisi dan cerpen.
Ini di samping meraih Hadiah Rakyat Global Batul Izzuddin 2022, Anugerah Gemilang Mendaki, dan Anugerah Cemerlang Mendaki.
Beliau juga pernah memenangi Pertandingan Puisi Kebangsaan Singapura pada 2020 dan 2024, Peraduan Menulis Sajak Berita Harian 2024, Hadiah Sulam Kalam 2021, dan Pena Bicara 2021.
Antara pencapaian tertinggi beliau adalah menulis dan mempersembahkan puisi penghargaan untuk mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong pada 2024.
Selain itu, beliau mendapat sebutan khas atau Honourable Mention sebanyak tiga kali dalam Anugerah Pena Emas (Golden Point Award), pertandingan penulisan kebangsaan yang paling berprestij di Singapura.
Beliau turut menyumbang kembali kepada masyrakat dengan menjadi sukarelawan Mendaki dari 2015 hingga 2018 dan pada 2023 sebagai mentor utama, membimbing belia yang melalui keadaan sepertinya.
Selepas mengharungi bermacam rintangan dan kejayaan, Cik Aisyah ingin anak muda terus percaya pada diri mereka dan cekal mengharungi cabaran.
“Kejayaan akan terasa lebih manis setelah anda berjaya mengatasinya.
“Halangan itu pasti dapat diharungi, dan ia akan membuktikan kepada anda bahawa anda sebenarnya jauh lebih kuat daripada yang anda sangkakan,” ujarnya.
Kini, sembilan bulan sejak penubuhannya, Meja Conteng telah berkembang menjadi gerakan 18 penulis muda dan menerbitkan sebuah zine, ‘O Live: Art Peace for Solidarity’, serta mendermakan keuntungan yang diraih kepada satu inisiatif biasiswa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg