Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerima Jauhari Harapan muhasabah diri, terus semangat mahu bantu masyarakat

Oct 25, 2024 | 9:00 PM
Bagi penerima Jauhari Harapan Berita Harian 2024, Cik Zulayqha Zulkifli, keputusannya menyumbang semula kepada masyarakat bukan sekadar untuk melakukan kebaikan, tetapi ia cara memberi penghormatan kepada individu yang pernah membantunya di kala beliau kesempitan tidak lama dulu.
Bagi penerima Jauhari Harapan Berita Harian 2024, Cik Zulayqha Zulkifli, keputusannya menyumbang semula kepada masyarakat bukan sekadar untuk melakukan kebaikan, tetapi ia cara memberi penghormatan kepada individu yang pernah membantunya di kala beliau kesempitan tidak lama dulu. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menyumbang semula kepada masyarakat bukan sekadar untuk melakukan kebaikan tetapi satu cara memberi penghormatan kepada yang pernah membantunya di kala kesempitan, kata penerima Jauhari Harapan Berita Harian 2024, Cik Zulayqha Zulkifli.

Semasa berucap kepada sekitar 230 hadirin dalam majlis penyampaian anugerah di Four Seasons Hotel Singapore pada 25 Oktober, pekerja sosial berusia 30 tahun itu berkongsi bahawa langkah menyumbang semula memastikan beliau berpijak di bumi nyata dan fokus pada misinya – memperkasa masyarakat sedaya mampu.

Cik Zulayqha, yang juga pengasas bersama Project Hills, berkata: “Saya selalu percaya bahawa apabila kita mencatatkan peningkatan, kita perlu bantu mempertingkatkan orang lain bersama.

“Cabaran yang telah saya hadapi membentuk jati diri saya, dan saya merasakan tanggungjawab mendalam untuk menyumbang semula kepada masyarakat yang telah menyokong saya.”

Beliau menubuhkan daya utama itu bersama abangnya, Encik Zulhaqem Zulkifli, pada April 2020 bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik dan keluarga yang tinggal di rumah sewa.

Antara lain, daya utama itu mengagihkan makanan, memberi sokongan emosi dan memperjuang nasib keluarga yang tinggal di flat rumah sewa agar mereka tidak berasa dipinggir oleh masyarakat.

Di samping itu, beliau menekankan bahawa penerimaan anugerah sedemikian merupakan detik untuk “bermuhasabah diri” kerana beliau sedia maklum bahaya memuji diri sendiri.

Ini memandangkan sesuatu anugerah boleh membuat seseorang mudah “naik kepala”, tambahnya.

Bahkan, beliau menyifatkan penerimaan mana-mana anugerah bak “jam loceng” yang “menyedarkan diri”.

“(Anugerah sedemikian) memberi peringatan kepada kita supaya tidak menjadi leka tetapi bermuhasabah dengan hasrat dan hala tuju kita melangkah ke masa hadapan.

“Anugerah ini bukanlah satu destinasi tujuan; ia satu ‘senggolan’, satu peringatan untuk kekal rendah hati dan cekal dalam mencapai tujuan.

“Ia bukanlah petanda untuk berhenti (bekerja keras), tetapi untuk teruskan (misi) dengan integriti dan kesedaran tinggi yang lebih tinggi,” ujar Cik Zulayqha.

Sejauh ini, Project Hills berjaya membantu lebih 2,000 keluarga dari 11 blok sewa dan menggembleng tenaga 150 relawan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg