Daripada penerima, kini jadi penyumbang: Zakat hidupkan semangat memberi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daripada penerima, kini jadi penyumbang: Zakat hidupkan semangat memberi

Pengalaman peribadi ustaz yang dulu terima zakat, kini urus bantuan zakat bagi golongan susah
Mar 13, 2026 | 5:30 AM

Daripada penerima, kini jadi penyumbang: Zakat hidupkan semangat memberi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
zakat
Ustaz Muhammad Hazim Mohamed Yasin (tengah), pernah menerima bantuan zakat suatu ketika dahulu. Ia mencetuskan semangat dalam diri beliau untuk menyumbang semula kepada masyarakat, sesuatu yang beliau lakukan sekarang. - Foto MUIS

Bagi sesetengah orang, berhenti meminta bantuan adalah sesuatu yang sukar.

Namun, pengalaman Ustaz Muhammad Hazim Mohamed Yasin, menerima bantuan pada suatu ketika dahulu menjadi titik perubahan yang mencetuskan dalam dirinya satu misi hidup yang lebih besar iaitu menyumbang kembali kepada masyarakat.

Daripada seorang penerima bantuan, beliau kini bertanggungjawab dalam urusan menyampaikan bantuan kepada orang.

“Yang mendorong saya adalah apabila melihat adanya inisiatif baik untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

“Ia memberi inspirasi kepada saya untuk turut melakukan perkara sama,” ujar Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) Masjid Assyakirin, di Yung An Road, di Taman Jurong itu.

Semangat menyumbang itu ditonjolkan melalui pelibatan beliau di Masjid Assyakirin dengan tugas mengurus bantuan zakat kepada golongan memerlukan.

Program itu membantu memastikan bantuan zakat di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sampai kepada asnaf, iaitu golongan berhak menerima zakat, termasuk keluarga yang memerlukan sokongan.

ZAKAT BUKTI PRIHATIN MASYARAKAT

Walaupun bantuan yang dihulurkan mungkin kelihatan sederhana, kesannya sangat besar kepada penerima kerana ia menunjukkan mereka tidak bersendirian dan sentiasa ada anggota masyarakat yang prihatin.

Menurut Ustaz Hazim, berdasarkan pengalamannya sendiri, setiap bantuan yang diberi bukan membantu menampung keperluan harian, bahkan memberi sokongan emosi kepada mereka yang sedang melalui kesukaran.

“Saya melihat penerima sangat gembira kerana usaha kecil ini dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga yang memerlukan.

“Semasa saya menerima bantuan sebelum ini, saya juga berasa sangat lega dan amat bersyukur kepada mereka yang sudi membantu,” katanya.

SUMBANGAN BERI KESAN POSITIF

Beliau turut menekankan bahawa bantuan zakat memainkan peranan penting dalam membawa perubahan positif kepada kehidupan seseorang.

“Zakat adalah satu bentuk sokongan yang memberi penerima, peluang menumpukan perhatian kepada usaha memperbaiki dan membina masa depan mereka.

“Ramai anggota masyarakat di luar sana yang sedang bergelut dengan cabaran masing-masing, khususnya berkaitan isu kewangan. Di sinilah zakat diperlukan sebagai sistem sokongan buat mereka.

“Dengan beban kewangan mereka diringankan, penerima dapat memberi fokus kepada pendidikan, pekerjaan, dan pembangunan diri, sekali gus menyemai motivasi diri untuk keluar daripada lingkaran musibah,” kata Ustaz Hazim.

BANTUAN JADI SUMBER INSPIRASI

Beliau menambah usaha sebegitu bukan sekadar bantuan sementara, bahkan menjadi sumber inspirasi kepada orang lain untuk melakukan kebaikan yang sama.

Bantuan yang pernah diterima juga menjadi sumber semangat bagi penerima untuk cekal dan terus berusaha memperbaiki kehidupan.

Ia turut memberi keyakinan bahawa setiap cabaran boleh ditangani dengan usaha sendiri dan sokongan betul.

“Bantuan yang saya terima dulu memberi saya semangat untuk terus berusaha dan mengejar kejayaan, dengan harapan suatu hari nanti saya juga dapat membantu lebih ramai orang memerlukan,” ujar Ustaz Hazim.

Kini, dengan pengalamannya itu, beliau sering berkongsi kata-kata semangat kepada mereka yang sedang melalui cabaran hidup.

“Sentiasa tabah menghadapi cabaran dan jangan mudah berputus asa.

“Jangan juga segan memohon bantuan kerana sumbangan tersebut boleh menjadi sokongan bermakna dalam meringankan kesulitan yang dihadapi,” tambah Ustaz Hazim.

MUDAH TUNAIKAN ZAKAT

Tunaikan tanggungjawab zakat anda di https://pay.zakat.sg untuk diagih kepada kesemua lapan asnaf, termasuk fakir dan miskin.

Kunjungi sembarang pusat kutipan zakat yang sah di masjid berdekatan untuk tunaikan zakat. Dapatkan senarai pusat di https://www.zakat.sg/ms/lokasi.

Rekod kutipan zakat boleh dilihat melalui https://www.muis.gov.sg/resources/annual-reports/

Untuk pertanyaan, sila e-mel info@muis.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg