Sejak kecil lagi, Cik Dessa Nur Khair, 21 tahun, sudah terdedah kepada dunia seni dan kreativiti yang menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarganya.

Malah, ayahnya, yang gemar menjahit dan menghasilkan pelbagai kraf tangan merupakan antara individu yang menyokong minatnya terhadap seni apabila beliau meningkat dewasa.

Daripada mempelajari asas menjahit hinggalah menghasilkan projek seni sendiri, Cik Dessa sering mendapat dorongan daripada bapanya untuk meneroka idea dan kemahirannya sendiri.

Minat itu kemudian membawanya ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE), di mana beliau mengikuti pengajian dalam bidang fesyen sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Halus di Maktab Seni Lasalle.

Menurut Cik Dessa, pengalaman tiga tahun menuntut di Maktab Seni Lasalle banyak mengubah pandangan beliau mengenai seni mahupun dirinya sendiri.

“Apabila saya mula di Lasalle, tidak pernah terlintas bahawa saya boleh menjadi seorang pengamal seni.

“Pada awalnya, ia sekadar menghidupkan semula hobi yang tidak dapat saya kejar ketika di sekolah rendah dan menengah kerana ia bukan sesuatu yang saya fikir boleh dicapai,” katanya, apabila ditemu bual Berita Harian (BH).

Cik Dessa, adalah antara 355 graduan yang telah menamatkan pengajian Diploma Seni Halus di Maktab Seni Lasalle, dan diraikan dalam satu majlis konvokesyen pada 14 Ogos bersama ibu bapanya, Encik Khair Suhaimi, 54 tahun, dan Cik Iriana Ishak, 54 tahun.

Menceritakan lebih lanjut, beliau berkongsi bahawa persekitaran kreatif di Maktab Seni Lasalle memberinya ruang untuk mengenali dirinya dengan lebih mendalam serta membina suara dan identitinya sendiri sebagai pengkarya.

“Selepas tamat pengajian di Lasalle, saya merasakan diri saya telah berubah dan menjadi seorang yang berbeza,

“Mempelajari seni secara akademik benar-benar mengubah perspektif saya tentang banyak perkara, termasuk apa ertinya menjadi seorang pengamal seni dan bagaimana saya menyampaikan perkara yang penting bagi saya melalui karya,” ujarnya.

Menurut Cik Dessa, beliau juga belajar untuk lebih terbuka dan berani meluahkan emosi menurui seni.

“Menjadi sebahagian daripada persekitaran kreatif ini selama tiga tahun memberi saya ruang untuk lebih terbuka dan meluahkan perasaan dengan lebih jujur,” tambahnya.

Tema identiti dan pemahaman terhadap diri sendiri kini menjadi antara teras hasil karya Cik Dessa.

Beliau sering menjadikan pengalaman peribadi sebagai sumber inspirasi, sambil meneliti bagaimana pengalaman dan emosi membentuk dirinya.

Lukisan dan potret juga kekal sebagai medium yang dekat dengan dirinya.

Kongsinya, beliau gemar mengkaji ekspresi wajah sendiri menerusi gambar dan lakaran, sebagai satu cara untuk memahami dirinya dengan lebih baik.

Minat terhadap potret itu turut diterapkan dalam projek akhir diploma beliau, yang menggabungkan fotografi dan persembahan untuk meneroka pengalaman manusia yang tidak mudah dilihat atau diluahkan.

Bagi Cik Dessa, menghasilkan karya tersebut memberikan kelegaan kerana dapat meluahkan perkara yang sukar disampaikan dengan hanya perkataan.

Kini, selepas menamatkan Diploma Seni Halus, Cik Dessa akan meneruskan pengajian di peringkat ijazah di Maktab Seni Lasalle.

Beliau berharap dapat terus meneroka pelbagai bentuk seni, namun mahu kembali kepada lukisan dan potret yang menjadi minatnya sejak awal.

“Saya memang mahu kembali kepada lukisan hitam putih di atas kertas,” katanya.

Sebagai seorang pengkarya muda, Cik Dessa berharap karyanya dapat menggalakkan orang lain untuk menghargai kisah dan pengalaman peribadi masing-masing.

“Kita tidak perlu mengikut acuan tertentu untuk menjadi seorang seniman atau menjadi diri kita sendiri. Kebenaran tentang diri kita sudah mencukupi,” tambah beliau.

Bagi beliau, jika karyanya dapat membuat seseorang berasa dilihat, difahami atau kurang keseorangan, itu sudah cukup untuk menjadikan perjalanan seninya bermakna.