Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengakap sertai program masyarakat siap hulur bantuan kecemasan

Oct 26, 2025 | 9:32 PM
Haiqa Alia Rifqi, Cert Belia PA, Sekolah Menengan Unity, pengakap, pandu puteri
Haiqa Alia Rifqi, pelajar Sekolah Menengah Unity antara 200 anggota pengakap dan pandu puteri yang menyertai Pasukan-Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat Belia Persatuan Rakyat (Cert Belia PA), untuk mempelajari kemahiran asas kesiapsiagaan kecemasan dan menyelamat nyawa, demi memperkukuhkan daya ketahanan masyarakat sambil menangani krisis. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pelajar Sekolah Menengah Unity, Haiqa Alia Rifqi, 14 tahun, mengikuti jejak langkah ibunya dengan menyertai Pasukan Pengakap di sekolah itu pada 2024.

Selain menikmati kegiatan perkhemahan dan memupuk ikatan persahabatan yang erat, Alia mempercayai seorang pengakap harus “selalu bersedia untuk menangani apa jua situasi dan kecemasan yang boleh berlaku pada bila-bila masa” serta menghulurkan bantuan dengan segera dan efektif.

Azam itu mendorongnya untuk menyertai Pasukan-Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat Belia Persatuan Rakyat (Cert Belia PA) bagi belia berumur 15 tahun dan ke atas.

Diperkenalkan PA, program itu melatih sukarelawan untuk membantu anggota PA Cert sedia ada dalam menangani krisis dan kecemasan berskala besar seperti banjir, pandemik dan gangguan bekalan elektrik.

Melalui program selama dua tahun yang dilancarkan dengan kerjasama Pandu Puteri Singapura (GGS) dan Persatuan Pengakap Singapura (SSA), sukarelawan akan dilengkapi dengan kemahiran pertolongan cemas, pertolongan cemas psikologi, kawalan kumpulan ramai dan memberi respons sewaktu kecemasan.

Para peserta juga akan didedahkan kepada kesedaran kebudayaan, penglibatan masyarakat dan pembangunan kepimpinan melalui kegiatan amali serta kerjasama dengan organisasi akar umbi.

Misalnya, Alia mempercayai kemahiran pertolongan cemas psikologi sangat bermanfaat untuk tenangkan orang ramai dan memberi arahan yang jelas sewaktu kecemasan.

Berucap di acara pelancaran Cert Belia PA selaku tetamu terhormat di Kelab Masyarakat Ulu Pandan pada 26 Oktober, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, menekankan krisis hari ini meliputi pelbagai dimensi dan memerlukan bukan sahaja respons yang teknikal, malah kekuatan emosi, kepekaan budaya dan tanggungjawab kolektif.

Beliau mengetengahkan isu perubahan iklim, krisis kesihatan awam dan bahaya digital serta radikalisasi dalam kalangan belia.

“Dalam dunia sedemikian, tidak lagi cukup untuk kami bergantung semata-mata kepada ahli profesional untuk menangani krisis sementara masyarakat menantikan bantuan.

“Itulah sebabnya kita mesti menyediakan anak muda kita bukan sahaja kemahiran memberikan respons (ketika krisis), tetapi untuk bertindak dengan tenang, belas kasihan dan keberanian.

“Di sinilah Cert Belia PA memainkan peranan yang penting,” ucap Cik Sim Ann.

Tetamu terehormat, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann (tengah) bersama 200 pandu puteri dan pengakap membekal 1,000 beg kecemasan untuk mencatatkan rekod dalam ‘Buku Rekod Singapura’. Beg kecemasan tersebut akan diagihkan kepada pusat PA Jawatankuasa Kecemasan dan Penglibatan Masyarakat (C2E) dan Pusat Operasi Krisis Kawasan (CCOC) di serata negara.
Tetamu terehormat, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann (tengah) bersama 200 pandu puteri dan pengakap membekal 1,000 beg kecemasan untuk mencatatkan rekod dalam ‘Buku Rekod Singapura’. Beg kecemasan tersebut akan diagihkan kepada pusat PA Jawatankuasa Kecemasan dan Penglibatan Masyarakat (C2E) dan Pusat Operasi Krisis Kawasan (CCOC) di serata negara. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Seramai 200 peserta sulung Cert Belia PA, yang merangkumi pengakap dan pandu puteri, telah menjalani sesi perkenalan pada September dan telah memulakan latihan secara rasmi pada 26 Oktober dengan menghadiri sesi pertolongan cemas psikologi.

Pengerusi Majlis Eksekutif Jawatankuasa Kecemasan dan Penglibatan Masyarakat (C2E), Encik Mohd Yusoff Yacob, mengatakan bahawa “Cert Belia PA dibangunkan untuk mempersiapkan belia terhadap kesediaan kecemasan supaya ia menjadi tanggungjawab bersama dalam jangka masa panjang”.

Menurut Encik Yusoff, 66 tahun, peserta Cert Belia PA akan menerima latihan asas seperti menjalani Bengkel Pernafasan Kecemasan (CPR) dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) dan pertolongan cemas dahulu.

Seterusnya, mereka akan bekerjasama dengan C2E PA dan pertubuhan akar umbi (GRO) di kejiranan masing-masing, dalam usaha menjangkau masyarakat untuk program keselamatan kebakaran dan pencegahan denggi, aktiviti kesiapsiagaan kecemasan, serta acara masyarakat utama seperti perarakan Chingay dan sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau menambah sukarelawan Cert Belia PA boleh sambung berkhidmat sebagai anggota Cert PA setelah menamatkan program latihan selama dua tahun.

Dilancarkan pada 2004 di bawah kendalian C2E PA, sukarelawan Cert PA dilatih untuk bertindak sewaktu kecemasan sambil membantu dalam proses pemulihan masyarakat. Kini, terdapat lebih 8000 sukarelawan PA Cert.

Sebagai permulaan, program Cert Belia PA disertai pandu puteri dan pengakap, tetapi akan dibuka kepada para pelajar lain secara berperingkat, bermula dengan anggota berpakaian seragam yang lain.

Alia berharap lebih ramai pelajar akan terdorong untuk menyertai Cert Belia PA demi kebaikan masyarakat.

“Jika ada rakan-rakan yang cedera, saya mahu kita semua sedar bahawa kita juga mampu memberikan bantuan dengan segera sewaktu kecemasan dan tidak perlu bergantung kepada ambulans atau guru-guru,” ujarnya.

Sempena dengan sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), cincin skarf SG60 juga dilancarkan untuk melambangkan kerjasama PA,  Pandu Puteri Singapura (GGS) dan Persatuan Pengakap Singapura (SSA) dalam pelancaran program Cert Belia PA.
Sempena dengan sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), cincin skarf SG60 juga dilancarkan untuk melambangkan kerjasama PA, Pandu Puteri Singapura (GGS) dan Persatuan Pengakap Singapura (SSA) dalam pelancaran program Cert Belia PA. - Foto BH ole NUR DIYANA TAHA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg