Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin FPDA pertegas komitmen pertahan rangka keselamatan
Pemimpin FPDA pertegas komitmen pertahan rangka keselamatan
Pemimpin FPDA pertegas komitmen pertahan rangka keselamatan
Pegawai kanan pertahanan dari negara anggota Aturan Pertahanan Lima Negara (FDPA) menegaskan semula komitmen mereka terhadap rangka kerja keselamatan yang telah lama terjalin itu.
Ia diadakan dalam satu mesyuarat yang dianjurkan oleh Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 31 Mei.
Lima pemimpin yang menghadiri mesyuarat sarapan pagi tersebut, yang diadakan di luar acara Dialog Shangri-La di Singapura, bersetuju bahawa perjanjian itu terus relevan dari segi strategik dan memainkan peranan penting dalam seni bina keselamatan serantau.
Ditubuhkan pada 1971, FDPA menghimpunkan Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand, dan Britain dalam satu rangka kerja keselamatan berasaskan rundingan.
Perjanjian tersebut diwujudkan susulan pengunduran tentera Britain dari rantau ini bagi memastikan Singapura dan Malaysia dapat memperoleh bantuan sekiranya berlaku ancaman serangan bersenjata di ambangan.
Sebagai acara tetap sempena sidang puncak tahunan yang diadakan di Hotel Shangri-La di Singapura, mesyuarat FDPA itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Australia yang juga Menteri Pertahanan, Encik Richard Marles; Menteri Pertahanan New Zealand, Encik Chris Penk; Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; serta Ketua Pengarah (Dasar Keselamatan) Britain, Encik Paul Wyatt.
Dalam satu kenyataan media pada 31 Mei, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata FDPA telah meningkat keupayaan angkatan tentera negara anggotanya untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang.
Ini termasuk bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana, serta keselamatan maritim.
“Sejak beberapa dekad lalu, FPDA telah memperkukuh keupayaan angkatan tentera negara anggotanya untuk beroperasi bersama menerusi latihan ketenteraan konvensional berskala besar.
“(Ini) di samping menyesuaikan peranannya untuk merangkumi bidang bukan konvensional seperti bantuan kemanusiaan dan bencana, usaha memerangi keganasan serta keselamatan maritim,” ujar Mindef.
Setiap tahun, anggota tentera daripada lima negara tersebut berkumpul untuk menyertai beberapa latihan, seperti Latihan Bersama Shield pada separuh pertama tahun, dan Latihan Bersama Lima pada separuh kedua tahun.
Latihan ketenteraan berkenaan memberi tumpuan kepada pertahanan luar Singapura dan Malaysia.
Sementara itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkongsi dalam satu hantaran Facebook pada 31 Mei bahawa perbincangan sempena Dialog Shangri-La 2026 menyerlahkan kepentingan dialog, kepercayaan dan kerjasama dalam dunia yang semakin tidak menentu dan kompleks.
Tambah Encik Wong, dialog itu, yang berakhir pada 31 Mei, menyediakan “peluang yang berharga” untuk bertukar pandangan, meningkatkan persefahaman, dan mengukuhkan kerjasama.
“Singapura kekal komited untuk menjadi platform yang dipercayai dan berkecuali bagi penglibatan yang terbuka dan membina – membantu merapatkan perbezaan serta memupuk kerjasama di rantau ini dan di luar rantau,” ujarnya.
