Apabila perbelanjaan pertahanan meningkat, usaha daripada negara-negara untuk meyakinkan satu sama lain juga mesti meningkat sewajarnya, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 30 Mei.

Ini supaya peningkatan rasa selamat sesebuah negara itu tidak menjejas peningkatan rasa tidak selamat negara lain, kata Encik Chan selepas menjadi tuan rumah dalam satu mesyuarat bersama 31 menteri dan wakil mereka di Dialog Shangri-La ke-23.

Mereka yang hadiri termasuk Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth; Timbalan Perdana Menteri Australia yang juga Menteri Pertahanan, Encik Richard Marles, serta Menteri Pertahanan Jepun, Encik Shinjiro Koizumi.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat di sidang puncak pertahanan yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei di Hotel Shangri-La, Encik Chan berkata kumpulan itu membincangkan “bagaimana membina kepercayaan itu” dalam perbualan “sangat terbuka dan dinamik” yang merangkumi beberapa topik.

Salah satunya ialah mendapatkan sokongan awam dan komitmen politik untuk pelaburan jangka panjang dalam pertahanan.

Ini bukan sekadar tentang komitmen perbelanjaan dalam belanjawan negara, kata Encik Chan.

Ia juga mengenai mendapatkan orang yang baik untuk berkhidmat dalam sektor pertahanan, dan bagaimana membina keupayaan perindustrian dalam jangka masa panjang.

Pertahanan adalah perniagaan jangka panjang, kata Encik Chan sambil menambah pelaburan mesti dilakukan secara konsisten supaya keupayaan dapat dibina.

Para menteri juga menyentuh tentang perspektif geopolitik negara yang mempunyai saiz berbeza dan cabaran mereka, serta cara mengurus transformasi teknologi dan operasi dalam peperangan.

Ini termasuk cara memperkenalkan teknologi baharu ke dalam angkatan tentera, dan cara mengurus kontraktor untuk mendapatkan nilai untuk wang – bergantung bukan sahaja pada pembekal tentera konvensional, tetapi juga syarikat baharu dan inovatif, kata Encik Chan.

Semasa mesyuarat itu, kumpulan itu bersetuju bahawa dialog berterusan dan kerjasama praktikal adalah sangat penting untuk membina keyakinan, memastikan saluran komunikasi terbuka, dan mengurangkan risiko salah tafsir dan salah faham.

Mereka juga menekankan kepentingan kerjasama serantau melalui kumpulan seperti Asean dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) selepas mesyuarat pada 30 Mei.

Kumpulan itu juga menekankan peningkatan kerumitan cabaran dalam persekitaran geopolitik semasa dan telah bertukar-tukar pendapat tentang keperluan untuk menjadi “rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam kerjasama pertahanan”.

Ini termasuk keperluan untuk mengekalkan komitmen politik dan memperkukuh sokongan domestik untuk pertahanan, kata Mindef.

Para menteri juga membincangkan bagaimana pertubuhan pertahanan boleh “menahan gangguan masa hadapan”, termasuk dengan melabur dalam teknologi baharu dan yang baru muncul.