Pengalaman bertugas sebagai bekas ahli bomba selama melebihi dua dekad, di mana beliau terdedah kepada pelbagai bencana dan kematian, telah mendorong Encik Suhaimi Ramli, 43 tahun, untuk memahami dan menghayati ajaran agama secara lebih mendalam.
Lantaran itu, beliau menanam hasrat untuk mengambil pengajian Islam secara berstruktur dengan matlamat agar beliau dapat mencapai kelulusan sehingga peringkat doktor falsafah (phD).
Pada 2013, Encik Suhaimi mengorak langkah untuk menyertai Kursus Fahami Solat (KFS) di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri. Beliau kemudian mendaftarkan diri bagi program Sijil Pengajian Ugama (SPU) dan seterusnya ke program Diploma Pengajian Islam Zuhri (DPIZ). Semua program tersebut ditempuh secara separuh masa, yang membenarkan beliau untuk belajar sambil bekerja.
Kini, beliau bakal menyelesaikan Diploma Pengajian Islam Lanjutan (DPIL) yang akan disetarakan dengan Sarjana Muda selepas melengkapi tugas-tugas akhir tuntutan institut tersebut, yang antaranya termasuk menjalankan khidmat masyarakat dan praktikum mengajar.
Sesungguhnya, Encik Suhaimi mendapati bahawa pengajiannya di institut itu bukan sahaja meningkatkan ilmunya dalam bidang agama, tetapi ia juga dapat diterapkan dalam pekerjaannya.
Sebagai contoh, beliau yang kini bertugas sebagai seorang konsultan pendidikan kembara sejak sekitar tiga tahun lalu, berkata:
“Sebagai konsultan pendidikan kembara, saya pun mengajar tentang pembangunan kepimpinan dan saya terapkan nilai-nilai kepimpinan dalam Islam semasa mengajar. Misalnya, saya menekankan bahawa kepimpinan bukan mengenai kuasa sahaja, tetapi ia juga satu amanah besar. Selain itu, apabila menjalankan tugasan kaunseling, saya menggunakan ilmu berkenaan kaunseling Islam apabila menguruskan klien Muslim.”
Menurut Encik Suhaimi, antara yang beliau suka tentang pengajiannya di Al-Zuhri ialah peluang menjalankan penyelidikan semasa membuat tugasan atau projek, baik secara sendirian mahupun berkumpulan.
“Semakin banyak penyelidikan saya buat, misalnya berkenaan Al-Quran dan Al-Sunnah, lebih banyak yang saya tidak tahu dan itu membuat saya ingin tahu. Menerusi pengajian, saya tahu bagaimana untuk periksa sumber-sumber kajian saya untuk memastikan agar hadis itu sahih dan sebagainya,” kata Encik Suhaimi.
Beliau mendapati modul pengajian yang disampaikan pensyarahnya dari Universitas Ibn Khaldun (UIKA) di Bogor, Indonesia, membantu meningkatkan pemahaman beliau berkenaan Islam.
Encik Suhaimi berterima kasih kepada ibu bapa, isteri dan keluarganya kerana sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh pengajian Islam secara berstruktur beliau selama lebih kurang 10 tahun.
Sementara itu, seorang pelajar belia Al-Zuhri, Encik Naqiy Muzhaffar Mubarak, 20 tahun, memilih mengikuti pengajian Islam sepenuh masa selepas lulus peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.
Beliau, yang mempunyai sijil pengajian Bahasa Arab dari sebuah persatuan Islam, layak memasuki program Diploma Pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri pada 2024.
Mengulas tentang sebab beliau beralih daripada pendidikan sekular ke pendidikan Islam, pelajar tahun kedua itu berkata:
“Semasa pandemik Covid-19, saya berada di menengah tiga dan banyak menonton video ceramah Islam. Ia menguatkan semangat saya untuk belajar tentang Islam dengan lebih mendalam.
“Ia juga membuat saya bertekad menukar aliran pendidikan saya dengan mencari institut pendidikan Islam bertauliah dan menyediakan program pengajian Islam secara berstruktur.”
Encik Naqiy berkata pengalaman pengajian awalnya di institut Al-Zuhri itu merupakan satu pembuka mata.
“Semasa di semester pertama, saya dikehendaki menyiapkan sebuah tesis mini setebal 20 muka surat untuk mata pelajaran Metodologi Kajian Ilmiah. Saya tidak pernah membuat tugasan serupa itu semasa di sekolah menengah, tetapi saya sahut cabaran tersebut dengan positif.
“Kini, saya seronok mempelajari pelbagai perkara berkenaan Islam, yang mengajar kita untuk menjadi orang lebih baik dan cara mengamalkan agama dalam dunia moden hari ini.
“Sebagai contoh, menerusi mata pelajaran Teknologi Maklumat dalam Islam, saya mempelajari cara memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mencari maklumat tentang agama, pada masa sama, memastikan maklumat itu sahih.”
Encik Naqiy juga kagum melihat asatizah di institut Al-Zuhri berinteraksi dengan pelajar belia.
“Mereka tahu perhatian kami pendek, jadi mereka menggunakan waktu rehat untuk ajak kami berbual dan bertanya soalan bagi memastikan kami tidak mengalami masalah dalam memahami mata pelajaran kami,” kata beliau.
Lantaran itu, Encik Naqiy yakin beliau membuat keputusan yang baik apabila memutuskan untuk mendalami pengajian Islam sepenuh masa dan bercita-cita belajar hingga ke menara gading dan menjadi seorang ustaz pada masa depan.
Proses pembelajaran di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri pelbagai dan bersifat inovatif supaya menarik buat pelajar institut itu, yang terdiri daripada belia hingga warga emas.
Menurut Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri yang juga ahli Pasukan Petugas Transformasi Digital (DTT) institut itu, Ustaz Mas’udin Syarifuddin, pensyarah Al-Zuhri memainkan peranan sebagai fasilitator yang memanfaatkan ilmu serta pengalaman mereka demi memperkayakan setiap sesi pengajaran bagi pelajar dewasa.
Konsep dan teori yang diajar dalam setiap modul pelajaran disusun agar berkait rapat dengan pengalaman sebenar pelajar, supaya ilmu itu mudah dihayati dan diamalkan.
Selain pembelajaran formal dalam kelas sepanjang tahun, pelbagai kaedah pembelajaran lain, seperti simposium, seminar dan latihan praktikal, diterapkan dalam pengajaran.
Semua itu menjadikan pengalaman pembelajaran di Institut Al-Zuhri lebih menarik buat pelajar dewasa.
Sebagai contoh, pelajar diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda menjalani praktikum mengajar, manakala pelajar diploma psikologi Islam dan kaunseling mengikuti praktikum kaunseling.
Bagi kursus kepimpinan, pelajar diploma sepenuh masa diuji melalui pelibatan aktif dalam penganjuran kem kanak-kanak semasa cuti pertengahan tahun. Gabungan teknik itu mewujudkan suasana pembelajaran dinamik, relevan dan menyeronokkan bagi pelajar dewasa.
Selain itu, antara tugasan akhir bagi pelajar diploma lanjutan dan sarjana muda ialah menjalankan khidmat masyarakat, di mana mereka mengambil inisiatif melakukan kerja-kerja amal bagi masyarakat setempat dan antarabangsa menggunakan dana yang diusahakan pelajar sendiri.
Dalam program ini, pelajar tahun empat ijazah sarjana muda dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ditempatkan di lokasi-lokasi seperti masjid, pusat kebajikan, dan perpustakaan masyarakat untuk memberi sumbangan tenaga dan ilmu mereka.
“Menariknya, ada pelajar memperluaskan khidmat mereka ke luar negara, contohnya di Batam, Indonesia, sekali gus membuktikan semangat ukhuwah Islamiah merentasi sempadan,” kata Ustaz Mas’udin.
Beliau mengalu-alukan pelajar dewasa mengikuti pengajian Islam secara berstruktur, tidak kira usia mereka. Menjelaskan mengapa masih tidak terlambat buat golongan dewasa belajar agama Islam secara berstruktur, Ustaz Mas’udin berkata:
“Dalam tradisi keilmuan Islam, proses menuntut ilmu tidak pernah dianggap terlambat, tidak kira berapa usia seseorang. Ini kerana kefahaman tentang sesuatu ilmu disesuaikan mengikut tahap kematangan individu, walaupun asas pengajiannya tetap sama.
“Di Al-Zuhri, matlamat utama pengajian Islam ialah membentuk cara pandangan alam selari dengan konteks masyarakat di Singapura. Dengan pendekatan ini, pelajar dapat menjiwai ajaran agama secara lebih mendalam, sekali gus memperkukuh diri melalui penguasaan ilmu fardu ain berterusan sepanjang hayat.”
Seiring dengan perubahan pesat dunia, Al-Zuhri sentiasa berusaha memperbaharui pendekatan pengajaran dan pembelajarannya, memastikan pelajar dewasa memperoleh ilmu sesuai dengan cabaran semasa.
Hala tuju seterus Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, ujar Ustaz Mas’udin, ialah memfokuskan usaha memperkukuh transformasi digitalnya bersama syarikat kerabat seperti Andalus, Cordova, dan Darul Andalus.
Pendekatan ini bukan memperluaskan penggunaan teknologi dalam pembelajaran sahaja, malah membuka jalan kepada integrasi sistem pembelajaran pintar yang lebih cekap dan bersifat futuristik.
“Seiring arus Kecerdasan Buatan (AI), Al-Zuhri turut menekankan pembangunan kemahiran baru dalam kalangan pegawai kanan, pensyarah dan asatizahnya. Usaha ini bertujuan membekalkan mereka dengan pengetahuan dan kecekapan digital relevan, agar dapat mengajar dan membimbing pelajar dengan lebih berkesan dalam era teknologi yang sentiasa berubah,” kata beliau.
Al-Zuhri juga memainkan peranan memartabat pengajian Islam setempat menerusi program-program kerjasama dengan universiti di Malaysia dan Indonesia pada peringkat sarjana muda dan pascasiswazah.
Meneruskan pengajian pada peringkat sarjana muda di institut pengajian tinggi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekarang menjadi matlamat lulusan program sepenuh masa Al-Zuhri.
Kerjasama Al-Zuhri dengan institusi pengajian seperti Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta Universitas Ibn Khaldun (UIKA) Bogor, Indonesia, kini berperanan lebih mendalam dalam membangunkan jalur pendidikan Islam tahap lebih tinggi bagi pelajar dewasa Singapura.
“Kerjasama dengan universiti Islam lain memperkaya pengalaman dan perspektif dalam mengelola pengajian tinggi dari sudut kurikulum dan pensijilan. Selain pengajian dalam kelas, pensyarah membimbing pelajar untuk menulis makalah ilmiah, menyelesaikan projek dan bahkan dalam menulis tesis. Ini mendorong pelajar dewasa setempat mengembangkan ilmu mereka,” kata Ustaz Mas’udin.
Menurutnya lagi, Al-Zuhri sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan kerjasama dengan universiti lain dalam pengajian bahasa Arab dan psikologi Islam.
Individu yang memahami agama Islam dengan baik mempunyai hala tuju hidup lebih bermakna, jelas dan terarah.
Demikian pendapat Ustazah Fatimah Mohd Ali, 50 tahun, seorang pensyarah sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, dan Ustazah Wan Nadia Mohamed Yusuf Zuhri, 40 tahun, pensyarah bersekutu yang juga pengarah di institut itu.
Mereka menjelaskan bagaimana memahami agama menjadi benteng kukuh dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Menurut Ustazah Fatimah, agama mendidik manusia agar berhati-hati dalam setiap tindakan dan tenang menghadapi apa jua bentuk cabaran dalam kehidupan.
Dalam Islam, cabaran hidup merupakan sebahagian daripada ujian yang membentuk peribadi manusia agar mereka memperbaiki diri dan membina daya tahan emosi tinggi dengan mendekatkan diri kepada Allah swt.
“Apabila seseorang benar-benar memahami agamanya, dia akan berpaut kukuh pada tauhid dan kesedaran bahawa Allah swt sentiasa berkuasa dan mengatur segala urusan,” kata Ustazah Wan Nadia.
Ustazah Fatimah menambah bahawa melalui kefahaman agama, seseorang tahu ke mana beliau harus kembali ketika gagal, bagaimana bersabar ketika diuji, dan mengapa perlu bersyukur ketika berjaya.
Justeru, agama bukan sekadar memberikan jawapan terhadap hukum, tetapi menjadi panduan menyeluruh dalam kehidupan.
“Dalam konteks Singapura yang kompetitif, agama membantu mengingatkan kita bahawa nilai diri seseorang tidak diukur melalui pencapaian atau kedudukan semata-mata, tetapi melalui integriti, usaha dan keikhlasan.
“Cara pandangan ini melindungi individu daripada rasa hilang arah atau tertekan apabila kehidupan tidak berjalan seperti yang diinginkan. Dalam apa jua keadaan, mereka sentiasa boleh kembali kepada Allah swt sebagai sumber ketenangan,” kata Ustazah Wan Nadia.
Katanya lagi, pengamalan agama bukan sekadar melakukan amal kebaikan, tetapi juga menahan diri daripada perbuatan jahat.
Sebagai contoh, perbuatan seperti disiplin dalam mendirikan solat membantu menguatkan keimanan kita kepada Allah swt, serta mendidik sifat belas kasihan dan rahmat terhadap diri sendiri dan orang lain.
Pemahaman ini membantu mengurangkan rasa inferior, atau rendah kedudukan, dan terlalu keras ke atas diri sendiri, iaitu antara cabaran emosi yang dihadapi masyarakat hari ini.
Oleh itu, adalah penting orang dewasa meningkatkan kefahaman ilmu agama kerana mereka boleh menjadi individu lebih penyabar, prihatin dan bertanggungjawab terhadap pasangan serta anak, seterusnya mewujudkan suasana rumah tangga yang penuh dengan kasih sayang dan ketenangan.
Apabila nilai-nilai ini dibawa ke luar rumah, ia memberi kesan positif kepada masyarakat melalui hubungan lebih baik, saling menghormati dan bertimbang rasa.
Ustazah Wan Nadia mengajar belia supaya selalu mengaitkan nilai agama dengan kisah dan peristiwa kehidupan sebenar, antaranya penggunaan media sosial, hubungan antara lelaki dan perempuan dan kesihatan mental.
“Saya biasanya tidak terus memberikan penyelesaian, sebaliknya membuka ruang perbincangan selamat agar pelajar dapat berkongsi pandangan mereka tentang langkah yang wajar diambil,” kata beliau.
Beliau menegaskan pentingnya belajar agama daripada guru bertauliah dalam persekitaran sekarang, di mana kecerdasan buatan (AI) menawarkan pelbagai maklumat, kerana guru bertauliah boleh membimbing pelajar membezakan perkara betul daripada yang salah.
Tentang Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri
Ditubuhkan pada tahun 2000, Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri merupakan pusat pendidikan Islam (IECP) yang diiktiraf oleh MUIS. Ia dinamakan sempena ulama terkemuka, Kiai Haji Ahmad Zuhri Mutammim. Kami komited untuk menyediakan pendidikan Islam yang relevan, khusus untuk pelajar dewasa yang ingin memahami, menghayati, dan mengamalkan Islam sambil memenuhi tanggung jawab harian.
Pendaftaran 2026 untuk Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri sudah dibuka. Sila lungsuri lelaman www.zuhri.com.sg untuk maklumat lanjut dan mendaftar. Pendaftaran juga sudah dibuka untuk Andalus di www.andalus.com.sg dan untuk Cordova di www.cordova.com.sg.
(insert linerPendaftaran 2026 untuk Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri sudah dibuka. Sila lungsuri lelaman www.zuhri.com.sg untuk maklumat lanjut dan mendaftar. Pendaftaran juga sudah dibuka untuk Andalus di www.andalus.com.sg dan untuk Cordova di www.cordova.com.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg