Semasa berkhidmat dalam Perkhidmatan Negara (NS) bersama Pasukan Polis Keselamatan Pengangkutan Awam (TransCom), mantan Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) NS, Encik Mohammed Nurizhamshah Abdullah, mula tertanya-tanya bagaimana kitaran pesalah yang berulang-alik ke penjara dapat dihentikan.
Walaupun mencecah usia 51 tahun, beliau, yang bertugas di sektor telekomunikasi, memilih untuk terus berbakti sebagai sukarelawan pendamping bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) agar dapat membimbing banduan agar dapat kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat.
“Peralihan daripada seorang penguat kuasa undang-undang kepada seorang yang menunjukkan belas kasihan bukan sesuatu yang saya jangka. Namun, 25 tahun dalam NS telah membentuk kemahiran yang boleh saya gunakan di sini,” kata beliau.
Sepanjang tempoh itu, beliau pernah terlibat dalam kawalan operasi besar termasuk perlumbaan malam Formula 1, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) serta pelbagai sidang kemuncak antarabangsa.
“Saya hanya bertekad melakukan yang terbaik. Ia adalah amanah, dan saya sentiasa anggap ia sebagai tanggungjawab peribadi,” tambahnya.
Semangat seperti inilah yang ingin diraikan semasa acara Jamuan Malam Tahunan Pasukan Polis Singapura (SPF) di Pusat Konvensyen Resorts World Sentosa pada 21 Ogos, yang turut menandakan 50 tahun Perkhidmatan Negara Polis (PNS).
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, hadir selaku tetamu terhormat bersama Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.
Turut hadir ialah sekitar 900 rakan masyarakat, tetamu jemputan serta pegawai polis bagi memperingati detik bersejarah itu.
“Hari ini, Singapura antara bandar paling selamat di dunia dengan kadar jenayah yang rendah kerana anggota PNS memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan itu.
“Mereka berdiri sebaris dengan pegawai tetap kami, membanteras jenayah dan melaksanakan banyak tugas lain yang turut dipikul oleh pegawai tetap,” kata Encik Shanmugam.
Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Pancaragam SPF sempena ulang tahun ke-100 kumpulan itu.
“Selama satu abad, pancaragam SPF telah memberi inspirasi kepada generasi melalui muzik, mengukuhkan hubungan dengan masyarakat serta mewakili SPF di pelbagai acara, termasuk Perbarisan Hari Kebangsaan,” menurut kenyataan SPF.
Bagi memperingati lima dekad sumbangan anggota PNS dalam mencegah, menghalang dan mengesan jenayah, sebuah kapsul masa peringatan dirasmikan pada malam itu.
Antara objek simbolik yang dimasukkan termasuk Medalion Peringatan SPF200 bagi memperingati 200 tahun perkhidmatan kepolisan di Singapura; tongkat peraga sebagai lambang disiplin dan kebanggaan istiadat; sepucuk ‘Surat untuk Masa Depan’ bersama Buku PNS yang mencerminkan sumbangan serta harapan anggota NS; serta topi pegawai Polis yang melambangkan kewaspadaan kepada keselamatan negara.
Sekeping lukisan turut dimasukkan sebagai lambang komitmen anggota PNS kepada perkhidmatan negara yang merentas generasi seterusnya demi menjamin keselamatan masa depan negara.
Dihasilkan oleh lulusan Sekolah Seni Singapura (Sota), SC/CPL Muhamad Irfan Muhamad Rapid, 20 tahun, sebuah lukisan berjudul, ‘Our NS Generations in Blue’, yang menjadi simbol perjalanan 50 tahun PNS Singapura.
SC/CPL Irfan, yang kini berkhidmat sebagai Penolong Jurulatih dalam Pasukan Operasi Khas (SOC), mengakui beliau terharu diberi peluang menghasilkan karya yang melambangkan pengorbanan dan legasi anggota PNS.
“Saya benar-benar berbesar hati kerana dipilih. Ia satu pencapaian besar, lebih-lebih lagi apabila ayah saya yang pernah berkhidmat dalam SPF pada tahun 1980-an, turut berasa berbangga sekali.
“Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi SPF pada masa depan agar mereka terus menyumbang dengan bermakna dan berasaskan perkhidmatan mereka dengan kemajuan yang telah dicapai setakat ini,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg