Perubahan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memberi isyarat tentang niat beliau untuk memperkenalkan pembaharuan dalam kepimpinan, sambil memantapkan kepimpinan sedia ada.

Menurut pengamat yang dihubungi Berita Harian (BH), rombakan tersebut melibatkan kenaikan pangkat bagi empat wajah baharu daripada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), serta pelantikan dua lagi ‘backbencher’ (Anggota Parlimen tanpa jawatan politik) penggal pertama sebagai pemegang jawatan politik.

Pengenalan wajah baharu ke dalam Kabinet bukanlah satu strategi asing, seperti mana yang dilihat daripada sejarah peralihan kepimpinan daripada generasi pertama (1G) hingga generasi keempat (4G), kata Dr Norshahril Saat, Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak.

Beliau, yang juga Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, menganggap langkah sedemikian sebagai usaha berterusan dan objektif utama bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP).

“Kalau kita tidak melibatkan golongan baharu atau membenarkan pemimpin mapan itu bersara atau memberi ruang kepada pemimpin baharu, saya lihat ini akan menjadi seperti politik di negara lain di mana politik sering kali dimonopoli satu golongan dan dan ia mungkin tidak sejajar dengan pembaharuan zaman.

“Jadi saya fikir ini adalah satu usaha berterusan dan menjadi satu matlamat bagi PAP,” ujar Dr Norshahril.

Encik Jeffrey Siow dan Encik David Neo yang masing-masing kekal di Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, dinaikkan pangkat daripada pemangku menteri kepada menteri penuh di kementerian tersebut.

Encik Siow juga akan dilantik sebagai Menteri Kedua Kewangan, manakala Encik Neo pula akan turut menggalas peranan sebagai Menteri Kedua Pendidikan, umum Encik Wong yang juga Menteri Kewangan, pada 22 Julai.

Encik Zaqy Mohamad pula dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 20 Julai.

Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menyatakan Kabinet baharu Encik Wong mencerminkan tumpuan beliau untuk meluaskan asas di peringkat pemegang jawatan politik muda di samping berusaha membangunkan saluran kepimpinan yang kukuh.

Namun, Encik Wong menghadapi cabaran tersendiri, tambah Profesor Tan.

“Rombakan ini merupakan yang pertama daripada beberapa penyesuaian buat Encik Wong dalam penggal pemerintah kali ini.

“Beliau jelas memberi tumpuan untuk meluaskan asas di peringkat pemegang jawatan politik (POH) muda dan berusaha membangunkan saluran kepimpinan yang kukuh.

“Beliau menghadapi cabaran besar, termasuk membawa masuk lebih ramai POH daripada kalangan masyarakat Melayu/Islam dan India, serta melantik lebih ramai POH wanita,” kongsi Profesor Tan.

Encik Wong turut membuat beberapa pengumuman lain, termasuk menaikkan pangkat Cik Sim Ann – yang kini menggalas jawatan sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri) kepada Menteri Kedua.

Cik Jasmin Lau pula akan memegang peranan sebagai Pemangku Menteri Tenaga Manusia, selain Menteri Negara Kanan di MDDI. Beliau akan melepaskan pelantikan di Kementerian Pendidikan (MOE).

Encik Goh Pei Ming akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).

Selain itu, Encik K. Shanmugam dilantik Menteri Kanan, menyertai Encik Lee Hsien Loong. Beliau akan meneruskan peranannya sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri.

Berhubung dengan kenaikan pangkat Encik Shanmugam, Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata:

“Itu menunjukkan beliau (Encik Wong) masih memerlukan sumbangan daripada pengalaman menteri lebih senior untuk mengharungi situasi global yang tidak menentu sekarang ini.”

Encik Imran berkongsi pandangan itu dalam podcast BHerbual terbitan BH yang dirakam sehari setelah pengumuman Encik Wong.

Pengamat turut akur dengan wujudnya cabaran yang menghalang orang ramai daripada menyertai bidang politik.

Sebagai contoh, Dr Norshahril berkata anggota politik perlu ada piawaian yang tinggi di samping rekod bersih. Mereka juga perlu bergelut dengan ketiadaan pembahagian antara ruang peribadi dengan ruang awam, tambahnya.

Profesor Tan pula berkata selain mengiktiraf cabaran tersebut, adalah penting bagi pemimpin PAP untuk mendebatkan pendekatan parti itu terhadap politik – yang mungkin tidak memupuk suasana menggalakkan bagi penyertaan orang ramai ke dalam arena politik.