Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong umum Kabinet baru, anggota muda diberi tanggungjawab lebih besar
PM Wong umum Kabinet baru, anggota muda diberi tanggungjawab lebih besar
Shanmugam bakal dilantik Menteri Kanan, bantu bimbing penjawat muda; Zaqy dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam
PM Wong umum Kabinet baru, anggota muda diberi tanggungjawab lebih besar
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan perubahan barisan Kabinet dan pelantikan politik baru pada 22 Julai, dengan peralihan kepimpinan dalam pasukannya yang menampilkan anggota kanan berpengalaman dan anggota lebih muda serta baru.
Encik K. Shanmugam akan dilantik Menteri Kanan, menyertai Encik Lee Hsien Loong yang kekal menggalas jawatan sama itu untuk memberikan nasihat serta bimbingan kepada pemegang jawatan yang lebih muda.
Encik Shanmugam akan meneruskan peranannya sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Dalam pada itu, kepimpinan Melayu/Islam turut menyaksikan perubahan.
Encik Zaqy Mohamad telah dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam seperti yang diumumkan pada 20 Julai menyusuli peletakan jawatan peneraju terdahulu, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Peletakan jawatan Dr Faishal itu ekoran kes yang melibatkan satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita.
Sebelum itu, mantan Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon mengundurkan diri daripada pejabat politik atas sebab keluarga.
Encik Zaqy akan kekal sebagai Menteri Negara Kanan (Pertahanan), tetapi akan melepaskan jawatannya di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).
Sementara itu, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim akan dilantik Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri) sambil mengekalkan jawatan sama di Kementerian Ehwal Luar (MFA). Beliau akan melepaskan jawatannya di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Dalam sidang media yang diadakan di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Wong berkata perubahan kepada Kabinet dan pelantikan politik yang terkini itu adalah sebahagian daripada usaha meneruskan peralihan kepimpinan, dan juga kerana peletakan jawatan yang berlaku baru-baru ini.
“Kami memberikan tanggungjawab lebih besar kepada pemegang jawatan lebih baru dan muda sedang mereka maju ke hadapan.
“Pada masa yang sama, kami mengekalkan kesinambungan dan pengalaman dalam pasukan kepimpinan teras.
“Keseimbangan ini penting – kerana Singapura memerlukan kedua-dua pemimpin berpengalaman untuk mengemudi cabaran semasa, dan generasi baru yang bersedia untuk membawa kita ke hadapan.
“Oleh itu, pembaharuan kepimpinan adalah satu proses yang berterusan,” kata beliau.
Encik Wong turut mengumumkan perubahan nama Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) kepada Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Meti) berkuatkuasa 1 Oktober.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan kekal menerajui kementerian tersebut, manakala Dr Tan See Leng akan dilantik sebagai Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan).
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, pula akan kembali berkhidmat dalam Kabinet sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
Sementara itu, lima anggota lebih muda dan baru dalam pasukan dipimpin Encik Wong itu akan dinaikkan pangkat.
Ini termasuk Encik Jeffrey Siow dan Encik David Neo yang masing-masing kekal di Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, dan dinaikkan pangkat daripada pemangku menteri kepada menteri di kementerian tersebut.
Encik Siow juga akan dilantik sebagai Menteri Kedua Kewangan, manakala Encik Neo pula akan turut menggalas peranan sebagai Menteri Kedua Pendidikan.
Dalam pada itu, Cik Sim Ann – yang kini menggalas jawatan sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri) – akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Kedua.
Cik Jasmin Lau pula akan memegang peranan sebagai Pemangku Menteri Tenaga Manusia, dan Menteri Negara Kanan di MDDI. Beliau akan melepaskan pelantikan di Kementerian Pendidikan (MOE).
Antara lain, Encik Goh Pei Ming akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).
Perubahan kepada barisan Kabinet baru akan berkuat kuasa secara berperingkat mulai 27 Julai.