Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengamat: Pindaan Akta Jerebu bukti S’pura serius ambil tindakan terhadap syarikat terbabit
Pengamat: Pindaan Akta Jerebu bukti S’pura serius ambil tindakan terhadap syarikat terbabit
Langkah tegas tutup ruang helah korporat, desak rantaian bekalan lebih bertanggungjawab demi lindungi rakyat
Pengamat: Pindaan Akta Jerebu bukti S’pura serius ambil tindakan terhadap syarikat terbabit
Pindaan kepada Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) mungkin bukan ‘peluru ajaib’ bagi melenyapkan amalan pembakaran hutan dan masalah jerebu buat selama-lamanya.
Namun, kelulusan pindaan Akta itu di Parlimen pada 4 November membuktikan komitmen pemerintah Singapura untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab mencetuskan atau terbabit dengan pencemaran udara.
Beberapa penganalisis yang bercakap dengan Berita Harian (BH) turut menyatakan bahawa langkah perundangan ini turut memberi isyarat jelas kepada syarikat-syarikat yang terbabit dengan kegiatan pencemaran alam itu.
Ini termasuk syarikat yang tersenarai di Bursa Saham SGX yang turut tidak terlepas daripada liabiliti dengan berselindung di sebalik struktur korporat yang rumit, helah teknikal undang-undang mahupun batasan sempadan.
Perkukuh perundangan bagi jejaki dan tindakan
Antara lain, pindaan terbaharu itu memperluas skop undang-undang untuk merangkumi “risiko jerebu”.
Ini sekali gus membolehkan tindakan pencegahan diambil sekiranya perbuatan sesuatu pihak mencetuskan kebakaran hutan di luar negara dan berisiko menjejas Singapura, meskipun jerebu belum sampai ke ruang udara tempatan.
Bagi mengatasi cabaran mengumpul bukti di luar Singapura, Ketua Pengarah Perlindungan Sekitaran kini diberi kuasa untuk mengarah pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan jerebu melantik penilai pakar sektor swasta atas biaya syarikat itu sendiri.
Selain itu, hukuman denda bagi kesalahan utama yang mencetuskan kebakaran ditingkatkan secara ketara, daripada $100,000 sehari kepada $1 juta sehari, dengan denda agregat maksimum melonjak daripada $2 juta kepada $20 juta.
Mahkamah juga diberi kuasa tambahan untuk mengenakan penalti melucutkan keuntungan bagi merampas sebarang faedah kewangan atau penjimatan kos yang diraih syarikat daripada pembakaran haram tersebut.
Pakar Penyelidik Kanan Bersekutu di Pusat Undang-undang Antarabangsa Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Danielle Yeow, melihat pengukuhan ini sebagai pendekatan pencegahan tegas yang sejajar dengan undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata kenaikan kadar penalti sehingga 10 kali ganda serta gabungan kuasa menyiasat dan sekatan komersial memperkukuhkan lagi keberkesanan tindakan penguatkuasaan
Ini selain menangani kesukaran membongkar struktur perniagaan luar negara yang berlapis-lapis.
“Di bawah undang-undang antarabangsa, ini merupakan satu amalan yang semakin lazim bagi sesebuah negara untuk mengawal selia perbuatan di luar negara berdasarkan kesannya terhadap wilayah dan alam sekitar negara tersebut,” kata Dr Yeow.
“Sama ada dirujuk sebagai prinsip wilayah atau bidang kuasa berasaskan kesan, bukanlah sesuatu yang luar biasa atau terkecuali bagi sesebuah negara untuk melaksanakan bidang kuasa dalam kes yang mengakibatkan kesan alam sekitar rentas sempadan yang serius,” tambahnya,
Profesor Madya Undang-Undang dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Dr Eugene Tan, pula berpendapat pindaan ini mencerminkan tekad pemerintah yang tidak teragak-agak menggunakan segala saluran undang-undang sedia ada.
Ini juga menunjukkan tekad pihak berkuasa Singapura untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mencemarkan alam sekitar, dan memastikan syarikat menerapkan amalan bertanggungjawab di sepanjang rantaian bekalan.
“Langkah ini memperkukuh prinsip bahawa ‘pihak yang menyebabkan pencemaran perlu menanggung kosnya.
“Ini sekali gus menegaskan bahawa pihak yang mengaut keuntungan daripada amalan perniagaan tidak bertanggungjawab adalah tidak wajar, sedangkan akibatnya pula ditanggung oleh masyarakat,” kata Dr Tan.
Sekat urus niaga, elak bersubahat
Bagi mematahkan sokongan kepada pesalah jerebu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran kini diberikan kuasa menyenaraikan entiti atau individu sebagai “pihak yang ditetapkan”, termasuk mereka yang disabit kesalahan, disyaki terbabit, atau enggan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Status tersebut membolehkan pemerintah mengeluarkan arahan rasmi menyekat urusan perniagaan secara meluas, daripada pembekalan barangan dan perkhidmatan sehinggalah pembiayaan pinjaman bank dengan kerjasama Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Mana-mana pihak yang melanggar sekatan tersebut dan berurus niaga dengan entiti terbabit boleh didenda sehingga $1 juta bagi setiap kesalahan, berserta denda harian sehingga $100,000 sepanjang perlanggaran berterusan.
Pemerintah turut memperkenalkan rejim notis yang mewajibkan konglomerat dalam sektor perhutanan dan pertanian menjalankan pemeriksaan wajar bagi memastikan rantaian bekalan mereka bebas daripada kegiatan pembakaran haram.
Pengerusi Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA), Profesor Madya Simon Tay, menyifatkan sekatan perniagaan dan pembiayaan tersebut sebagai mekanisme yang memberi tekanan cukup hebat.
“Instrumen yang boleh digunakan oleh pemerintah bukan sahaja memberikan kuasa untuk menyiasat dan mengenakan hukuman selepas kejadian jerebu, malah boleh digunakan untuk mengarah syarikat mengambil tindakan bagi mencegah kebakaran dan jerebu.
“Hukuman yang dikenakan bukan sekadar dalam bentuk wang.
“Langkah-langkah tersebut juga boleh digunakan untuk menyekat serta menghalang kegiatan komersial dan pembiayaan, sekali gus menjadikan syarikat itu sebagai entiti yang dipulaukan dalam dunia korporat,” katanya.
Beliau menambah bahawa THPA kini merupakan senjata undang-undang yang diisi dengan lebih banyak peluru pencegahan, tetapi ia mesti digunakan secara adil dan berhemah mengikut lunas undang-undang.
Batasan sempadan tuntut kerjasama utuh serantau
Walaupun ‘taring undang-undang’ Singapura telah diperkukuh, Penyelaras Program Kajian Indonesia Iseas-Institut Yusof Ishak, Cik Julia Lau, berkata bidang kuasa sesebuah negara berdaulat tetap terhad dan terhenti di sempadan fizikalnya.
Namun begitu, beliau berkata dengan undang-undang baharu ini, siasatan kini boleh dilakukan melalui laluan korporat.
Ini sekali gus membuka lebih banyak pilihan undang-undang, namun ia tetap bukan jaminan mutlak bagi menyelesaikan masalah di lapangan.
“Sejauh mana langkah tersebut mampu membawa perubahan nyata dalam menyelesaikan masalah jerebu juga bergantung kepada kerjasama daripada pihak-pihak serta pihak berkuasa di Indonesia,” kata Cik Lau.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, semasa menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut di Parlimen pada 4 November, turut menekankan komitmen Singapura untuk menghormati kedaulatan negara jiran sambil bekerjasama menerusi Pasukan Petugas Bersama (JTF) Singapura-Indonesia.
Di samping itu, peranan Singapura sebagai hos Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) dan persiapan selaku pengerusi Asean pada 2027 akan terus digembleng bagi memacu kerjasama serantau membanteras punca kebakaran tanah gambut, tambahnya.
Kesan kepada rakyat, kuasa beli pengguna
Bagi rakyat Singapura yang sekian lama berdepan gangguan rutin harian serta ancaman kesihatan akibat jerebu tebal, pengukuhan THPA membuka ruang kepada pengurangan kekerapan dan keamatan episod jerebu pada masa hadapan.
Kualiti udara yang lebih terpelihara akan meringankan beban sistem penjagaan kesihatan serta mengurangkan risiko penyakit pernafasan dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak.
Namun begitu, usaha melindungi alam sekitar tidak boleh disandarkan kepada pindaan undang-undang semata-mata, sebaliknya menuntut peranan aktif daripada masyarakat setempat, kata Dr Tan.
Beliau mengingatkan bahawa para pengguna di Singapura juga memiliki kuasa untuk mendesak ketelusan industri dalam penghasilan produk.
“Pengguna mesti memainkan peranan dengan memilih barangan yang dihasilkan secara mampan agar wang yang kita belanjakan tidak menyumbang secara tidak langsung kepada amalan pembakaran haram berskala besar,” saran beliau.