Tiga perkhidmatan bas baru yang akan melalui estet Tampines, Whampoa dan Toa Payoh akan dilancarkan menjelang Jun, di bawah program peningkatan perkhidmatan bas untuk menghubungkan penduduk dengan lebih baik ke pusat pengangkutan dan kemudahan utama.
Perkhidmatan itu dilancarkan di bawah inisiatif bernilai $900 juta untuk menambah baik sambungan bas awam yang dilancarkan pada Julai 2024.
Perkhidmatan 299 akan beroperasi setiap hari antara Pusat Tukaran Bas Tampines North dengan Tampines Street 96 mulai 27 April, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan pada 7 April.
Menurut The Straits Times, ini akan menyediakan penduduk dengan sambungan terus ke pusat tukaran bas dan kemudahan utama seperti Our Tampines Hub, dan mengambil penumpang di perhentian bas di stesen MRT Tampines, Sekolah Menengah St Hilda dan Politeknik Temasek.
Dalam catatan Facebook pada 7 April, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata pengenalan perkhidmatan 299 akan memberi manfaat kepada penduduk di estet perumahan baru di Tampines South, membawa mereka ke Pusat Tukaran Bas Tampines dan stesen MRT, dan kemudahan di pusat bandar.
Perkhidmatan baru yang lain ialah 21X, yang akan beroperasi antara Whampoa dengan Novena mulai 28 April. Perkhidmatan itu akan menyediakan sambungan lebih pantas ke stesen MRT Novena untuk penduduk di kawasan Whampoa, kata LTA.
Perkhidmatan itu akan bermula dan berakhir di Terminal Bas St Michael, dengan hentian di sepanjang Jalan Bahagia, Kim Keat Road, Thomson Road – di mana stesen MRT Novena terletak – dan Jalan Tenteram.
Ia akan melengkapkan perkhidmatan 21 dan berhenti di perhentian terpilih, tambah pihak berkuasa. Perkhidmatan 21X akan beroperasi pada hari bekerja, tidak termasuk cuti umum, semasa waktu sibuk pagi dan petang.
Kedua-dua perkhidmatan 299 dan 21X akan dikendalikan oleh SBS Transit.
Perkhidmatan baru ketiga, 230M, akan memberi perkhidmatan kepada penduduk di Kim Keat Avenue. Laluan itu akan membawa mereka ke Pusat Tukaran Bas Toa Payoh dan stesen MRT, kata LTA.
Encik Chee, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, berkata perkhidmatan 230M akan memudahkan penduduk Kim Keat Avenue pergi ke Pusat Tukaran Bas Toa Payoh dan stesen MRT.
Perkhidmatan itu disediakan berdasarkan maklum balas daripada penduduk dan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, kata Encik Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg