Mulai 15 September, bas pertama yang meninggalkan pusat pemeriksaan di Johor Bahru (JB) ke Woodlands pada hari bekerja akan memulakan perkhidmatan lebih awal pada 4.50 pagi, bagi menangani kesesakan lalu lintas awal pagi di Tambak.
Bas itu termasuk perkhidmatan kendalian SMRT 950 menuju Woodlands, serta perkhidmatan 160, 170 dan 170X yang dikendalikan oleh SBS Transit, lapor The Straits Times.
Masa yang diselaraskan itu 10 minit lebih awal dari masa mula kini iaitu 5 pagi pada hari bekerja, kata kedua-dua pengendali pengangkutan awam tersebut.
Pada cuti umum dan hujung minggu, ketiga-tiga perkhidmatan bas itu akan berlepas dari Pusat Pemeriksaan JB mulai 5 pagi.
Perubahan itu dibuat selepas media Malaysia melaporkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) Malaysia meminta perkhidmatan bas rentas sempadan supaya bermula pada 4 pagi.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura sebelum ini berkata ia sedang mengkaji permintaan itu bersama syarikat pengendali bas Singapura.
Perkhidmatan 950 beroperasi antara Pusat Tukaran Bas Sementara Woodlands dengan JB Sentral.
Perkhidmatan 160 beroperasi antara Jurong Town Hall dengan terminal bas JB Sentral, manakala perkhidmatan 170 beroperasi antara Terminal Larkin di JB dengan Terminal Queen Street.
Khidmat 170X pula beroperasi antara stesen MRT Kranji dengan JB Sentral.
Selain ketiga-tiga perkhidmatan itu, perkhidmatan bas rentas sempadan yang lain disediakan oleh Causeway Link, serta AC7 dan Singapore-Johore Express yang dikendalikan secara persendirian.
Bas Causeway Link bermula dari pelbagai lokasi di Johor, dengan bas CW1 pertama meninggalkan pusat pemeriksaan Johor pada 4 pagi.
Pegawai kerajaan negeri Johor, Encik Fazli Salleh, pernah merayu agar perkhidmatan bas rentas sempadan Singapura dimulakan lebih awal bagi menangani kesesakan awal pagi, dengan barisan penumpang ke Singapura beratur panjang di pusat pemeriksaan JB seawal 4 pagi.
Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) JB-Singapura dijangka mula beroperasi dari 6 pagi hingga tengah malam pada setiap hari apabila ia memulakan perkhidmatan penumpang menjelang akhir 2026.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kereta api pertama daripada lapan yang bakal beroperasi di RTS Link antara Singapura dengan JB sudah tiba di Singapura.
Kereta api empat gerabak itu akan menjalani ujian penyepaduan sistem di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) di Tuas sebelum ia dipindahkan ke landasan RTS Link untuk ujian seterusnya dan pentauliahan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg