Pengendali bas Singapura, SBS Transit, memohon maaf selepas salah sebuah bas syarikatnya secara tidak sengaja memasuki lorong motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan terlanggar penghadang had ketinggian pada pagi 7 Ogos.
“Mujur, tiada penumpang di dalam bas termasuk pemandu yang tercedera.
“Kami memohon maaf kepada penumpang dan penunggang motosikal yang terjejas atas kesulitan yang berlaku,” kata jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu.
Beliau menambah bahawa SBS Transit sedang membantu polis Malaysia dalam siasatan berhubung kejadian tersebut.
Cik Wu tidak menyatakan tempoh perkhidmatan bas tergendala akibat kejadian itu, atau bilangan penumpang yang berada di dalam bas ketika insiden berlaku.
Satu video berhubung insiden tersebut, yang dikongsi di media sosial, menunjukkan perkhidmatan bas 170 berhenti di bawah penghadang had ketinggian, lapor The Straits Times (ST).
Sebuah papan tanda di dalam video itu menunjukkan kejadian mungkin berlaku di laluan menuju ke Singapura.
Penunggang motosikal dilihat melalui ruang di sekeliling bas yang hampir memenuhi keseluruhan lorong tunggal tersebut.
Perkhidmatan bas 170 beroperasi antara Terminal Larkin di Johor Bahru dengan Terminal Queen Street berhampiran Jalan Besar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg