Pemerintah akan membiayai kenaikan gaji bulanan sebanyak $450 dan bonus penyertaan bernilai $2,000 bagi warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR) yang menjadi pemandu bas baru mulai Januari 2027.

Langkah itu dilakukan bagi menarik lebih ramai penduduk tempatan menceburi kerjaya berkenaan.

Dengan langkah tersebut, ia bakal menyaksikan gaji bulanan purata pemandu bas baru meningkat daripada sekitar $3,600 buat masa ini, kepada lebih $4,000, selepas menambah gaji lebih masa dan elaun.

Dalam satu kenyataan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) dan keempat-empat pengendali bas awam pada 3 Jun, pemandu bas sedia ada akan mendapat kenaikan gaji sekali beri.

Ia untuk memastikan keadilan, meningkatkan pengekalan pekerjaan dan mengiktiraf kerja keras pemandu sedemikian, tambah kenyataan itu lagi.

Namun, kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai kenaikan gaji sekali beri ini yang dibiayai oleh pengendali bas awam iaitu Go-Ahead Singapore, SBS Transit, SMRT dan Tower Transit Singapore.

Kenyataan itu menambah bahawa langkah tersebut diambil berlatarbelakangkan kesukaran dalam menarik dan mengekalkan pemandu bas baru, memandangkan tenaga kerja sedia ada semakin menua sedangkan bilangan laluan bas telah meningkat.

Dalam satu catatan Facebook pada 3 Jun, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata usia median pemandu bas tempatan adalah 56 tahun dengan ramai daripada golongan usia itu akan bersara pada tahun-tahun mendatang.

Untuk mengekalkan tahap perkhidmatan bas semasa, beliau akur Singapura perlu menggajikan lebih ramai pemandu bas baru.

“Jumlah kapten bas yang lebih banyak membolehkan kami menambah baik keadaan di tempat kerja termasuk aturan syif dan menjadikan peranan pemandu bas sebagai kerjaya lebih mampan,” ujarnya.

Menukil kenyataan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Oktober 2025, pemerintah memberikan subsidi pengangkutan awam melebihi $2 bilion secara tahunan – ia termasuk subsidi bagi perkhidmatan bas awam.

Langkah itu dibuat seiring dengan inisiatif di bawah Program Peningkatan Khidmat Bas (BCEP) yang diumumkan pada 2024, dengan sehingga $900 juta akan dibelanjakan sehingga 2032 untuk menambah baik rangkaian bas.

Penambahbaikan itu antara lain termasuk khidmat laluan bas yang baru dan melanjutkan beberapa laluan bas sedia ada.

Sejak program itu dilancarkan pada Julai 2024, 33 laluan bas telah diperkenalkan atau dilanjutkan, dengan perubahan dibuat pada lebih 60 perkhidmatan bas sedia ada.

Oleh itu, Encik Siow berkata sokongan harus diberikan kepada individu yang memastikan perkhidmatan bas berjalan dengan baik, tatkala usaha dipergiatkan bagi mengembangkan dan menambah baik perkhidmatan bas.

Beliau berkata: “Ini mencerminkan komitmen kami untuk menjaga pekerja pengangkutan awam supaya mereka dapat terus berkhidmat dengan baik bagi penumpang.”

Dalam satu catatan Facebook pada 3 Jun, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, pula berkata Singapura memerlukan bilangan pemandu bas yang konsisten, lebih-lebih lagi pemandu bas tempatan.

Ia memandangkan peratusan pemandu bas tempatan mencatatkan penurunan sejak saban tahun, dengan perangkaan pada 2025 adalah 41 peratus, tambahnya.

Justeru, beliau berkata kebanyakan pemandu bas tempatan baru dapat memperoleh $600 tambahan sebulan dalam tahun pertama perkhidmatan mereka, sekali gus meningkatkan purata gaji bulanan kepada lebih $4,000 dengan pelarasan baru itu.

“Kami kekal komited untuk memastikan persekitaran pekerjaan yang baik bagi kapten bas dan peluang bagi memanfaatkan kerjaya yang bermakna,” ujar beliau.

Pemeriksaan Berita Harian (BH) di laman rasmi pengendali bas awam menunjukkan SBS Transit kini menawarkan bonus penyertaan berserta insentif latihan sehingga $25,000 buat pemandu bas tempatan baru.

SMRT menawarkan bonus penyertaan sehingga $30,000, dengan tambahan $3,000 untuk mereka yang menyertai antara April dengan Jun, tertakluk pada pengesahan pekerjaan.

Go-Ahead Singapore pula menawarkan bonus penyertaan sehingga $20,000 manakala laman Tower Transit Singapore tidak memaparkan perangkaan bonus penyertaan bagi pemandu bas baru.

Setiausaha Eksekutif NTWU, Cik Yeo Wan Ling, berkata pelarasan gaji itu satu langkah yang penting untuk meningkatkan daya tarikan dan kemampanan kerjaya pemandu bas awam.

Dalam satu kenyataan Facebook pada 3 Jun, Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol itu berkata kesatuan itu telah bekerjasama dengan MOT, LTA dan pengendali pengangkutan awam bagi “mendorong penambahbaikan bermakna yang mengiktiraf profesionalisme, tanggungjawab dan sumbangan kapten bas dengan lebih baik”.