GrabCab naik tambang perjalanan bermeter susulan kenaikan kos bahan api
GrabCab naik tambang perjalanan bermeter susulan kenaikan kos bahan api
Langkah pastikan pemandu dapat terus beroperasi secara mampan ketika harga bahan api kekal tidak tentu
Cabang teksi Grab, GrabCab, akan menaikkan tambang bermeternya dari 30 Mac hingga 31 Mei susulan peningkatan kos bahan api, umum syarikat itu.
Tambang bagi perjalanan jarak dekat sekitar 4 kilometer dari Novena ke Orchard akan dikenakan tambahan sekitar lapan sen, manakala perjalanan lebih jauh sekitar 12 kilometer dari Ang Mo Kio ke City Hall akan dikenakan tambahan sekitar 28 sen.
Perjalanan jarak jauh, seperti perjalanan sejauh 30 kilometer dari Woodlands ke Lapangan Terbang Changi, akan dikenakan tambahan sekitar 80 sen.
Dalam satu kenyataan pada 23 Mac, jurucakap GrabCab berkata kenaikan itu akan dikenakan bagi semua perjalanan teksi bermeter, sama ada teksi yang ditahan di tepi jalan atau ditempah melalui aplikasi Grab.
Tambang unit akan meningkat daripada 26 sen kepada 27 sen, bagi setiap 45 saat waktu menunggu, setiap 400 meter yang dilalui antara 1 kilometer dengan 10 kilometer, dan setiap 350 meter yang dilalui melebihi 10 kilometer.
Tambang permulaan kekal tidak berubah, iaitu $4.60 bagi kenderaan empat tempat duduk dan $4.80 untuk perjalanan enam tempat duduk.
Dalam kenyataan itu, Grab menjelaskan kenaikan tambang itu adalah sebahagian usaha untuk memastikan pemandu dapat “terus beroperasi secara mampan ketika harga bahan api kekal tidak menentu”.
Syarikat itu menambah, baucar bahan api telah diedarkan kepada semua pemandu teksi GrabCab pada minggu sebelumnya bagi menyokong mereka dengan bantuan segera.
Langkah kenaikan tambang itu menyusuli langkah serupa yang diumumkan pengendali teksi terbesar Singapura, ComfortDelGro, pada 17 Mac.
Selain melaksanakan kenaikan satu sen dalam tambang bermeter bagi jarak dan waktu menunggu, ComfortDelGro turut memperkenalkan bayaran pemandu bagi tempahan yang dibuat melalui aplikasi Zig miliknya.
Bayaran itu ditetapkan pada kadar 50 sen bagi tambang di bawah $15; dan 80 sen bagi tambang bernilai $15 atau lebih.
Perubahan itu berkuat kuasa dari 24 Mac hingga 31 Mei.
Pada awal Mac, ComfortDelGro juga mula menanggung sebahagian kenaikan kos bahan api di stesen minyak dalaman miliknya, sebagai tindak balas terhadap pengendali stesen minyak yang menaikkan harga bahan api berikutan perang di Timur Tengah.
Setakat 20 Mac, harga bahan api gred oktana 95 ditetapkan pada kadar $3.47 seliter di stesen minyak Caltex, Shell, Esso dan Sinopec, berdasarkan data aplikasi Price Kaki yang dibangunkan oleh Persatuan Pengguna Singapura (Case).
Harga itu sebelum mengambil kira sebarang diskaun.
Gred petrol yang sama sebelum ini berharga $2.88 seliter di kebanyakan stesen minyak pada 28 Februari, ketika konflik itu mula meletus.
Harga diesel turut menunjukkan kenaikan mendadak, dengan satu liter berharga $3.73 di Caltex, Shell dan Esso setakat 20 Mac.
Harga itu lebih tinggi daripada paras tertinggi $3.19 seliter yang dicatatkan pada Mac 2022, apabila pencerobohan Russia ke atas Ukraine semakin meruncing.

