Grab lancar teksi Toyota Corolla Altis di S’pura jelang suku pertama 2026
Grab lancar teksi Toyota Corolla Altis di S’pura jelang suku pertama 2026
Model itu ditawar bagi beri lebih banyak pilihan kepada pemandu
GrabCab akan memperkenalkan Toyota Corolla Altis Hybrid ke dalam barisan teksinya menjelang suku pertama 2026.
Ini kali pertama model yang dibekalkan pengedar rasmi Toyota itu digunakan sebagai teksi di Singapura.
Sedan empat pintu berkenaan akan menyertai Toyota Prius, Hyundai Kona Hybrid dan BYD E6 elektrik sebagai model keempat dalam barisan kenderaan GrabCab.
GrabCab, yang menerima lesen pengendali teksi pada 9 April 2025, sedang memperluas barisan kenderaannya kepada sekurang-kurangnya 800 teksi dalam tempoh tiga tahun sebagai sebahagian syarat pelesenan.
Setakat akhir 2025, pengendali itu mempunyai 300 teksi yang sudah beroperasi.
Jurucakap Grab berkata syarikat itu berharap dapat menempatkan model Altis itu di jalan raya menjelang suku pertama 2026.
Model itu ditawarkan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pemandu.
Jumlah kenderaan yang akan ditambah bergantung pada permintaan pemandu, memandangkan pemandu boleh memilih model yang ingin disewa.
Pada 9 Februari, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengesahkan ia sedang menilai model tersebut untuk digunakan sebagai teksi.
Borneo Motors Singapore, pengedar Toyota, tidak mendedahkan saiz barisan kenderaan atau nilai kontrak kerana butirannya masih dalam proses dimuktamadkan.
Sebagai kereta privet, Corolla Altis Hybrid berharga sekitar $9,000 lebih rendah berbanding Prius.
Ketika ini, GrabCab mengenakan kadar sewa harian sama bagi Prius dan Hyundai Kona, iaitu $109.50 bagi kontrak 12 bulan, manakala BYD elektrik berharga $107 sehari.
Kos sewaan Corolla Altis pula belum diumumkan.
Corolla Altis mempunyai ruang but lebih luas berbanding Prius, namun tidak sebesar kenderaan jenama Hyundai dan BYD.
Model Altis petrol-hibrid 1.8 liter itu juga kurang jimat bahan api berbanding Prius, dengan anggaran jarak perjalanan di bawah 950 kilometer bagi satu tangki penuh petrol, kira-kira 100 kilometer kurang daripada julat Prius.
Pemandu mahukan lebih banyak pilihan apabila memilih jenis teksi.
Encik Eddie Jiu, 48 tahun, misalnya, menyewa Hyundai Kona ketika mendaftar dengan GrabCab pada September 2025.
Beliau kurang gemar dengan kedudukan tempat duduk pemandu Prius, manakala BYD pula kekurangan beberapa ciri yang diinginkannya.
Singapura tidak lagi membenarkan teksi diesel baru sejak 1 Januari 2025 dan GrabCab hanya mengendalikan kenderaan petrol-hibrid serta elektrik.
Ketika pelancarannya pada Julai 2025, pengendali itu menyatakan hasrat untuk menambah model yang lebih mesra alam bagi memenuhi permintaan pemandu dan sasaran kemampanan syarikat itu.
Walaupun kereta penumpang boleh didaftarkan sebagai kereta sewa privet, kelulusan LTA diperlukan sebelum ia digunakan sebagai teksi, dengan mengambil kira kapasiti tempat duduk dan ruang bagasi.
Kini, lebih 12 model kenderaan digunakan sebagai teksi di Singapura, termasuk Toyota Camry yang digunakan oleh Prime Taxi dan diperoleh melalui pengimport bebas.
Corolla Altis pula telah lama digunakan sebagai teksi di negara seperti Filipina, Thailand dan Taiwan.
Apabila model seperti Mercedes-Benz E-Class dan Lexus ES digunakan sebagai teksi sebelum ini, pakar berkata ia boleh menjejaskan tarikannya kepada pembeli kereta privet.
Namun, menurut Profesor Madya pemasaran Lewis Lim daripada Kolej Perniagaan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), hal itu tidak dijangka menjadi isu bagi Corolla Altis kerana model tersebut lazim digunakan di jalan raya dan pembelinya mengutamakan aspek kegunaan harian berbanding nilai eksklusifnya.

