Perancangan sedang dijalankan untuk membina litar pemanduan baharu untuk Home Team di tapak seluas 16 hektar bagi menggantikan litar pemanduan polis di Admiralty sekarang.

Litar baharu itu akan memenuhi keperluan operasi dan latihan Home Team yang semakin berkembang, kata Kementerian Dalam Negeri (MHA) pada 29 Ogos sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times.

MHA kini sedang mencari sebuah firma untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan menghasilkan pelan konsep bagi litar baharu itu, menurut dokumen tender yang disiarkan di tapak pemerolehan pemerintah GeBiz pada Julai.

Struktur berbilang tingkat yang memenuhi keperluan latihan jangka panjang jabatan-jabatan Home Team, dan juga cekap penggunaan tanah, adalah antara pilihan yang sedang dikaji, kata MHA.

Kementerian itu berkata lokasi tapak 16 hektar itu akan dimaklumkan kepada firma-firma yang mengambil bahagian semasa peringkat konsep reka bentuk awal.

Ia tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi litar baharu itu, apabila ditanya oleh ST.

Litar baharu ini akan menyokong latihan pegawai dari pelbagai jabatan Home Team, termasuk Pasukan Polis Singapura, Pasukan Pertahanan Awam Singapura, Biro Narkotik Pusat dan Perkhidmatan Penjara Singapura, kata MHA.lagi.

Menurut dokumen tender, litar tersebut akan menampilkan beberapa ruang latihan terbuka seluas antara 20,000 meter persegi dengan 90,000 meter persegi.

Ruang-ruang tersebut diperlukan untuk menjalankan latihan yang melibatkan kenderaan Kelas 2, iaitu motosikal berat dengan kapasiti silinder enjin melebihi 400cc, serta kenderaan Kelas 3, yang merangkumi kereta dengan berat tanpa muatan di bawah 3,000 kilogram (kg) dan kenderaan pengangkutan perubatan.

Ruang-ruang itu juga akan digunakan dalam latihan yang melibatkan kenderaan seperti kereta kebal tempur dan kenderaan tempur infantri, serta kenderaan berat Kelas 4 dan 5 yang berukuran sehingga 16.5 meter (m) panjang, 2.55m lebar dan 4.2m tinggi, dan dengan berat mencecah 48 tan.

Bagi penunggang motosikal, mereka akan menerima latihan dalam mengiringi orang kenamaan (VIP), menunggang di kawasan laluan lasak (off-road) dan mengelakkan perlanggaran.

Mereka juga akan belajar cara membentuk “sekatan jalan bergerak” untuk mewujudkan halangan bagi memperlahankan pemandu, dan untuk menangkap suspek daripada kenderaan dan menahan mereka.

Litar tersebut juga akan menempatkan kawasan latihan seluas 1,600 meter persegi dengan tangga pelbagai kecerunan dan bendul jalan untuk penunggangan taktikal – teknik pengendalian motosikal khusus untuk operasi berisiko tinggi atau di laluan lasak.

Di blok pentadbiran, akan terdapat dua pusat simulator serta bilik mesyuarat, bilik darjah, pejabat dan ruang makan.

Firma-firma dikehendaki mencadangkan konsep “integrasi inovatif” dengan penggunaan perisian simulasi untuk menilai tingkah laku kenderaan, dan menyertakan pertimbangan persediaan masa hadapan bagi peningkatan kapasiti latihan.

Tarikh penyerahan untuk konsep akhir adalah pada 30 November 2027.