Harga tiket penerbangan diramal terus melambung buat tempoh lebih lama daripada jangkaan, ekoran penutupan Selat Hormuz yang melumpuhkan eksport minyak dari Timur Tengah.

Demikian menurut badan penerbangan dunia pada 7 Jun.

Dalam taklimat unjuran industri mengenai krisis tenaga, Naib Presiden Kanan Kemapanan dan Ketua Ahli Ekonomi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata), Cik Marie Owens Thomsen, berkata semua unsur “krisis dalam sektor penapisan minyak” sudah wujud sebelum konflik Timur Tengah tercetus.

Menurutnya, keupayaan penapisan minyak yang tidak seimbang di seluruh dunia telah menyebabkan kawasan seperti Eropah lebih bergantung pada import bahan api, terutama dari rantau Teluk.

“Semua pihak akan terus bergelut dengan keadaan ini untuk tempoh yang lama, dan saya menjangkakan harga akan kekal tinggi.

“Kita perlu tunggu lebih lama sebelum harga minyak Brent kembali pada AS$60 ($77) setong seperti Januari,” katanya pada mesyuarat agung tahunan Iata di Rio de Janeiro, Brazil.

Menurut Iata, harga bahan api jet dijangka mencecah AS$152 setong pada 2026, berbanding kurang AS$100 setong pada 2025.

Pada minggu berakhir 29 Mei, harga puratanya ialah AS$141.64 setong.

Minyak mentah atau Brent perlu ditapis untuk menghasilkan petrol, diesel dan bahan api jet.

Ditanya berapa lama syarikat penerbangan akan terus menaikkan tambang, Cik Thomsen berkata, mereka akan berbuat demikian bagi menampung kos dan mengelakkan kerugian.

Berdasarkan data sejarah, syarikat penerbangan biasanya menyerap separuh daripada kenaikan harga bahan api melalui keuntungan yang nipis, manakala bakinya dipindahkan kepada penumpang dalam bentuk harga tiket penerbangan yang lebih tinggi.

Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada Mei bahawa syarikat itu tidak akan memindahkan beban kos bahan api sepenuhnya kepada pelanggan.

Meskipun SIA dan penerbangan tambang murah, Scoot, telah menaikkan tambang, pelarasan tersebut tidak mencukupi untuk menampung sepenuhnya lonjakan harga bahan api jet.

Dalam taklimat berasingan, pengarah penyelidikan bagi bahan api dan penapisan minyak sedunia bagi firma analitik komoditi S&P Global, Cik Eleanor Budds, memberi amaran keadaan itu mungkin bertambah buruk sebelum ia mula pulih.

Beliau menjangkakan harga minyak meningkat lagi semasa kemuncak kembara musim panas.

Dengan Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, lonjakan permintaan petrol akan mendorong loji penapisan mengutamakan pengeluaran petrol berbanding bahan api jet, sekali gus melonjakkan lagi harga bahan api penerbangan.

Beliau menjangkakan keadaan itu mungkin stabil selepas musim panas apabila permintaan berkurangan dan bekalan mula pulih, namun, harga dijangka kekal tinggi sehingga penghujung 2026.

Malah, sekalipun Selat Hormuz dibuka semula, harga minyak tidak akan kembali ke tahap asal dengan segera kerana sistem logistik dan pengeluaran memerlukan masa empat hingga lima bulan untuk pulih.

Sejak perang Iran tercetus pada 28 Februari, bahagian pasaran penumpang syarikat penerbangan Timur Tengah bagi laluan Eropah-Asia merosot daripada 26 peratus kepada 13 peratus antara Mac 2025 dengan Mac 2026.

Kekosongan tersebut diisi oleh syarikat penerbangan Asia Pasifik dan Eropah, dengan bahagian pasaran Asia Pasifik meningkat daripada 37 peratus kepada 45 peratus dalam tempoh yang sama.

Ketua Pengarah Iata, Encik Willie Walsh, menyifatkan perubahan itu sebagai sementara kerana syarikat penerbangan Eropah dan Asia tidak mempunyai kapasiti pesawat yang cukup untuk menggantikan keupayaan rantau Teluk.

Beliau yakin syarikat penerbangan Timur Tengah akan kembali menguasai pasaran sebaik sahaja kestabilan pulih.

Menurut Cik Thomsen, untuk meraih semula jumlah penerbangan yang merosot memerlukan masa, wang dan tenaga kerana tingkah laku pengguna telah berubah.

Mengenai kelewatan penghantaran pesawat dan enjin, Encik Walsh menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima” kerana ia meningkatkan kos bahan api, penyelenggaraan dan pajakan, serta menyebabkan gangguan operasi.