Satu jawatankuasa seramai 17 anggota merangkumi wakil industri, akademia, kesatuan sekerja dan pemerintah telah ditubuhkan untuk membangunkan penggunaan kenderaan tanpa pemandu atau kenderaan autonomi (AV) secara progresif di sini.
Dipengerusikan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, jawatankuasa itu akan memastikan AV disepadukan dengan selamat ke dalam sistem pengangkutan darat Singapura.
Ini di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ketersambungan bagi penduduk.
“Kenderaan autonomi akan menjadi pengubah keadaan bagi sistem pengangkutan kita. Untuk membimbing usaha pengerahan AV dalam tahun-tahun mendatang, saya telah membentuk satu Jawatankuasa Pemandu merangkumi pakar industri, pegawai pemerintah dan wakil kesatuan.
“Jawatankuasa ini akan memberi nasihat kepada saya agar sebarang pengerahan besar AV akan menggabungkan perspektif semua pihak berkepentingan, supaya kita akan bergerak ke hadapan bersama sebagai satu pasukan.
“Saya berharap dapat berkongsi lebih banyak maklumat terkini daripada jawatankuasa itu dalam beberapa bulan akan datang,” kata Encik Siow dalam satu catatan Facebook pada 31 Julai.
Menurut The Straits Times, ia akan menyelaraskan usaha empat kumpulan kerja, kata Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 31 Julai.
Satu kumpulan kerja akan meneliti pelancaran jangka pendek AV yang mengambil kira maklum balas penduduk.
Pengangkutan ulang-alik AV dijadual mula menyediakan khidmat penumpang di Punggol menjelang akhir 2025.
Kumpulan kerja kedua akan menimbangkan peraturan, liabiliti dan penguatkuasaan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kebertanggungjawaban teknologi tanpa pemandu.
Kumpulan kerja ketiga akan meneliti soal pekerjaan dan industri, termasuk memupuk keupayaan tempatan dan mewujudkan pekerjaan.
Kumpulan kerja keempat pula akan menyelia teknologi dan keselamatan untuk membangunkan dasar keselamatan siber dan data yang teguh untuk AV.
Antara anggota jawatankuasa yang mewakili industri termasuk presiden dan ketua pegawai operasi Grab, Encik Alex Hungate; pengarah urusan dan ketua eksekutif kumpulan pengendali pengangkutan ComfortDelGro, Encik Cheng Siak Kian; dan ketua eksekutif kumpulan dan pengarah eksekutif syarikat pengendali pengangkutan SMRT, Encik Ngien Hoon Ping.
Antara wakil daripada bidang akademik termasuk profesor kawalan dan mekatronik, Profesor Marcelo H. Ang Jr daripada Sekolah Kejuruteraan Mekanikal Universiti Nasional Singapura.
Wakil daripada kesatuan sekerja ialah Cik Yeo Wan Ling, penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan, penasihat Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Kebangsaan dan Persatuan Teksi Kebangsaan, dan setiausaha eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan.
Wakil daripada pemerintah ialah Encik Siow, yang mempengerusikan jawatankuasa; Dr Koh Poh Koon, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia dan Kesihatan; dan Encik Murali Pillai, Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan dan Undang-undang.
Pada Jun, Encik Siow mendedahkan rancangan bagi pengangkutan autonomi bagi membawa penumpang di Punggol menjelang akhir 2025.
Langkah itu akan dilakukan secara berperingkat, dengan pengangkutan ulang-alik pada mulanya tidak membawa penumpang sehinggalah penduduk dan pengguna jalan raya selesa dengannya.
Penggunaan pengangkutan ulang-alik tanpa pemandu dilihat sebagai satu cara meningkatkan ketersambungan pengangkutan awam, kerana ia menawarkan lebih banyak pilihan kepada orang ramai sambil mengatasi kekangan buruh yang dihadapi beberapa perkhidmatan pengangkutan.
Dalam jangka pendek, pengangkutan autonomi dijangka menyediakan perkhidmatan laluan tetap dan pendek ke pelbagai tempat di dalam estet perumahan awam, sekali gus meningkatkan bilangan khidmat pengangkutan awam sedia ada.
Dalam jangka pertengahan, ini boleh diperluaskan kepada perkhidmatan yang dikekang masalah buruh hari ini, seperti bas malam yang boleh disediakan dengan lebih kerap menerusi khidmat kenderaan tanpa pemandu, kata Encik Siow.
Pada Julai, perkhidmatan bas ulang-alik tanpa pemandu di resort bersepadu Resorts World Sentosa menjadi yang pertama di Singapura yang dibenarkan beroperasi tanpa ada kakitangan manusia di dalamnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg