Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jeffrey Siow: Skim perjalanan MRT percuma di luar waktu sibuk dinilai selepas setahun

Nov 4, 2025 | 5:46 PM
MRT, non peak hours
Sekitar 7 peratus penumpang telah menyesuaikan waktu perjalanan mereka di luar waktu sibuk pagi apabila program perjalanan percuma serupa diperkenalkan pada 2013. - Foto fail

Skim perintis bagi perjalanan kereta api percuma di luar waktu sibuk pagi di Laluan Timur Laut (NEL) akan dinilai sama ada akan dilanjutkan selepas tempoh setahun, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan oleh Anggota Parlimen (AP) Encik Louis Chua (GRC Sengkang), mengenai sama ada pihak berkuasa akan mengekalkan skim tersebut.

Di bawah skim itu, penumpang akan menikmati tambang percuma mulai 27 Disember, jika mereka menaiki MRT dari stesen NEL Punggol Coast, Punggol, Sengkang, Buangkok, Hougang atau Kovan atau mana-mana stesen LRT Sengkang-Punggol (SPLRT) sebelum 7.30 pagi, atau antara 9 pagi dengan 9.45 pagi pada hari bekerja, tidak termasuk cuti umum.

Encik Siow berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang menjalankan skim perintis itu di NEL dan SPLRT – yang kini merupakan laluan paling banyak digunakan dalam rangkaian MRT.

Sekitar 7 peratus penumpang telah menyesuaikan waktu perjalanan mereka di luar waktu sibuk pagi apabila program perjalanan percuma serupa diperkenalkan pada 2013, tambah beliau.

“Jika kita dapat mencapai keputusan serupa dan berterusan, kita tidak perlu menambah sumber tambahan untuk menampung bilangan penumpang lebih tinggi sebelum 7.30 pagi.

“Program perjalanan percuma di luar waktu sibuk pagi ini akan dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah.

“Tahap pembiayaan pemerintah yang diperlukan bergantung kepada kadar penggunaan akhir, serta keberkesanan skim ini,” jelas Encik Siow.

Dalam soalan susulan, AP Parti Pekerja (WP) itu bertanya kepada Encik Siow sama ada MOT boleh menambah lebih banyak gerabak kereta api.

Laluan di bawah skim perjalanan percuma itu melalui kawasan undi Encik Chua, lapor The Straits Times (ST).

Encik Siow berkata kementeriannya belum mengambil langkah tersebut kerana NEL merupakan laluan bawah tanah.

Sekiranya kereta api lebih panjang daripada stesen sedia ada, kementerian mungkin terpaksa menutup laluan untuk memperbesarkan stesen, atau terdapat risiko keselamatan kebakaran, jelas Encik Siow.

“Apa yang telah kami lakukan – sudah tentu bagi laluan akan datang – ialah melihat sama ada kami boleh merancang peruntukan bagi stesen lebih panjang terlebih dahulu, dan kemudian mungkin pada masa akan datang hanya menggunakan kereta api lebih kecil dan menambah kapasiti kereta api apabila diperlukan,” katanya.

AP, Cik Elysa Chen (GRC Bishan-Toa Payoh), pula bertanya bagaimana kementerian menentukan stesen yang terlibat dalam skim itu, sambil menambah bahawa stesen MRT Bishan – yang berada dalam kawasan undinya – juga agak sesak.

Encik Siow berkata bahagian yang dipilih adalah laluan yang paling banyak digunakan dalam seluruh rangkaian MRT buat masa ini, dan tidak mempunyai laluan alternatif lain sehingga Laluan Rentas Pulau (CRL) siap kelak.

Sekiranya berlaku gangguan di stesen-stesen tersebut, kesannya akan menjadi agak besar, justeru kementeriannya perlu berusaha mengurangkan kesesakan laluan tersebut pada waktu sibuk, jelas Encik Siow.

Encik Siow berkata Stesen Bishan pula agak kurang sesak dan lebih terhubung dengan stesen lain.

Cik Chen turut bertanya sama ada skim itu memberi lebih manfaat kepada penumpang yang boleh membuat penyesuaian kepada masa perjalanan mereka.

Encik Siow menjelaskan skim itu bertujuan mengalihkan sebilangan kecil penumpang yang boleh melakukan perjalanan di luar waktu sibuk.

Langkah itu sekali gus memberi manfaat kepada penumpang yang tiada pilihan lain selain melakukan perjalanan pada waktu lebih sesak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg