Keandalan NEL tingkat 2 kali ganda pada Feb
Tiada kelewatan ketara lebih 30 minit dicatat di seluruh rangkaian rel
Keandalan rangkaian MRT terus meningkat pada Februari, dengan Laluan Timur Laut (NEL) menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding Januari.
Demikian menurut perangkaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Secara purata, kereta api kini bergerak 1.74 juta kilometer (km) sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit antara Mac 2025 dengan Februari 2026.
Ia lebih baik daripada purata 1.67 juta km yang dicatat antara Februari 2025 dengan Januari 2026.
Angka itu melepasi sasaran keandalan kereta api Singapura, iaitu 1 juta km untuk keseluruhan rangkaian MRT, diukur melalui purata kilometer antara kegagalan (MKBF).
MKBF, piawaian kejuruteraan yang diterima umum, mengukur jarak yang dilalui kereta api sebelum berlakunya kelewatan melebihi lima minit.
Perangkaan LTA itu dihitung berdasarkan purata bergerak 12 bulan MKBF.
Dalam aspek lain pula, ketepatan masa kereta api bertambah baik di seluruh rangkaian MRT pada Februari.
Kira-kira 99.46 peratus perjalanan tamat dalam tempoh dua minit daripada masa yang dijadual, berbanding 99.24 peratus pada Januari, umum LTA pada 13 Mac.
NEL, yang dikendalikan oleh SBS Transit, muncul sebagai laluan MRT paling andal.
Ia mencatat 4.42 juta km sebelum berlakunya kelewatan pada Februari, menggandakan purata bergerak 2.21 juta km pada Januari.
Di tempat kedua ialah Laluan Downtown (DTL) SBS Transit, dengan purata 2.8 juta km antara kelewatan, meningkat sedikit daripada 2.79 juta km.
Diikuti DTL, Laluan Circle (CCL) kendalian SMRT mencatat 1.8 juta km, turun daripada 1.83 juta km.
Laluan Timur-Barat, juga kendalian SMRT, menyusul dengan 1.44 juta km antara kelewatan, merosot sedikit daripada 1.45 juta km.
Paling kurang diyakini adalah Laluan Utara-Selatan kendalian SMRT, kekal pada 1.24 juta km, angka yang sama dicatat pada Januari.
Prestasi Laluan Thomson-East Coast (TEL) kendalian SMRT tidak termasuk dalam kiraan kebolehpercayaan rel keseluruhan.
Ini kerana laluan MRT baru biasanya mencatat jarak tempuh antara kelewatan yang lebih rendah pada awalnya, disebabkan bilangan penumpang yang sedikit dan kekerapan kereta api yang belum stabil sepenuhnya.
Peringkat kelima dan terakhir laluan itu, merangkumi stesen Bedok South dan Sungei Bedok, dijangka dibuka pada separuh kedua 2026.
LTA berkata selepas laluan dibuka sepenuhnya dan operasi stabil, prestasi TEL kemudian boleh dibandingkan secara adil dengan laluan MRT yang matang.
Pada Februari, kereta api TEL bergerak purata 415,000 km antara kelewatan – satu peningkatan daripada 373,000 km pada Januari.
Tiada kelewatan ketara melebihi 30 minit merentasi rangkaian rel pada Februari.
Bagi rangkaian LRT, keandalan keseluruhannya meningkat pada Februari, dengan purata perjalanan kereta api mencapai 410,000 km antara kelewatan berbanding 408,000 km pada Januari.
LRT Sengkang-Punggol, yang dikendalikan oleh SBS Transit, mencatat peningkatan kecil, mencapai 866,000 km kereta antara kelewatan, berbanding 860,000 km kereta pada Januari.

