Kerja untuk menghubungkan Laluan Timur-Barat (EWL) dengan Depoh Bersepadu East Coast yang baru berjalan lancar mengikut jadual sejauh ini.
Buat masa ini, tiada keperluan bagi penutupan lebih lama khidmat MRT di laluan itu daripada 10 hari yang dirancang, kata pengarah kumpulan rel (elektrik dan mekanikal) Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Encik Chia Choon Poh.
Tambahnya, sekitar 880 kakitangan LTA, syarikat pengendali rel SMRT dan kontraktor yang bekerja siang dan malam sejak 29 November.
Sebelum ini, LTA mengumumkan bahawa perkhidmatan MRT di EWL tidak akan beroperasi antara stesen MRT Bedok dengan Tampines serta antara stesen MRT Tanah Merah dengan Expo selama 10 hari, dari 29 November hingga 8 Disember.
Ditemui media di stesen MRT Tanah Merah pada 30 November, Encik Chia bagaimanapun berkata kebanyakan kerja yang dijalankan juga bergantung pada cuaca.
Meskipun masa telah diperuntuk dalam jadual untuk mengambil kira cuaca hujan, kerja yang dijalankan boleh terjejas sama ada cuaca hujan atau panas, tambahnya.
Misalnya, beliau berkata pekerja perlu berehat selama 15 minit selepas bekerja selama sejam jika cuaca panas, manakala hujan ribut lebat atau kilat boleh menyebabkan jadual kerja tergendala.
Encik Chia berkata penutupan itu dijadualkan sempena cuti sekolah, sambil menambah bahawa data penumpang LTA menunjukkan kesan terhadap penumpang adalah kurang dalam tempoh ini.
Secara keseluruhan, kerja-kerja sedang dijalankan di 12 tempat berbeza sepanjang 4.8 kilometer di bahagian laluan yang terjejas itu, menuju ke depoh baru.
Encik Chia berkata secara amnya, tiga jenis kerja perlu dilakukan di pelbagai tempat.
Pertama, komponen tepi landasan ditanggalkan, termasuk panel rel dan peralatan isyarat. Seterusnya, komponen tepi landasan baru dipasang.
Akhir sekali, komponen yang baru dipasang akan diuji secara berperingkat.
Encik Chia berkata kerja menanggalkan komponen sedia ada serta memasang komponen yang baru dijangka mengambil masa sekitar lima hari, dengan baki tempoh penutupan dikhaskan bagi ujian.
“Setelah landasan siap, kereta api masih perlu melaluinya, untuk memastikan ia selamat,” ujarnya.
Dengan penutupan stesen MRT terbabit, penumpang yang menuju ke Simei dan Tanah Merah boleh menaiki perkhidmatan bas Shuttle 7, yang beroperasi antara stesen Bedok dengan Tampines.
Mereka yang menuju ke atau dari Expo boleh menaiki Shuttle 8, yang beroperasi antara stesen Bedok dengan Expo.
Bagi membantu menguruskan aliran orang ramai yang disebabkan gangguan tersebut, pengendali EWL, SMRT Trains, telah mengerahkan 10 kali lebih banyak tenaga kerja di stesen-stesen yang terjejas.
Penyesuaian perkhidmatan yang sedang dijalankan itu merupakan yang kedua daripada tiga yang dirancang, dengan yang terakhir dijadualkan berlangsung pada separuh pertama 2026.
Yang pertama dirancang berlangsung dari 7 hingga 10 Disember 2024, namun siap sehari lebih awal daripada yang dirancang.
Encik Chia berkata penyesuaian perkhidmatan yang terakhir itu diperlukan untuk memutuskan sambungan perkhidmatan EWL dari Depoh Changi sedia ada, yang akan digantikan dengan depoh East Coast yang baru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg