SBS Transit (SBST) akan memperkenalkan khidmat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) baharu di depoh bas dan kereta apinya.

Langkah itu merupakan sebagai sebahagian usaha mengurangkan kebergantungan kepada khidmat penyenggaraan di luar negara serta memendekkan tempoh pembaikan daripada berbulan-bulan kepada hanya beberapa hari.

Syarikat pengendali pengangkutan itu akan bekerjasama dengan 12 firma bagi memperkukuh kepakaran teknikal dalam kerja pembaikan dan baik pulih di enam depoh bas serta dua depoh kereta api SBST.

Antara firma yang terlibat adalah penyedia teknologi sistem kereta api dari Perancis, Alstom; pengeluar kereta api dari China, CRRC Qingdao Sifang; dan firma sistem isyarat dari Jerman, Siemens Mobility.

Semasa pelancaran khidmat baharu itu di Depoh Laluan Timur Laut (NEL) di Sengkang East pada 18 November, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBST, Encik Jeffrey Sim, berkata:

“Secara keseluruhannya, kerjasama ini mengurangkan kebergantungan kepada khidmat penyenggaraan di luar negara, memendekkan tempoh pembaikan dan memastikan lebih banyak kereta api serta bas tersedia untuk beroperasi.”

Kakitangan SBST juga berpeluang mempertingkat kepakaran mereka dan mengendalikan kerja lebih rumit, daripada mengenal pasti punca kerosakan dan membaiki komponen elektronik sehingga melakukan baik pulih peralatan penting sistem kereta api, tambah beliau.

“Melalui latihan dan pemindahan pengetahuan, jurutera dan juruteknik kami dapat berkembang ke arah peranan yang lebih khusus dengan tanggungjawab lebih besar serta, yang penting, prospek kerjaya dan gaji yang lebih baik,” ujar Encik Sim.

Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, turut menghadiri majlis perasmian itu. Antara kemudahan baharu yang diperkenalkan ialah sebuah pusat khidmat khusus bagi mesin pengalih landasan.

Pusat itu, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, ditubuhkan menerusi kerjasama dengan Siemens Mobility dan pembekal peralatan kereta api dari Jerman, Vossloh.

Pengarah Urusan Siemens Mobility Singapura dan Asia Pasifik, Encik Michel Obadia, berkata:

“Usaha membangunkan kepakaran dan keupayaan tempatan membawa nilai tambah.”

“Selain itu, tempoh menunggu untuk mendapatkan semula komponen yang dibaiki juga dapat dipendekkan kerana sebelum ini, kami perlu menghantar alat ganti tersebut ke Eropah tanpa mengetahui bila ia akan dikembalikan.”

Beliau menambah bahawa langkah itu dapat meningkatkan daya tahan rangkaian kereta api serta mengurangkan kos penyenggaraan.

Satu lagi kemudahan baru ialah pusat diagnosis, penyenggaraan dan pembaikan bagi sistem kawalan brek kereta api, yang ditubuhkan dengan kerjasama pengeluar brek dari Jerman, Knorr-Bremse.

Menurut SBST, alat ganti brek tidak lagi perlu dihantar ke luar negara untuk dibaiki, yang sebelum ini boleh mengambil masa hingga tiga bulan berbanding hanya dua minggu jika kerja pembaikan dilakukan di Singapura.

SBST menambah bahawa ia akan memperkukuh keupayaannya dalam penyenggaraan ramalan bagi bas elektrik menerusi kerjasama dengan firma dari Portugal, Stratio Automotive.