Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat ulang-alik pandu sendiri mula diuji di Punggol

Kenderaan yang boleh tampung lima atau lapan tempat akan mula ambil penumpang secara bertahap pada suku kedua 2026
Sep 20, 2025 | 2:11 PM
pandu sendiri, punggol
Khidmat ulang-alik pandu sendiri ini dijangka melalui tiga laluan di Punggol, bermula suku kedua 2026. - Foto ZAOBAO

Van penumpang yang bakal menyediakan khidmat ulang-alik pandu sendiri pertama di Punggol boleh mula dilihat di jalan raya di bandar itu mulai minggu depan.

Kenderaan yang menawarkan lima atau lapan tempat duduk itu berwarna ungu dan dipasang dengan lampu kuning di bumbungnya.

Namun, khidmat tersebut dijangka hanya dilaksanakan secara bertahap mulai suku kedua 2026.

Ia dijangka berkhidmat mengikuti tiga laluan, dengan tiga kenderaan pertama dikerah untuk menerokai tiga laluan tersebut dalam beberapa bulan akan datang, tanpa mengambil sebarang penumpang.

Tiga laluan ini meliputi kawasan Punggol yang sukar dijangkau oleh pengangkutan awam pada masa ini, dan berpotensi memendekkan masa perjalanan sehingga 15 minit.

Pada awal 2026, orang awam akan dijemput untuk mencuba perkhidmatan ulang-alik ini secara percuma untuk mengalami sendiri bagaimana teknologi itu berfungsi sebelum perkhidmatan komersial bermula pada akhir tahun tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, seorang pengendali keselamatan akan berada di dalam kenderaan pada setiap masa.

Mengumumkan pelancaran khidmat ulang-alik pada 20 September, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow berkata matlamatnya adalah untuk membawa masuk 10 kenderaan pandu sendiri menjelang akhir 2025, dan mungkin 100 hingga 150 kenderaan menjelang akhir 2026.

“Hari ini di Punggol, kita memulakan babak baru dalam pengangkutan. Pengangkutan awam yang lebih selamat, lebih pintar dan lebih mudah untuk semua,” kata Encik Siow. 

Beliau menambah bahawa kenderaan pandu sendiri (AV) akhirnya boleh menjadi kenyataan dengan adanya sensor yang lebih murah, data besar (big data), dan kecerdasan buatan (AI).

Mengulangi visinya untuk penggunaan AV di sini,  Encik Siow berkata kenderaan pandu sendiri melengkapi rangkaian bas awam dalam jangka masa terdekat kerana ia menambah lebih banyak laluan ‘feeder’ (jarak dekat) dan perkhidmatan malam.

Mengulas mengenai keprihatinan yang timbul mengenai pekerjaan sebagai pemandu yang mungkin hilang, Encik Siow berkata pemandu masih diperlukan lagi bagi masa yang lama dan kewujudan AV diiringi pekerjaan baru seperti pengendali dari jauh dan pengurus kenderaan.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri pameran awam di Distrik Digital Punggol.

Turut hadir ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan) Cik Sun Xueling.

Cik Sun berkata Punggol dipilih sebagai lokasi pertama untuk khidmat ulang-alik pandu sendiri kerana kawasan itu padat dan kepelbagaian penduduknya.

Juga, di Punggol terdapat corak perjalanan jelas yang boleh memanfaatkan khidmat tersebut, kata Cik Sun, yang berkata AP di GRC itu telah bekerjasama dengan pengendali khidmat untuk memutuskan laluan yang memenuhi keperluan penduduk secara terbaik.

Cik Sun berkata aspek keselamatan sentiasa diutamakan kerana beliau dan rakan AP yang lain faham sebahagian penduduk bimbang tentang keselamatan apabila ada kenderaan pandu sendiri di jalan raya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg