Warga Singapura mesti menjangkakan tambang pengangkutan awam terus meningkat dengan masa kerana adalah tidak adil jika pendapatan pekerja pengangkutan awam kekal tidak berubah.
Jika tambang pengangkutan awam mesti diturunkan, itu “pada asasnya mengatakan bahawa gaji mereka juga mesti turun”, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
“Mereka adalah pekerja pengangkutan dan orang yang menyenggara kereta api, yang memandu bas, yang berkhidmat dalam operasi pusat kawalan.
“Mereka juga manusia dan mereka juga mencari rezeki, dan mereka juga menghadapi tekanan kos sara hidup,” kata Encik Siow, dalam wawancara panjang pertama beliau bersama media sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan yang diadakan di Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 11 Jun.
Sebahagian besar kos pengangkutan awam dibiayai pemerintah, kata Encik Siow, dengan pemerintah menanggung perbelanjaan modal dan membina prasarana.
Sebelum ini juga, ia dilaporkan bahawa pemerintah menyediakan subsidi pengangkutan awam lebih $2 bilion setiap tahun untuk memastikan khidmat pengangkutan awam terus berjalan.
Baki kos pengangkutan awam dibiayai penumpang, dengan keseimbangan sumbangan yang berbeza itu menjadikan sistem pengangkutan awam mampan, kata Encik Siow.
Kali terakhir tambang pengangkutan awam dinaikkan adalah pada Disember 2024, di mana tambang kereta api dan bas bagi orang dewasa naik 10 sen bagi setiap perjalanan.
Sementara itu, tambang konsesi warga emas, pelajar, golongan kurang upaya dan pekerja bergaji rendah pula naik 4 sen bagi setiap perjalanan.
Ini menyusuli kenaikan tambang pengangkutan awam sebanyak 6 peratus sebagai sebahagian daripada langkah penyesuaian tambang tahunan Majlis Pengangkutan Awam (PTC) bagi 2024.
PTC telah menjelaskan bahawa penyesuaian tambang 6 peratus pada 2024 itu didorong perkembangan inflasi teras dan gaji pada 2023, dan telah mempertimbangkan kos sara hidup rakyat Singapura.
Encik Siow berkata pemerintah akan terus membantu mereka yang tidak mampu membayar tambang pengangkutan awam.
“Kami telah melakukannya setiap kali melalui baucar pengangkutan dan konsesi untuk golongan yang tertentu, dan kami akan terus melakukannya,” kata beliau.
Encik Siow turut berkongsi tentang usaha yang sedang dilakukan untuk mempertingkat pengangkutan awam.
Antaranya, dalam lima tahun mendatang, tumpuan utama beliau adalah untuk mengurangkan masa perjalanan apabila menaiki pengangkutan awam, terutamanya dari estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang terletak lebih jauh dari pusat bandar seperti Tengah, Punggol dan Jurong West.
“Bagi pengangkutan awam benar-benar menjadi berdaya saing dan bagi kita mencapai visi ‘car-lite’ (kurang bergantung pada penggunaan kenderaan privet), anda akan perlu kurangkan masa perjalanan kepada satu hingga dua kali ganda.
“Apabila anda lakukan demikian (kurangkan masa perjalanan apabila menaiki pengangkutan awam), permintaan bagi pengangkutan privet... akan berkurangan. Pengangkutan awam akan menjadi lebih berdaya maju dan menarik, dan kita harus letakkan tumpuan kita pada itu,” kata beliau.
Berkenaan kebolehpercayaan pada sistem rel pula, Encik Siow menekankan peri pentingnya mempunyai rangkaian kereta api yang berdaya tahan dan saling terhubung.
Khidmat rangkaian MRT Singapura secara umumnya telah bertambah baik jika dibandingkan dengan lebih sedekad lalu, dengan purata kilometer antara gangguan (MKBF) – ukuran kejuruteraan bagi kebolehpercayaan rel – meningkat daripada 67,000 purata kilometer antara gangguan pada 2012 kepada hampir 2 juta purata kilometer antara gangguan hari ini.
Namun begitu, sistem MRT terus mengalami beberapa insiden gangguan perkhidmatan.
Salah satu insiden terbesar ialah gangguan perkhidmatan Laluan Timur-Barat (EWL) selama enam hari yang menjejas sekitar 2.6 juta penumpang antara 25 dengan 30 September 2024 – dianggap sebagai antara yang terburuk dalam sejarah Singapura.
Encik Siow berkata daya ketahanan kereta api ada dalam dua bahagian – rangkaian yang terhubung dan beban penumpang.
Laluan MRT, seperti Laluan Circle dan Laluan Rentas Pulau (CRL), adalah penting kerana ia memberi alternatif kepada penumpang untuk meneruskan perjalanan sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan pada laluan lain.
Beliau menambah bahawa jumlah penumpang juga perlu pada “tahap yang boleh diterima” agar jika gangguan perkhidmatan berlaku, ia boleh diuruskan dengan baik.
Selain itu, beliau berkata penyenggaraan dan penggunaan teknologi juga penting dalam mempertingkat kebolehpercayaan rel.
“Lebih banyak laluan rel yang dikendalikan, lebih banyak perkara yang perlu dipantau, dan lebih banyak perkara boleh berlaku.
“Justeru, dengan menggunakan teknologi, banyak peningkatan telah dibuat. Mereka menggunakan video kamera, sensor, penyenggaraan secara dahuluan untuk meneliti masalah sebelum ia timbul,” kata beliau.
“
Mereka adalah pekerja pengangkutan dan orang yang menyenggara kereta api, yang memandu bas, yang berkhidmat dalam operasi pusat kawalan. Mereka juga manusia dan mereka juga mencari rezeki, dan mereka juga menghadapi tekanan kos sara hidup.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg