Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOT akan bangun pengangkutan lebih terhubung di udara, laut dan darat

Sep 18, 2025 | 6:19 PM
MOT, Jeffrey Siow, Kementerian Pengangkutan, pengangkutan awam
Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus membangun sistem pengangkutan rentas sempadan lebih terhubung merangkumi udara, laut dan darat di samping meningkatkan pilihan pengangkutan bagi warga Singapura untuk memenuhi keperluan mobiliti mereka pada masa hadapan. - Foto ST

Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus membangun sistem pengangkutan rentas sempadan lebih terhubung merangkumi udara, laut dan darat, di samping memperbaiki pengangkutan awam bagi warga Singapura.

Usaha sedemikian dilakukan demi memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab pengangkutan udara dan maritim, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

Ini selain meningkatkan pilihan pengangkutan bagi warga Singapura untuk memenuhi keperluan mobiliti mereka pada masa hadapan, tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam adendum (kenyataan tambahan) kepada Amanat Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa pembukaan Sidang Parlimen ke-15 pada 5 September.

Adendum itu dikongsi dengan media oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 18 September.

Menggariskan tumpuan MOT bagi penggal pemerintah semasa, beliau berkata kementerian itu akan terus memperkukuh Singapura sebagai salah satu hab unggul dalam rantaian bekalan di persada dunia.

Ini akan dilakukan dengan mengembangkan hubungan antarabangsa melalui udara, laut dan darat dengan menjalin kerjasama dengan rakan kongsi dari luar negara.

“Langkah ini akan meningkatkan peranan Singapura sebagai nod yang dipercayai dalam rantaian bekalan sejagat dan penghubung utama antara Asia dengan dunia.

“Ini di samping mengembangkan peluang bagi perniagaan dan mencipta pekerjaan yang baik untuk warga Singapura,” ujar Encik Siow.

Tumpuan ini sejajar dengan gesaan Tuan Presiden, yang menyatakan Singapura perlu kekal menjadi lokasi ideal dan stabil.

“Kita tidak dapat menandingi negara lain dari segi saiz atau skala, tetapi kita boleh menandingi negara lain dari segi kepantasan, kepintaran dan kepercayaan.

“Dalam dunia yang lebih berpecah, Singapura harus kekal menjadi pelabuhan yang selamat – pangkalan boleh dipercayai untuk menempuhi kerumitan sejagat dan pintu masuk ke atas dinamisme Asia,” ujar Tuan Presiden.

Sehubungan itu, Encik Siow berkata pembinaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi dan Zon Perindustrian Changi East, yang dijangka beroperasi pada pertengahan 2030, dijangka menambah kapasiti penumpang dan pengendalian kargo di sini.

Apabila siap kelak, T5 bakal menampung lebih 50 peratus jumlah penumpang setiap tahun berbanding jumlah penumpang yang dikendali Lapangan Terbang Changi secara purata buat masa ini, katanya.

Lapangan Terbang Changi mengendalikan jumlah rekod tahunan 68.4 juta pergerakan penumpang bagi tahun yang berakhir pada 31 Mac 2025.

Pada masa yang sama, T5 juga dijangka menambah keterhubungan udara daripada sekitar 170 bandar kepada lebih 200 bandar, ujar beliau.

Encik Siow berkata pembangunan Zon Perindustrian Changi East dan Pusat Pengangkutan Udara Changi yang dinaik taraf pula akan meningkatkan keupayaan Singapura mengendalikan kargo udara sebanyak 80 peratus kepada 5.4 juta tan setiap tahun.

“Menjelang pembukaan T5, MOT akan bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak untuk mempertingkatkan kerjaya industri penerbangan melalui transformasi pekerjaan, peningkatan kemahiran dan penggunaan teknologi seperti kenderaan autonomi rusuk udara (airside) dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengoptimumkan operasi,” katanya.

Ini selain kemudahan pelabuhan baru di Pelabuhan Tuas, yang dijangka meningkatkan keupayaan pengendalian kepada 65 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) apabila siap sepenuhnya pada 2040-an.

Ia peningkatan hampir 60 peratus berbanding jumlah yang dicatatkan kini, tambah Encik Siow.

Sementara itu, beliau turut memberi penekanan terhadap penambahbaikan dan peluasan pengangkutan awam di Singapura, sejajar dengan Pelan Induk Pengangkutan Darat (LTMP) 2040, yang diterbitkan pada Mac 2019.

Ini termasuk memperluaskan rangkaian rel dan meningkatkan keterhubungan melalui bas, di samping mengekalkan piawaian kebolehpercayaan rel sedang rangkaian sedia ada dimamah usia, katanya.

“MOT akan bekerjasama dengan pengendali dan kakitangan rel untuk melabur dalam sistem dan latihan bagi memperbaiki pengawalan, penyelenggaraan dan pembaharuan aset rel,” ujarnya.

Beliau menambah kementeriannya akan terus mendengar maklum balas orang awam untuk memahami keperluan yang kian berubah dan membina sistem pengangkutan darat yang boleh dibanggakan warga Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg