Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MPA: Baj angkut kontena terkandas di Sentosa selamat ditunda

Jun 6, 2025 | 5:44 PM
baj, kontena, sentosa
Tiada laporan mengenai kerosakan, kecederaan atau pencemaran, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan. - Foto ST

Sebuah baj pengangkut kontena yang terkandas di Pantai Tanjong, Sentosa, pada pagi 6 Jun telah ditunda dengan selamat ke tempat berlabuh untuk tujuan pemeriksaan dan penyiasatan.

Akibat kejadian itu, sebahagian daripada halangan keselamatan terapung di Sentosa telah rosak, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam kemas kini sekitar 12.35 tengah hari pada 6 Jun.

Polis Pengawal Pantai (PCG) akan menilai kerosakan dan kerja pembaikan, dan ia telah meningkatkan rondaan di kawasan sekitar.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, MPA berkata tiada laporan mengenai kecederaan atau pencemaran dan baj pengangkut kontena Marco Polo 802 kekal stabil.

“Tiada kesan kepada keselamatan pelayaran,” kata MPA, sambil menambah bahawa pantai itu tetap dibuka kepada orang ramai.

Satu hantaran mengenai kejadian itu di laman Facebook Sentosa menyatakan tiada tumpahan minyak dikesan.

Jurupandu kayak di agensi Kayakasia, Cik Kong Pei Ling, berkata beliau melihat bot besar yang membawa kontena itu ketika beliau tiba di pantai sekitar 7.15 pagi.

Baj itu menghalang lagun dan telah memusnahkan halangan laut terapung, tambahnya.

“Kami sedang bersiap sedia untuk memulakan perjalanan berkayak di sekitar pantai Sentosa tetapi terhalang kerana baj itu, jadi sebaliknya kami bertolak ke Pantai Palawan,” kata Cik Kong.

Seorang pengunjung pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Melvin berkata: “Saya pelik kerana ini bukan tempat untuk memunggah kontena.”

Lelaki berusia 42 tahun itu, yang melawat pantai bersama keluarganya, kemudian menyedari baj itu mungkin terkandas.

Menurut laman web syarikat perkapalan Maersk, Marco Polo 802, ialah bot berdaftar di Indonesia yang dijadual tiba di sebuah terminal di Singapura pada 10 pagi.

Ketika The Straits Times (ST) tiba di tempat kejadian sekitar 10.30 pagi, tiga kapal dan sebuah bot tunda kelihatan menarik baj tersebut menjauhi pantai.

MPA sedang menyiasat kejadian itu.

Pantai Palawan, Pantai Tanjong dan Pantai Siloso ditutup pada Jun 2024 selama tiga bulan selepas sebuah bot melanggar sebuah kapal di Terminal Pasir Panjang, mengakibatkan tumpahan minyak paling teruk di Singapura dalam sedekad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg