Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Tukaran Bas Punggol Coast dibuka 29 Jun

Bermula dengan khidmat bas 34 dan 117; disepadu dengan MRT Punggol Coast, Punggol Coast Mall
May 20, 2025 | 5:56 PM
pusat tukaran bas punggol coast, Kawasan Digital Punggol, Hab Pengangkutan Bersepadu
Terletak di tengah-tengah kawasan taman perniagaan Kawasan Digital Punggol, Pusat Tukaran Bas Punggol Coast yang bakal dibuka pada 29 Jun, akan menjadi Hab Pengangkutan Bersepadu (ITH) ke-15 di Singapura. - Foto ST

Penduduk Punggol akan menikmati kemudahan keterhubungan pengangkutan awam yang lebih baik apabila Pusat Tukaran Bas Punggol Coast yang baru bakal dibuka pada 29 Jun.

Pusat tukaran bas itu disepadukan dengan stesen MRT Punggol Coast di Laluan Timur Laut (NEL) yang mula beroperasi pada 10 Disember 2024, serta pusat beli-belah Punggol Coast Mall yang dibuka pada Mac.

Pada peringkat permulaan, perkhidmatan bas 34 dan 117, serta perkhidmatan lanjutannya, 117M akan dipindahkan dari Pusat Tukaran Bas Punggol sedia ada di Punggol Central, ke pusat tukaran bas baru itu di Sentul Walk.

Selepas berpindah ke Pusat Tukaran Bas Punggol Coast, perkhidmatan bas tersebut akan dilanjutkan. 

Bas 117 akan berhenti di empat hentian tambahan, manakala bas 34 akan berhenti di tujuh hentian tambahan dari Punggol Coast ke Punggol Central, serta lapan hentian tambahan dalam perjalanan pulang.

Ini akan meningkatkan keterhubungan dalam kawasan Punggol dan memberi penduduk di Sumang Walk dan Sentul Crescent akses langsung kepada perkhidmatan bas antara bandar ke destinasi seperti Lapangan Terbang Changi, serta Tampines dan Yishun, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 20 Mei.

Tarikh pembukaan Pusat Tukaran Bas Punggol Coast diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat pada 20 Mei selepas beliau melawat tapak tersebut.

Encik Chee memberitahu wartawan bahawa pihak berkuasa sedang meneliti perkhidmatan bas baru yang boleh beroperasi dari pusat tukaran bas itu.

Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (dua dari kiri), melawat tapak Pusat Tukaran Bas Punggol Coast pada 20 Mei bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol – (dari kiri) Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; dan Cik Yeo Wan Ling.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (dua dari kiri), melawat tapak Pusat Tukaran Bas Punggol Coast pada 20 Mei bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol – (dari kiri) Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; dan Cik Yeo Wan Ling. - Foto SHIN MIN

“Kami juga akan memulakan perkhidmatan terus ke bandar untuk menyediakan keterhubungan kepada penduduk Punggol ke kawasan bandar pada waktu sibuk,” katanya.

LTA menambah bahawa penumpang boleh menjangkakan laluan bas baru serta penambahbaikan lanjut kepada perkhidmatan bas di bahagian timur laut. 

Pelaksanaan inisiatif ini akan dibuat secara berperingkat, seiring dengan penyelesaian projek pembangunan baru di Punggol.

Terletak di tengah-tengah kawasan taman perniagaan Kawasan Digital Punggol, pusat tukaran bas itu akan menjadi Hab Pengangkutan Bersepadu (ITH) ke-15 di Singapura.

ITH merupakan pusat tukaran bas berhawa dingin sepenuhnya yang dihubungkan dengan stesen MRT dan pusat beli-belah berdekatan.

Pusat tukaran bas baru itu akan dikendalikan oleh Go-Ahead Singapore, yang turut mengendalikan Pusat Tukaran Bas Punggol dan ITH Pasir Ris yang baru dibuka.

Menurut LTA, pengendali bas mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan pusat tukaran baru ini.

Dengan sokongan pihak berkuasa, pengendali bas akan membuat pemantauan teliti pada operasi mereka di pusat tukaran itu, dan membuat penyesuaian yang diperlukan.

Sementara itu, penumpang boleh mendapatkan maklumat mengenai lanjutan perkhidmatan 34 dan 117 di hentian bas berkaitan, terminal bas, serta dalam talian.

Menurut LTA, pusat tukaran bas baru ini direka dengan mempertimbangkan keperluan para penumpang. 

Ia dilengkapi kemudahan seperti tandas mesra kerusi roda, bilik penjagaan bayi dan bilik rehat bagi penumpang yang memerlukan ruang yang tenang dan selesa.

Semua pintu masuk ke pusat tukaran itu bebas halangan, dan terdapat zon barisan keutamaan yang disediakan dengan tempat duduk di keempat-empat kawasan menaiki bas.

Ia turut menampilkan ciri penjimatan tenaga seperti lampu LED, sistem penyaman udara cekap tenaga, paip jimat air dan lampu dengan sensor pergerakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg