Singapore Airlines (SIA) kini menawarkan akses lebih luas ke seluruh Amerika Syarikat melalui kerjasama strategik dengan Southwest Airlines.

Perkongsian ini membolehkan penumpang merentasi hampir 120 destinasi di Amerika dengan satu tiket tunggal.

Kerjasama yang diumumkan Southwest Airlines pada 8 Jun ini menghubungkan rangkaian kedua-dua syarikat penerbangan tersebut melalui transit di Los Angeles, Seattle-Tacoma dan San Francisco.

Tiket boleh ditempah menerusi laman web SIA, ejen pelancongan, atau pusat tempahan syarikat itu.

Menerusi langkah ini, SIA menyertai tujuh syarikat penerbangan antarabangsa lain yang telah bekerjasama dengan Southwest Airlines untuk menghubungkan destinasi di Asia, Eropah, Timur Tengah, dan Afrika.

Antara rakan kongsi sedia ada termasuk China Airlines, All Nippon Airways, Icelandair, dan Turkish Airlines.