Mulai 1 November, penumpang pesawat syarikat Penerbangan Singapura (SIA) perlu menggunakan lebih banyak mata ganjaran KrisFlyer untuk menebus tiket penerbangan atau menaik taraf tempat duduk bagi penerbangan tertentu.
Tetapi mereka akan mempunyai pilihan penebusan baru – dipanggil Access – untuk mendapatkan tempat duduk dalam penerbangan pilihan mereka, menggunakan mata ganjaran tersebut.
SIA mengumumkan program mata ganjaran KrisFlyer pada 25 Ogos, termasuk cara baru memperoleh mata ke arah meningkatkan tahap status seseorang dalam program tersebut, lapor The Straits Times.
Mata ganjaran yang diperlukan untuk menebus atau menaik taraf beberapa jenis penerbangan akan dinaikkan antara 5 dengan 20 peratus mulai 1 November.
Namun, bagi Eropah dan Amerika Syarikat, kadarnya meningkat sebanyak 5 peratus bagi semua kelas kabin.
Bagi Afrika, Timur Tengah dan Turkey, kadarnya meningkat 10 peratus kepada 20 peratus
Sementara bagi Asia, barat daya Pasifik pula, kadar untuk kelas perniagaan dan pertama/suite meningkat 5 peratus
Kadar ganjaran kelebihan pula merangkumi semua zon dan kelas kabin – kecuali Afrika, Timur Tengah dan Turkey – akan naik sebanyak 10 peratus kepada 15 peratus.
Bagi ketiga-tiga destinasi itu, kadarnya dinaikkan 5 peratus untuk penerbangan ekonomi; 18 peratus (kelas perniagaan); dan 15 peratus (kelas pertama).
Namun, penumpang boleh berjimat apabila terbang dalam Asia dan barat daya Pasifik di bawah tahap ganjaran Penjimatan Ekonomi kerana mata yang diperlukan akan dikurangkan 5 peratus.
Penebusan ganjaran penjimatan biasanya memerlukan kurang mata berbanding penebusan menerusi kadar ganjaran kelebihan.
Tempahan penebusan tiket yang disahkan sebelum 1 November tetap berdasarkan kadar semasa, kata SIA.
Perubahan itu adalah bagi penerbangan SIA, Star Alliance dan syarikat penerbangan rakan kongsi.
Ia merupakan pelarasan pertama sejak Julai 2022, kata SIA.
Penebusan lebih tinggi itu disebabkan kos syarikat penerbangan yang lebih tinggi, tambahnya.
Di samping itu, mulai 1 November, SIA akan memperkenalkan Access, pilihan penebusan baru yang memberi lebih banyak peluang kepada anggota menggunakan mata ganjaran bagi mendapatkan tempat duduk pilihan.
“Keperluan mata ganjaran akan berbeza berdasarkan permintaan untuk tempat duduk dan mungkin berbeza sepanjang tahun,” kata SIA.
Mulai 1 September, anggota KrisFlyer boleh meraih mata untuk menaik taraf atau mengekalkan status mereka dengan membeli-belah dan menjamu selera di Singapura dan Australia melalui aplikasi ganjaran gaya hidup SIA Kris+.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg