Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis guna alat penguji nafas baru kesan pandu mabuk

Sep 21, 2025 | 1:36 PM
pemandu mabuk. alat kesan pemandu mabuk
Seorang pegawai polis menerangkan hasil ujian nafas kepada lelaki berusia 43 tahun yang ditangkap atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dalam operasi polis di Chinatown pada 20 September. - Foto ST

Polis sedang menggunakan alat baru yang boleh memberikan hasil ujian serta-merta untuk menguji nafas pemandu yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Alat tersebut, yang boleh dibawa ke sana sini, digelar Penganalisis Bukti Nafas Dalam Tangan (HBEA) dan menurut Polis Trafik, mengeluarkan hasil ujian yang boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah.

Ia telah digunakan dalam operasi ujian sejak 5 September, dengan kerjasama Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

Satu operasi sedemikian diadakan di Chinatown sejurus selepas tengah malam pada 20 September.

Dua pemandu – seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 48 tahun – ditangkap.

Polis telah menghadang trafik di Upper Cross Street – jalan raya empat lorong – berdekatan stesen MRT Chinatown.

Dua yang ditangkap itu antara sekumpulan pemandu yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan diarahkan ke tempat yang disediakan untuk menjalani ujian nafas menggunakan alat penganalisis nafas (HBA) berwarna kuning.

Mengikut undang-undang, nafas pemandu tidak boleh melebihi had kandungan alkohol maksimum yang dibenarkan, iaitu 35 mikrogram alkohol bagi setiap 100 mililiter nafas, atau 80 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah.

Buat masa ini, pemandu yang gagal ujian HBA akan ditangkap dan dihantar menjalani ujian kedua menggunakan alat lebih berat dan besar yang diberi nama mesin penganalisis bukti nafas.

Semasa operasi ujian sejak 5 September, pemandu yang gagal ujian HBA ditangkap dan diberikan ujian HBEA di tempat yang sama.

Saiz alat HBEA serupa saiz HBA dan ia dihubungkan dengan alat pencetak kecil dan papan kekunci.

Pemandu perlu menggunakan straw dan meniup ke dalam HBEA.

Hasil analisis nafas boleh diperolehi dalam masa beberapa minit.

Mengenakan ujian di tempat yang sama memastikan ukuran alkohol dalam nafas diperolehi sebelum kandungan alkohol berkurangan.

Pada 20 September, pemandu pertama yang gagal ujian HBEA ialah lelaki berusia 43 tahun, diikuti wanita berusia 48 tahun yang sedang membawa penumpang wanita.

Kededua pemandu diberi keterangan mengenai hasil ujian masing-masing sebelum digari dan dibawa pergi.

Ketua Operasi Polis Trafik, Superintenden Muhammad Firdaus Abdul Raub, 39 tahun berkata:

“Ujian HBEA bertujuan meningkatkan kecekapan operasi kami dengan membenarkan pegawai kami menjalankan ujian tepat di lokasi dan menghapuskan keperluan mengenakan ujian nafas kedua. Keputusan ujian ini boleh digunakan dalam prosiding undang-undang”.

Dalam tempoh Januari hingga Julai 2025, jumlah orang yang ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk telah meningkat 6.6 peratus daripada 960 kepada 1,023 berbanding tempoh sama pada 2024.

Dalam tempoh enam bulan pertama 2025, kemalangan berhubung insiden memandu dalam keadaan mabuk berkurangan daripada 92 kes kepada 75 kes, dengan jumlah kemalangan membawa maut berhubung insiden sedemikian berkurangan daripada sembilan kes kepada empat kes.

Mereka yang disabit kesalahan memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan hukuman denda antara $2,000 dengan $10,000, penjara sehingga 12 bulan atau kededuanya sekali.

Pesalah berulang boleh dihukum denda antara $5,000 dengan $20,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Lesen memandu pesalah bagi semua jenis kenderaan juga boleh ditarik balik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg