Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha pekerja pengangkutan awam utamakan keselamatan penumpang dirai

Aug 22, 2025 | 5:39 PM
(Dari kiri) Encik Lee Chee Chong, Encik Natheniel Saw, Encik Mohamad Asraf Mohamad, dan Encik Nor Elly Putra Abdullah, ialah antara kira-kira 450 pekerja pengangkutan awam yang diiktiraf semasa majlis Anugerah Keselamatan dan Kesejahteraan Pengangkutan Awam pada 22 Ogos, atas usaha mereka dalam memastikan keselamatan rangkaian pengangkutan awam Singapura.
(Dari kiri) Encik Lee Chee Chong, Encik Natheniel Saw, Encik Mohamad Asraf Mohamad, dan Encik Nor Elly Putra Abdullah, ialah antara kira-kira 450 pekerja pengangkutan awam yang diiktiraf semasa majlis Anugerah Keselamatan dan Kesejahteraan Pengangkutan Awam pada 22 Ogos, atas usaha mereka dalam memastikan keselamatan rangkaian pengangkutan awam Singapura. - Foto ZAOBAO

Apabila seorang lelaki menolak seorang wanita dan anak perempuannya di pintu masuk stesen MRT Commonwealth, dua pekerja SMRT Trains, Encik Nor Elly Putra Abdullah, 23 tahun, dan Encik Mohamad Asraf Mohamad, 46 tahun, segera tampil membantu mangsa.

Mereka menenangkan wanita itu dan anaknya, serta merawat bibir kanak-kanak perempuan tersebut yang cedera.

“Kami benar-benar terkejut apabila melihat budak kecil itu terjatuh. Tidak ada lelaki yang sepatutnya mengasari seorang wanita. Itu memang salah,” kata Encik Putra.

Dua lagi rakan sekerja mereka, Encik Karthikesan Nagiah dan Encik Balrin Singh, turut membantu.

Encik Karthikesan mengejar lelaki itu sebelum membawanya kembali ke stesen, manakala Encik Singh pula menghubungi polis.

Atas keberanian dan tindakan pantas itu, keempat-empat mereka menerima Anugerah Pujian Khas di majlis Anugerah Keselamatan dan Kesejahteraan Pengangkutan Awam yang diadakan pada 22 Ogos.

Sekitar 450 penerima anugerah hadir dalam majlis itu, yang dianjurkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), untuk mengiktiraf usaha para pekerja dan pengendali pengangkutan awam dalam memastikan keselamatan rangkaian pengangkutan awam Singapura.

Encik Putra, Encik Asraf, Encik Karthikesan, dan Encik Singh, ialah antara 58 penerima Anugerah Pujian Khas.

Seorang pemandu bas SBS Transit, Encik Lee Chee Chong, 53 tahun, turut menerima anugerah itu selepas beliau menyelamatkan seorang murid sekolah rendah yang dilihat berjalan seorang diri di lorong masuk Ekspreswe Tampines (TPE) ketika memandu bas 168 pada pagi suatu hari.

Encik Lee, yang sudah 10 tahun bertugas sebagai pemandu bas, segera menghentikan basnya di hadapan lintasan jalan raya sewaktu lampu isyarat merah, lalu menyeberang untuk membawa budak lelaki itu ke tempat selamat.

Difahamkan murid itu telah ketinggalan bas sekolahnya dan cuba berjalan kaki ke sekolah rendahnya di Sengkang.

Sementara itu, kategori Anugerah Bintang diberikan kepada mereka yang berjaya membangunkan alat baru bagi meningkatkan keselamatan pengangkutan awam.

Salah seorang penerimanya ialah pengurus kanan perkhidmatan teknikal di Tower Transit Singapore, Encik Natheniel Saw, 45 tahun.

Beliau membantu menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan sistem kamera 360 darjah sedia ada untuk memberi amaran kepada pemandu bas tentang potensi bahaya.

Ciri itu bertindak sebagai ‘mata ketiga’ untuk pemandu bas dan sedang diuji pada 47 bas Tower Transit. Ia memberi amaran bersuara tentang blind spot atau titik buta, iaitu kawasan di sekeliling kenderaan yang tidak boleh dilihat oleh pemandu, serta kenderaan yang menghampiri.

Berucap dalam majlis anugerah itu yang diadakan di HomeTeamNS Khatib pada 22 Ogos, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, menekankan kepentingan keselamatan penumpang.

Beliau turut menyebut beberapa kejadian pengangkutan awam di luar negara, termasuk kemalangan di Jerman melibatkan sebuah kereta api yang meragut tiga nyawa, serta sebuah kereta api menuju ke Bangkok yang terkeluar dari landasan.

Cik Sun memuji pekerja pengangkutan awam Singapura kerana sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang, termasuk memastikan mereka dapat turun dengan selamat apabila berlaku kerosakan MRT.

Beliau menambah, pemandu bas juga memastikan keselamatan penumpang walaupun perlu menepati jadual ketat, khususnya dengan memastikan warga emas atau penumpang yang lemah sudah duduk sebelum bas bergerak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg