Pemandu Porsche 911 Carrera berwarna biru yang terkorban dalam nahas di Nicoll Highway pada 2 Mac adalah Encik Jeffery Loh Chong Hao, yang berusia 37 tahun.
Encik Loh merupakan pengarah dan salah seorang daripada tiga pemegang saham Chee Song Foods, syarikat yang terkenal dengan produk daging halal dan dijual di bawah jenama CS Foods di pasar raya.
Beliau juga merupakan penasihat kewangan berlesen dengan AIA Singapore sehingga 2020, lapor The Straits Times (ST)
Kereta tersebut dibeli pada Mei 2021 dan didaftarkan atas nama Chee Song Foods, menurut rekod Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Menurut profil LinkedIn Encik Loh, beliau belajar dalam bidang perbankan dan kewangan di Institut Pengurusan Singapura (SIM) di bawah Program Antarabangsa Universiti London.
Seorang rakan perniagaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Koh, memberitahu ST bahawa beliau terkejut apabila melihat video kemalangan itu dan mengenali kereta Encik Loh.
Rakan sekerja Encik Loh enggan memberi sebarang komen ketika ST mengunjungi pejabat Chee Song Foods pada 3 Mac.
Di rumah Encik Loh, seorang anggota keluarga memberitahu ST mereka tidak merancang mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.
Encik Koh menggambarkan Encik Loh, yang belum berkahwin, sebagai individu rajin dan berdedikasi terhadap kerjanya.
Kemalangan maut itu berlaku di Nicoll Highway menghala ke Guillemard Road.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis dimaklumkan mengenai kereta yang terbakar di laluan keluar sebelum pintu masuk Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (KPE) pada 2.10 petang.
Rakaman kamera papan pemuka yang tersebar dalam talian menunjukkan Porsche biru memecut di laluan paling kanan Nicoll Highway.
Kereta itu hilang kawalan, berpusing dari kanan ke kiri, dan melanggar pembahagi jalan sebelum pintu masuk KPE.
Kereta itu terbalik dan merempuh beberapa kereta sebelum meletup dan terbakar.
Pasukan bomba dari SCDF berjaya memadamkan api, namun Encik Loh ditemui di dalam kereta yang terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai SCDF memeriksa tujuh individu dari kereta lain yang terlibat dalam kemalangan itu, dan membawa dua lelaki berumur 53 dan 66 tahun ke Hospital Tan Tock Seng.
Polis dan SCDF sedang menjalankan siasatan mengenai kemalangan dan punca kebakaran tersebut.
Pada Februari, Polis Trafik mengeluarkan statistik yang menunjukkan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan lalu lintas mencapai tahap tertinggi dalam tempoh lima tahun pada 2024, dengan memandu laju menyumbang kepada satu daripada tiga nahas maut.
Jumlah kesalahan memandu laju pada 2024 meningkat sebanyak 64.8 peratus berbanding 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg