Seorang pengarah di Kementerian Pengangkutan (MOT) telah meletak jawatan dan mungkin bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Hari terakhir Encik Foo Cexiang adalah pada 1 April, menurut The Straits Times (ST).
Encik Foo mengawasi mobiliti peribadi dan masa depan di MOT, termasuk dasar kenderaan elektrik, dan telah berkhidmat selama lebih daripada sedekad.
Sebelum ini, beliau adalah Pengarah Masa Depan dan Transformasi di MOT.
Beliau pernah berucap pada persidangan perubahan iklim 2022 (COP27) mengenai usaha Singapura untuk menggalak pengangkutan awam dan usaha untuk bergerak ke arah ekosistem elektrik.
Encik Foo, 40 tahun, memulakan kerjayanya di JTC Corporation dan telah berkhidmat di Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Ini susulan peletakan jawatan pegawai awam lain, iaitu Timbalan Setiausaha (Dasar), Cik Jasmin Lau dari Kementerian Kesihatan (MOH), yang juga bersara pada 1 April.
Cik Lau berkhidmat di MOH dari 2013 hingga 2019, dengan tumpuan kepada kewangan penjagaan kesihatan dan pengawalan insurans perubatan serta penjagaan jangka panjang.
Beliau kembali ke MOH pada November 2021 selepas berkhidmat di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Cik Lau menyelia tenaga kerja, pembiayaan dan langkah pengawalan dalam sistem penjagaan kesihatan.
Encik Foo dan Cik Lau antara yang pertama daripada beberapa peletakan jawatan dijangka berlaku dalam perkhidmatan awam menjelang pilihan raya umum, yang dijangka pada pertengahan tahun selepas laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) secara tradisional memilih pemimpin perkhidmatan awam sebagai calon, dan mereka yang terpilih biasanya meletak jawatan sebelum pilihan raya kerana tidak dibenarkan terlibat dalam kegiatan politik semasa bertugas.
Dahulu, pegawai awam sering meletak jawatan menjelang permulaan kempen pilihan raya.
Pada Pilihan Raya Umum 2020, Anggota Parlimen GRC East Coast, Encik Tan Kiat How, yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif Penguasa Pembangunan Media (MDA), meletak jawatan pada 20 Jun. Peletakan jawatannya diumumkan lima hari lebih awal.
Encik Tan, yang kini Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), merupakan salah satu peletakan jawatan terakhir dari perkhidmatan awam tahun itu.
Encik Desmond Tan, yang sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Rakyat (PA), meninggalkan perkhidmatan awam hampir sebulan sebelum Hari Pengundian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg