Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengasas badan bantu pesakit ginjal Islam disertakan dalam Dewan Kemasyhuran India Singapura

Ameerali Abdeali juga aktif dalam usaha pupuk keharmonian silang agama
Sep 29, 2025 | 7:41 PM
Ameerali Abdeali, IHFS
Pengasas dan Presiden Kehormat Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Encik Ameerali Abdeali, merupakan antara 16 individu yang diiktiraf dan disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Kaum India (IHFS) di Raffles Town Club pada 21 September. - Foto BH oleh KHALID BABA

Encik Ameerali Abdeali, 74 tahun, bangga dengan keharmonian agama di Singapura dan percaya terdapat banyak faedah dalam memahami dan menghormati agama yang berbeza.

Pengalaman menyaksikan tragedi rusuhan kaum pada 1960-an ketika remaja, serta dikelilingi tokoh masyarakat yang menitikberatkan keharmonian antara agama seperti Habib Hassan Al-Attas, mendorong beliau menyertai Pertubuhan Antara Agama (IRO) pada 1996 dan berkhidmat hampir 30 tahun.

“Pada era 1950-an dan 1960-an, kami tidak bercampur. Kami menghormati satu sama lain tetapi enggan berinteraksi.

“Selepas tragedi 11 September 2001, kami sedar perlunya mengenali satu sama lain dan membina kepercayaan untuk mengelakkan fitnah yang mampu menghancurkan keharmonian,” kongsi Encik Ameerali kepada Berita Harian (BH) di Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC) di Telok Kurau.

Beliau “menghargai peluang menyumbang kepada penjalinan keharmonian antara agama” dan mendapati kumpulan agama berbeza di Singapura kini teguh menghadapi serangan, seperti kejadian kiriman bungkusan daging khinzir ke Masjid Al-Istiqamah baru-baru ini.

“Kami telah membina hubungan yang kukuh sehingga tiada agama boleh dimanipulasi untuk membenci agama yang lain… kami akan sentiasa menyokong dan membela satu sama lain,” kata Encik Ameerali, yang juga Pengasas dan Presiden Kehormat MKAC.

Beliau turut mengimbas kembali langkah menganjurkan dialog besar-besaran untuk pemimpin agama dari Singapura dan China pada 2009.

“Kami bekerja keras selama setahun untuk melaksanakannya dan saya gembira lebih 1,000 orang dapat peluang mendalami dan memahami agama lain serta mengeratkan hubungan,” kongsi Encik Ameerali.

Atas sumbangannya dalam memupuk keharmonian agama dan kerja kemasyarakatan, Encik Abdeali merupakan antara 16 individu yang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran India Singapura (IHFS) sewaktu majlis pengiktirafan pada 21 September di Raffles Town Club.

Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, turut hadir selaku tetamu terhormat pada majlis pengiktirafan tersebut.

IHFS dilancarkan pada 2019 untuk menghargai warga India Singapura yang telah memberi sumbangan cemerlang dalam pelbagai bidang, termasuk diplomasi, ekonomi, sukan dan khidmat kepada masyarakat.

Majlis pada 2025 merupakan edisi keempat sejak 2020. Acara pengiktirafan kali ini diadakan lebih awal setahun pada 2025 untuk meraikan ulang tahun Singapura ke-60.

Setakat ini, 120 individu telah disenaraikan dalam IHFS.

MKAC kini membantu sekitar 280 pesakit dan lebih 1,000 anggota keluarga melalui subsidi bagi rawatan dialisis serta sokongan kebajikan.

Antara sumbangan MKAC ialah menyediakan data kepada jawatankuasa fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi menyokong persetujuan pendermaan organ.

Usaha itu membuka jalan kepada penglibatan umat Islam di bawah Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota).

Beliau juga berkhidmat di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) lebih daripada 30 tahun dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf perlindungan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Encik Ameerali kekal sebagai suara aktif dan dihormati dalam memperjuangkan keselamatan di tempat kerja, berkongsi pengetahuan dan membimbing generasi penyokong keselamatan seterusnya selaku presiden kehormat Penyelarasan Keselamatan Nasional (NSCS).

Beliau turut diiktiraf dengan Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) pada 2002 setelah meninggalkan MOM dan menerima Pingat Bakti Masyarakat pada 2004 atas sumbangannya dalam Jawatankuasa Perundingan Rakyat Pasir Ris.

Encik Ameerali berharap pengiktirafannya dalam IHFS dapat menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya amat berbesar hati dan rendah hati, dan saya harap pengiktirafan seperti ini dapat menjadi dorongan untuk kita bekerja lebih keras serta tidak leka dengan kejayaan silam,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg