Kesungguhan Encik Koh Seng Choon dalam membantu golongan memerlukan sangat luar biasa.
Pada 2010, beliau menubuhkan perusahaan sosial, Dignity Kitchen – sebuah pusat gerai makanan yang menyediakan pekerjaan dan latihan untuk golongan berkeperluan khas.
Namun, beliau menghadapi kerugian harian sebanyak $1,000 sepanjang empat tahun pertama ia ditubuhkan.
Untuk mengatasi kerugian itu, dan pada masa yang sama, membesarkan dua anak lelaki remaja, Encik Koh menggalas lima pekerjaan berbeza, termasuk dalam bidang pendidikan, perundingan dan audit.
Kerja kerasnya berhasil kerana kini Dignity Kitchen bukan sekadar tempat menjual makanan, bahkan juga pusat latihan yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 200 individu kurang upaya serta melatih lebih 2,000 individu memerlukan dalam sektor makanan dan minuman (F&B), hospitaliti dan runcit.
Sumbangan Encik Koh, 65 tahun, mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Tokoh Singapura 2024 The Straits Times (ST).
Beliau menerima anugerah tersebut daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang juga Penaung Anugerah Tokoh Singapura, dalam satu majlis yang diadakan di Istana pada 24 Februari.
Dalam ucapan pada majlis anugerah tersebut, Tuan Presiden memuji setiap finalis pada 2024, seperti mereka yang terdahulu, memiliki kekuatan dan keyakinan luar biasa.
“Setiap finalis tahun ini (2024), seperti mereka yang terdahulu, memiliki sesuatu yang luar biasa dalam diri mereka – kekuatan dan keyakinan yang luar biasa.
“Mereka juga memberi inspirasi kepada orang lain untuk menambahkan tujuan dalam kehidupan kita.
“Kerana itulah sebenarnya kekuatan negara kita – kekuatan dan tujuan yang kita salurkan ke dalam kehidupan sesama kita,” kongsi Tuan Presiden.
Meskipun premis Dignity Kitchen di Boon Keng Road musnah dalam kebakaran pada Februari 2024, semangat Encik Koh tidak luntur.
Beliau terus melancarkan Dignity Kitchenette pada Oktober 2024, sebuah rangkaian kiosk makanan yang menyediakan peluang latihan dan pekerjaan bagi individu yang menghidap dementia peringkat awal, masalah mental, atau mereka yang sedang pulih daripada barah, untuk membantu mereka kembali ke dunia pekerjaan.
Anugerah Tokoh Singapura, dianjurkan oleh ST dan disampaikan oleh UBS Singapore, diberikan setiap tahun kepada individu atau kumpulan warga Singapura yang telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Sumbangan itu boleh berupa pencapaian yang mengharumkan nama Singapura di peringkat antarabangsa atau usaha luar biasa dalam memperbaiki kehidupan orang lain dalam masyarakat.
Anugerah itu kini memasuki tahun ke-10.
Antara pemenang sebelum ini termasuk pemenang bersama Cik Ronita Paul dan Cik Geraldine Lee yang mengasaskan Pusat Kanak-Kanak Arc, pusat penjagaan harian pertama di Singapura untuk kanak-kanak yang menghidap barah dan penyakit kritikal pada 2011, dan Encik Anson Ng, seorang pengedar kereta terpakai yang menjadikan misi hidupnya membantu orang tidak dikenalinya yang memerlukan.
Pemenang lain termasuk perenang Joseph Schooling dan ibu bapanya pada 2016 dalam usaha sukan mereka, Cik Siti Noor Mastura, yang bangkit daripada kemiskinan zaman kanak-kanak dan melancarkan dua pertubuhan bukan untung pada 2018, dan barisan hadapan Covid-19 pada 2020 atas pengorbanan peribadi mereka ketika Singapura memerangi pandemik tersebut.
Pada 2024, Encik Koh dicalonkan bersama lapan finalis lain, termasuk atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder; perenang Paralimpik, Yip Pin Xiu; pengasas CaringSG, Dr Lim Hong Huay, yang memberikan sokongan menyeluruh kepada penjaga individu dengan keperluan khas; serta Cik Marlina Yased, yang menubuhkan peti sejuk masyarakat di Lengkok Bahru untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan barangan runcit secara percuma.
Sebagai pemenang, Encik Koh dianugerahkan trofi dan wang tunai sebanyak $20,000, penginapan lima malam di mana-mana hotel global Millennium Hotels and Resorts, serta sepasang tiket kelas perniagaan SIA.
Di samping itu, finalis lain menerima $5,000 setiap seorang dan masing-masing menerima penginapan tiga malam di mana-mana hotel global Millennium Hotels and Resorts dan sepasang tiket kelas ekonomi SIA.
Hadiah wang tunai itu ditaja oleh UBS.
Penaja lain termasuk rakan kongsi syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan rakan kongsi hotel global Millennium Hotels and Resorts.
Editor ST, Encik Jaime Ho, menekankan kepelbagaian para finalis yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat dan memberi sumbangan bermakna kepada negara.
“Individu yang luar biasa ini menunjukkan kepada kita bahawa ukuran sebenar impak bukan terletak pada sumber yang kita miliki, tetapi pada kemurahan hati semangat kita dan keazaman untuk menaikkan orang lain.
“Saya berharap kisah-kisah ini akan terus memberi inspirasi kepada rakyat Singapura untuk mendekati orang lain sambil kami berusaha untuk sentiasa menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang lebih baik dan lebih kuat,” ujar beliau.
Dalam usaha berterusan mengiktiraf rakyat Singapura yang memberi sumbangan kepada masyarakat, beliau turut mengumumkan pelancaran dua anugerah untuk menghargai golongan muda, serta entiti atau individu Singapura yang memberi kesan positif di peringkat antarabangsa.
Pemenang dan finalis akan diumumkan bersama-sama dengan Tokoh Singapura 2025 oleh ST.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg