Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perpustakaan cerita fantasi, cereka sains dibuka di CC Tampines Changkat

Feb 24, 2025 | 4:36 PM
Perpustakaan ‘pop-up’ khas untuk peminat cerita fantasi dan cereka sains NLB terletak di tingkat tiga Kelab Masyarakat Tampines Changkat dan akan beroperasi hingga 22 Februari 2026.
Perpustakaan ‘pop-up’ khas untuk peminat cerita fantasi dan cereka sains NLB terletak di tingkat tiga Kelab Masyarakat Tampines Changkat dan akan beroperasi hingga 22 Februari 2026. - Foto ZAOBAO

Perpustakaan pertama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) khusus untuk peminat cerita fantasi dan cereka sains telah membuka pintunya di Kelab Masyarakat (CC) Tampines Changkat yang dinaik taraf.

Dibuka pada 23 Februari, perpustakaan itu mempunyai koleksi lebih 5,000 buku fantasi dan cereka sains popular, termasuk 500 dalam bahasa Cina, Melayu dan Tamil. 

Untuk memenuhi keperluan pembaca lebih muda, ia juga mempunyai buku koleksi kanak-kanak terdiri daripada hampir 1,000 buku untuk mereka yang berusia 10 hingga 12 tahun, lapor The Straits Times (ST).

Perpustakaan ‘pop-up’ itu terletak di tingkat tiga CC tersebut dan akan beroperasi selama setahun hingga 22 Februari 2026.

CC Tampines Changkat di Tampines Street 11 itu, yang dibuka semula secara rasmi pada 23 Februari, turut menampilkan sebuah gelanggang bola keranjang tertutup, ruang kerja bersama dan anjung baru yang berfungsi sebagai tempat bagi acara masyarakat.

Berucap semasa pelancaran CC yang dinaik taraf itu, Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Desmond Choo, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, berkata ruang tersebut “dibina semula dengan mengambil kira penduduk Tampines”.

CC tersebut ditutup hampir tiga tahun untuk kerja ubah eloknya. Ia tidak menjalani sembarang peningkatan besar selama 35 tahun.

NLB berkata perpustakaan itu direka untuk kelihatan seperti dunia fantasi dan futuristik.

Ia dibuka setiap hari, dari 10 pagi hingga 10 malam, kecuali cuti umum.

NLB akan memantau maklum balas orang ramai dan memberi kemas kini menjelang Februari 2026 sama ada ia akan melanjutkan perpustakaan itu.

Encik Choo memberitahu ST penduduk di sekitar 180 blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Tampines ditanya tentang keinginan mereka bagi CC baru itu, agar ia boleh “direka untuk memenuhi keperluan masyarakat yang kian berubah”.

Pada 23 Februari, beliau memperkenalkan pelbagai inisiatif yang boleh didapati di CC itu, termasuk sarapan di Restoran KNS pada harga $3 mulai 1 Mei dan penajaan 600 kupon makan Burger King bagi keluarga kurang berkemampuan.

Sebuah sudut di CC Tampines Changkat turut menonjolkan inisiatif ‘Do Good’ Tampines Changkat, termasuk peti sejuk masyarakat dan penghantaran barangan runcit untuk golongan memerlukan.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah), meninjau CC Tampines Changkat yang dinaik taraf pada 23 Februari.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah), meninjau CC Tampines Changkat yang dinaik taraf pada 23 Februari. - Foto ZAOBAO

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata program yang dijalankan di lima CC di Tampines membantu lebih 20,000 penduduk dalam setahun.

Sekitar 5,000 penduduk hadir di pembukaan semula CC Tampines Changkat CC.

Sebelum dinaik taraf, suasananya terasa agak ‘berusia’ dan kebanyakan pengunjung terdiri daripada warga emas.

Kini, suasana di CC itu lebih meriah dengan kegiatan yang dijalankan sesuai untuk semua, terutama penduduk lebih muda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg