Pengasas pertubuhan sokong golongan kurang upaya intelek Tokoh S’pura 2025 ST
Pengasas pertubuhan sokong golongan kurang upaya intelek Tokoh S’pura 2025 ST
Pertubuhan Gerakan Happee Hearts tawar khidmat jagaan kesihatan kepada sekitar 500 pesakit dan lebih 1,000 penjaga
Dr Chen Shiling meninggalkan kerjayanya sebagai pakar perubatan pada 2014 untuk menubuhkan badan bukan pemerintah (NGO) yang menawarkan penjagaan kesihatan menyeluruh kepada golongan dewasa yang kurang daya intelektual serta penjaga mereka.
Keputusan tersebut diambil setelah pengalamannya menjaga seorang lelaki berusia 40 tahun dengan Sindrom Down yang enggan meninggalkan rumahnya selama beberapa minggu.
Dengan sokongan Dr Chen dan bantuan keluarga lelaki itu, beliau akhirnya kembali bekerja buat kali pertama selepas dua bulan di rumah.
Sejak itu, pertubuhan yang diberi nama, Gerakan Happee Hearts, yang mempunyai sebuah klinik, IDHealth, telah menawarkan khidmat jagaan kesihatan berdasarkan masyarakat kepada sekitar 500 pesakit dan lebih 1,000 penjaga.
Ia termasuk mendaftar penjaga sebagai pesakit jika mereka mempunyai masalah kesihatan.
Skop klinik itu diluaskan sedekad kemudian, pada 2024, meliputi penduduk yang tinggal di rumah jagaan golongan dewasa yang kurang upaya, dan kini bakal menawarkan pula penjagaan paliatif, penjagaan demensia dan pencegahan kesihatan.
Di atas dedikasi dan sumbangannya selama ini, Dr Chen, 45 tahun, diberi pengiktirafan apabila beliau dinobat pemenang Anugerah Tokoh Singapura 2025 The Straits Times (ST).
Beliau menerima anugerah tersebut daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang juga Penaung Anugerah Tokoh Singapura, dalam satu majlis yang diadakan di Temasek Shophouse, yang terletak di Orchard Road, pada 19 Mac.
Majlis tersebut, yang dianjurkan oleh ST dan disampaikan oleh UBS Singapore, dihadiri sekitar 130 orang.
Mereka termasuk Ketua Editor, Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc), Encik Mark Chay; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), New Life Stories, Cik Saleemah Ismail.
Berucap pada majlis tersebut, Dr Chen menekankan penganugerahan itu menandakan golongan kurang upaya intelek dan autisme serta keluarga mereka, “dilihat dan didengar”.
“Derita, kesedihan dan air mata anda tidak sia-sia dan ia bermakna buat kita semua.
“Kekuatan, daya tahan dan kemampuan anda untuk mencintai dengan penuh semangat walaupun dalam kesakitan benar-benar memberi inspirasi kepada kita semua,” ujar beliau.
Anugerah Tokoh Singapura diberikan setiap tahun kepada individu atau kumpulan warga Singapura yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Sumbangan itu boleh berupa pencapaian yang mengharumkan nama Singapura di peringkat antarabangsa atau usaha luar biasa dalam memperbaiki kehidupan orang lain dalam masyarakat.
Anugerah itu kini memasuki tahun ke-11.
Sejajar dengan edisi kali ini, anugerah tersebut turut memperkenalkan dua kategori baru iaitu Tokoh Muda Singapura 2025 ST dan Tokoh Singapura (Impak Antarabangsa) ST 2025.
Ia dianugerahkan kepada altet gimnastik, Amanda Yap, 17 tahun; dan pengasas Yayasan Operation Hope (OHF), Encik Robert Kee, 77 tahun.
Bagi Dr Chen, pada 2025, beliau pernah dicalonkan bersama tujuh finalis lain, termasuk Encik Darryl Lee, seorang remaja yang sejak umur 16 tahun menjadi Penggerak Balas Pertama Masyarakat dan telah membantu lebih 70 individu dalam situasi kecemasan; Encik Robert Sim, yang secara sukarela menyunting lebih 79,000 artikel di Wikipedia dan menggalakkan orang ramai menyumbang kepada ensiklopedia dalam talian; serta Cik Lydia Susiyanti Sukarbi, yang menubuhkan projek Breakfast Buddy yang menyediakan sarapan percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Sebagai pemenang, Dr Chen dianugerahkan trofi dan wang tunai $20,000, penginapan lima malam di mana-mana hartanah Millennium Hotels and Resorts di seluruh dunia, serta sepasang tiket kelas perniagaan Singapore Airlines (SIA).
Di samping itu, finalis lain menerima sijil, wang tunai sejumlah $5,000 setiap seorang, penginapan tiga malam di mana-mana hotel global Millennium Hotels and Resorts dan sepasang tiket kelas ekonomi SIA.
Hadiah wang tunai itu ditaja oleh UBS.
Penaja lain termasuk rakan kongsi syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan rakan kongsi hotel global Millennium Hotels and Resorts.
Presiden UBS Asia-Pasifik dan Presiden Bersama Pengurusan Kekayaan Global UBS, Encik Iqbal Khan, berkata:
“Pemenang tahun ini (2026) menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila keberanian dan kecemerlangan dipadankan dengan empati.”
“Dipandu oleh rasa tanggungjawab yang mendalam dan usaha berterusan, mereka telah menggunakan kemahiran unik mereka – sama ada dalam bidang penjagaan kesihatan, sukan atau perniagaan – untuk membuat perubahan bermakna, bukan sahaja di Singapura bahkan juga di peringkat antarabangsa.”
Dalam ucapan semasa majlis anugerah tersebut, Editor ST, Encik Jaime Ho, berkata para finalis mewakili pelbagai lapisan masyarakat, mencerminkan yang terbaik dalam kalangan warga Singapura dan bersatu “dalam satu tujuan mendalam”.
“Kisah mereka mengingatkan kita bahawa keberanian bukan tentang satu tindakan besar, tetapi komitmen yang tekal dan berterusan terhadap sesuatu perjuangan melebihi kepentingan diri.
“Anda membuktikan meskipun dalam dunia yang kadangkala rumit dan mencabar, kebaikan, keikhlasan dan tindakan dengan tekad kekal sebagai kekuatan paling berkesan,” kongsi beliau.
Encik Ho juga berkongsi dua daripada finalis Anugerah Tokoh Singapura 2025 ST, Encik Steven Goh dan Encik Ganesh Kumar, turut dicalonkan untuk Anugerah Wira Tanpa Sanjungan (Silent Heroes) Singapura, selain menambah bahawa pencalonan bagi 2026 kini dibuka.

