Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) telah meluluskan secara bersyarat pengambilalihan syarikat pengecas kenderaan elektrik (EV), ChargEco, oleh pesaingnya, SP Mobility, pada 28 Mei.

Kelulusan ini dicapai setelah SP Mobility bersetuju dengan beberapa komitmen utama, terutama untuk tidak menaikkan harga pengecasan EV di tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di kawasan timur.

Kedua-dua syarikat itu merupakan pemenang kontrak bagi pemasangan alat pengecas di tempat letak kereta HDB kawasan timur di bawah projek besar-besaran Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sejak November 2022.

Menurut CCS, sebarang kenaikan harga hanya dibenarkan jika ia disebabkan keperluan pihak pengawal selia atau faktor yang di luar kawalan SP Mobility.

Syarat penting lain ialah jaminan bahawa pemandu EV tidak akan terjejas dari segi akses kepada skim diskaun atau rebat.

Komitmen yang dikemukakan oleh SP Mobility ini akan berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun, dari 28 Mei, menurut pengawal selia itu.

Syarikat itu juga perlu memaklumkan EV-Electric, anak syarikat LTA yang menguruskan pelancaran pengecas EV, mengenai sebarang maklumat mengenai perubahan harga.

Kelulusan bersyarat itu datang selepas CCS menilai maklum balas daripada pihak ketiga dan orang awam berikutan sesi perundingan awam kedua mengenai komitmen SP Mobility, yang berlangsung antara 30 Mac dengan 13 April.

CCCS memutuskan bahawa ikrar SP Mobility itu “mencukupi” bagi melenyapkan kebimbangan persaingan tidak sihat.

Dalam proses penilaian yang bermula dengan rundingan awam pertama pada Januari, kebimbangan utama CCS adalah terhadap penguasaan pasaran di kawasan letak kereta HDB di kawasan timur, walaupun pengambilalihan itu meliputi seluruh Singapura.

Untuk memastikan pematuhan berterusan, CCS berhak melantik pemegang amanah pemantau bebas jika timbul keraguan.

SP Mobility, sebahagian daripada pembekal utiliti dan grid nasional, SP Group; dan ChargEco, usahasama antara Strides Mobility (SMRT) dengan YTL PowerSeraya; adalah syarikat utama dalam pasaran ini.

Berdasarkan data daripada EV-Electric, ChargEco mengendalikan 1,100 pengecas, manakala SP Mobility memiliki 1,575 pengecas.

Terdapat 8,223 tempat pengecasan awam di Singapura yang dikendalikan beberapa penyedia termasuk Charge+, CDG Engie, dan Shell.