Satu kerangka nasional baru diperkenalkan bagi perkhidmatan pengurusan haiwan perosak profesional di Singapura.
Ia bertujuan menggalak amalan kawalan haiwan perosak yang lebih selamat, mesra alam dan berkesan.
Kerangka itu, Kod Amalan untuk Pelaksanaan Perkhidmatan Pengurusan Haiwan Perosak, atau SS721, menggabungkan prinsip pengurusan perosak bersepadu yang mengutamakan pencegahan dan mengurangkan kesan negatif kepada manusia, haiwan dan alam sekitar, lapor The Straits Times (ST).
Langkah yang akan diambil termasuk kawalan biologi, pengubahsuaian habitat, serta penggunaan racun perosak secara berhemah.
Kerangka itu dibangunkan satu kumpulan kerja merangkumi institusi pendidikan dan syarikat penyelesaian pengurusan perosak, yang dipimpin bersama oleh pakar daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Persatuan Pengurusan Haiwan Perosak Singapura (SPMA).
Ia dibangunkan di bawah naungan Majlis Piawaian Singapura dan diawasi Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Dalam satu kenyataan, NEA menyatakan piawaian baru itu menyokong “peralihan daripada rawatan kimia reaktif kepada pendekatan proaktif berasaskan sains”.
Pendekatan itu memberi tumpuan kepada menghapuskan punca serangan dan mengurangkan penggunaan bahan kimia dengan menggalakkan alternatif rendah toksik serta aplikasi yang tepat sasaran.
“Dengan mengatasi punca infestasi, kita dapat kurangkan kebergantungan pada racun perosak, mencapai matlamat pengurusan haiwan perosak dengan kos berkesan, sambil melindungi kesihatan dan alam sekitar,” kata NEA.
Prinsip pengurusan haiwan perosak bersepadu telah membimbing pendekatan kawalan vektor Singapura selama beberapa dekad, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.
Beliau memberi contoh prinsip tersebut melalui, Projek Wolbachia, yang mengawal jumlah nyamuk Aedes dengan melepaskan nyamuk jantan yang dijangkiti bakteria Wolbachia.
Projek Wolbachia telah menyebabkan pengurangan 90 peratus jumlah nyamuk Aedes aegypti dan lebih daripada 70 peratus penurunan risiko denggi di kawasan pelepasan, kata Dr Janil.
“Pengalaman Singapura dengan Projek Wolbachia menunjukkan kaedah kawalan biologi yang inovatif boleh dilaksanakan dengan selamat dan berkesan apabila disokong oleh sains yang kukuh, pembangunan teknologi, dan sokongan masyarakat,” katanya.
Kerangka baru itu akan memberi penekanan lebih besar terhadap pengurusan alam sekitar kerana tempat pembuangan sisa merupakan habitat biasa bagi banyak haiwan perosak, kata Pengarah Kumpulan Institut Kesihatan Alam Sekitar (EHI) NEA, Profesor Madya Ng Lee Ching.
Namun, bahan kimia masih akan digunakan “dengan betul dan berhemah”, terutama dalam kes teruk seperti wabak denggi, kata Profesor Ng.
“Dalam kes wabak denggi, kami mahu menyasarkan nyamuk yang sudah dijangkiti yang mungkin sudah terbang di persekitaran,” katanya.
Presiden SPMA, Encik Clement Tan, berkata persatuan itu akan menggalak anggotanya agar mengamalkannya.
Salah satu cara yang boleh dilakukan syarikat kawalan perosak di sini adalah dengan mengurangkan penggunaan papan gam, katanya.
Papan gam digunakan untuk memerangkap haiwan perosak seperti tikus, tetapi juga telah ditemui memerangkap haiwan liar lain seperti burung.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg