Pengendali bas persiaran Malaysia, Aeroline, yang memberi khidmat perjalanan antara Singapura dengan Malaysia, akan menghentikan sementara semua perjalanannya dari 6 November hingga 5 Disember.
Penggantungan itu diarahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (Apad) kerana pengendali tersebut terus menurunkan penumpang di lokasi lain dan bukan di terminal bas bersepadu, menurut notis di laman web dan halaman media sosial Aeroline pada 1 November.
Penumpang yang telah menempah tiket bagi tempoh tersebut boleh mendapatkan bayaran balik penuh atau menggunakan tiket tersebut untuk tarikh lain, tambah notis tersebut.
Aeroline turut memaklumkan ia sedang membuat rayuan terhadap penggantungan itu, yang mungkin menjejas sebahagian penumpang dari Singapura memandangkan musim cuti sekolah hujung tahun bermula pada 22 November.
“Kami berharap ia memberi pihak kerajaan masa untuk menghargai sumbangan Aeroline kepada masyarakat dengan membolehkan penumpang kami menikmati perjalanan dari satu tempat ke satu tempat dengan lancar dan mudah, seperti yang telah kami lakukan sepanjang 23 tahun lalu,” jelas notis tersebut.
Terminal bas terpusat atau Terminal Bersepadu Selatan terletak hampir 13 kilometer dari pusat bandaraya Kuala Lumpur, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Google Maps, perjalanan dari terminal bas ke pusat bandar menggunakan pengangkutan awam boleh mengambil masa hampir sejam.
Manakala, lokasi yang ditetapkan oleh syarikat bas sebagai titik turun memberi penumpang lebih pilihan mengikut keperluan mereka.
Antara titik turun yang disediakan Aeroline ialah Corus KLCC yang terletak di tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur, serta 1 Utama dan Sunway Pyramid yang terletak di kawasan berbeza di Petaling Jaya.
Ketiga-tiga lokasi ini terkenal di kalangan rakyat Singapura dan popular di kalangan pengunjung.
Namun lokasi tersebut tidak sepatutnya digunakan untuk mengambil dan menurunkan penumpang, menurut notis Apad pada 15 Oktober seperti yang dilihat ST.
Pihak berkuasa berkata amalan sedemikian melanggar syarat permit yang dikeluarkan kepada pengendali, dan mulai 1 November, ia akan melarang mereka daripada mengambil atau menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di Kuala Lumpur yang bukan terminal, termasuk lokasi di Bukit Bintang, Jalan Imbi atau di hadapan Berjaya Times Square.
Kawasan Bukit Bintang merupakan tarikan utama pengunjung di KL, dengan banyak hotel, pusat beli-belah dan kedai makan.
Kegagalan untuk mematuhi boleh mengakibatkan penggantungan atau pengusaha bas dibatalkan permit mereka, katanya.
Aeroline juga menyertakan alamat e-mel berkaitan Apad dalam notisnya, dengan permintaan agar orang ramai turut menghantar rayuan bagi pihak syarikat.
Sementara itu, sebilangan besar warganet di pelbagai platform media sosial bersimpati dengan penggantungan tersebut.
Namun, terdapat segelintir yang melahirkan kekeliruan kerana mendakwa mereka tidak diberitahu tentang penggantungan itu dan hanya menyedari perkara tersebut melalui hantaran media sosial Aeroline.
Para netizen Malaysia di forum Reddit khas untuk rakyat negara itu pula menyuarakan rasa tidak puas hati, dengan salah satu komen menyatakan:
“Ini sungguh menjengkelkan. Orang mahu ke utara (KL), kerajaan suruh pergi ke selatan.”
Pihak ST telah menghubungi Aeroline dan Apad untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg