Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bas Aeroline sambung khidmat S’pura-M’sia

Nov 27, 2025 | 4:49 PM
aeroline, bas persiaran, operasi, singapura, KL
Bas persiaran Aeroline, sebelum ini diarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (Apad) supaya menggantung operasi selama sebulan sehingga 5 Disember kerana mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi yang tidak dibenarkan. - Foto SHIN MIN

Bas persiaran Aeroline, yang memberi khidmat perjalanan antara Singapura dengan Malaysia, telah mendapat kebenaran untuk menyambung operasi mulai 28 November.

Demikian menurut jurucakap Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (Apad) kepada The Straits Times (ST) pada 27 November.

Apad sebelum ini mengarahkan syarikat bas itu menggantung operasi selama sebulan sehingga 5 Disember kerana mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi yang tidak dibenarkan.

Dalam pengumuman di Facebook pada 25 November, Aeroline berkata mereka akan kembali beroperasi lebih awal daripada jadual.

“Kepercayaan anda adalah bentuk sokongan kepada kami ketika bas tidak dapat beroperasi,” kata Aeroline dalam hantaran tersebut.

Pengendali bas itu sebelum ini turut memohon sokongan orang ramai supaya mengemukakan rayuan kepada Apad bagi pihak syarikat, selepas diarahkan agensi itu menghentikan sementara perkhidmatannya mulai 6 November.

Apad memaklumkan pada 2 November bahawa penggantungan operasi Aeroline dibuat selepas syarikat itu didapati mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi yang tidak diluluskan, dalam sekurang-kurangnya tiga kejadian pada Februari, Mei dan Oktober.

“Pihak syarikat telah dinasihatkan dan diberi amaran supaya menukar permit perkhidmatan kepada terminal yang diluluskan (terminal bas berpusat atau Terminal Bersepadu Selatan), namun ia enggan berbuat demikian,” kata Apad dalam kenyataan sebelum ini.

Agensi itu turut memaklumkan mereka telah mengeluarkan tiga surat kepada Aeroline bagi kesalahan yang sama antara 13 Mac dengan 10 Oktober, sebelum syarikat itu akhirnya mengakui kesalahan tersebut dalam satu respons rasmi.

Disebabkan kesalahan berulang, operasi Aeroline digantung selama sebulan pada 21 Oktober, yang berkuat kuasa mulai 6 November, lapor The Straits Times (ST).

Apad berkata langkah itu bertujuan memastikan keselamatan penumpang serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar.

Menurut Google Maps, perjalanan dari terminal bas ke pusat bandar menggunakan pengangkutan awam boleh mengambil masa hampir sejam.

Manakala, lokasi yang ditetapkan Aeroline sebelum ini untuk penumpang turun, memberi mereka (penumpang) pilihan mengikut keperluan mereka – seperti di Corus KLCC yang terletak di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur, serta 1 Utama dan Sunway Pyramid yang terletak di Petaling Jaya. 

Ketiga-tiga lokasi itu terkenal dalam kalangan rakyat Singapura.

Namun, perkhidmatan bas tidak dibenarkan menggunakan lokasi tersebut untuk tujuan mengambil dan menurunkan penumpang, kata Apad dalam satu notis bertarikh 15 Oktober yang dilihat ST.

Aeroline, yang diurus dan dimiliki pengendali Zulco, sebelum ini telah diberi amaran supaya menukar perkhidmatannya ke terminal yang diluluskan.

Semakan di laman web menunjukkan Aeroline sedang menjual tiket bagi perjalanan yang berlepas dari HarbourFront Centre ke Kuala Lumpur pada 28 November, dengan Hotel Corus di ibu negara Malaysia itu sebagai destinasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg