Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengendali BCRS: Pandang serius penipuan, selepas video lelaki imbas bekas sama berulang kali
Pengendali BCRS: Pandang serius penipuan, selepas video lelaki imbas bekas sama berulang kali
Pengendali BCRS: Pandang serius penipuan, selepas video lelaki imbas bekas sama berulang kali
Pengendali Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) menyatakan pada 13 November bahawa ia memandang serius penipuan dan manipulasi sengaja terhadap mesin pemulangan BCRS.
Kenyataan itu dibuat selepas seorang lelaki dirakam memulangkan banyak bekas yang tidak layak dengan mengimbas hanya satu tin yang layak.
BCRS Ltd memberitahu The Straits Times (ST) bahawa ia mengetahui tentang video dalam talian yang menunjukkan lelaki itu memasukkan bekas tidak layak ke dalam mesin selepas mengimbas tin layak yang mempunyai tanda deposit 10 sen.
Ketika ditanya sama ada BCRS Ltd menyiasat kejadian itu, pengendali tersebut memberitahu ST: “Kami tidak dapat mengulas lanjut tentang butiran kes ini.”
Pengendali itu berkata semua mesin dilengkapi log transaksi digital, kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam dan teknologi pengesanan penipuan.
“Kami turut memantau data sepanjang proses pemulangan bagi mengesan corak transaksi mencurigakan. Sebarang unsur penipuan akan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut,” kata pengendali itu.
Video tersebut mula tular sejak 10 November di beberapa platform media sosial, termasuk Facebook dan TikTok.
Lelaki itu dirakam mengimbas kod bar pada satu tin berulang kali sambil memasukkan bekas lain, termasuk tin kemik, daripada beg sampah besar.
BCRS Ltd berkata: “Manipulasi mesin secara sengaja atau tuntutan palsu dipandang serius kerana ia menjejaskan kepercayaan orang ramai yang benar-benar berusaha mengitar semula dan memulangkan bekas dengan betul.
“Sejak itu, kami telah bekerjasama dengan pengendali rangkaian untuk menyelaraskan semula mesin pemulangan BCRS bagi menangani isu ini. Kami juga akan terus memperkukuh langkah perlindungan demi menjaga integriti skim ini.”
Di bawah skim ini, pelanggan membayar tambahan 10 sen bagi setiap minuman dan mendapat balik wang itu melalui EZ-Link atau DBS PayLah! apabila memasukkan bekas minuman terpakai ke dalam mesin pemulangan.
Terdapat sekitar 1,300 mesin sedemikian di seluruh pulau.
Hanya tin dan botol dengan tanda “10-cent SG Return” boleh dimasukkan ke dalam mesin. Sejak 1 Oktober, skim itu beroperasi sepenuhnya dan peruncit hanya dibenarkan menjual minuman berlabel.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberitahu ST bahawa ia memandang serius sebarang penyalahgunaan mesin secara sengaja.
NEA berkata ia sudah mengingatkan BCRS Ltd supaya “mengambil langkah sewajarnya untuk menjaga integriti skim ini dan menangani sebarang penyalahgunaan mesin BCRS secara sengaja”.
“NEA akan terus bekerjasama dengan BCRS Ltd untuk menyemak sistem dan mengukuhkan langkah perlindungan jika perlu, supaya skim ini berfungsi seperti yang dimaksudkan. Kami juga menggesa orang ramai menggunakan mesin BCRS dengan bertanggungjawab,” tambah agensi itu.
BCRS Ltd berkata keutamaannya adalah memastikan sistem kekal berfungsi dengan baik, dipercayai dan adil. Ini termasuk mengesahkan tuntutan bayaran balik serta menyelaraskan rekod transaksi bagi mencegah penipuan, menurut syarat lesen operasinya.
“Kami menghargai keprihatinan orang ramai dan menggalakkan mereka melaporkan sebarang penyalahgunaan mesin BCRS yang disyaki kepada BCRS Ltd. Kami juga menyeru orang ramai menggunakan mesin dengan betul bagi menyokong usaha kitar semula negara,” kata pengendali itu.