Topik diikuti
Pergi ke BHkuNilai sebenar 10 sen dalam usaha galak warga kitar semula
Skim Pemulangan Bekas Minuman anjakan besar dalam pengurusan sisa tempatan
Nilai sebenar 10 sen dalam usaha galak warga kitar semula
Hujung minggu lalu, saya akhirnya membawa satu beg plastik penuh berisi botol dan tin kosong untuk dikitar semula di mesin ‘Return Right’ di bawah Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS).
Bagi setiap botol/tin yang dikembalikan, saya akan mendapat semula 10 sen.
Berapa jumlah yang saya dapat?
Hanya $1.20 saja kerana saya mengumpul 12 bekas minuman ini sepanjang dua minggu sebelumnya.
Bayaran tersebut terus dikreditkan dengan lancar ke akaun DBS PayLah! saya (pengguna juga boleh memilih kad EZ-Link).
Walaupun jumlahnya sedikit, saya rasa seronok dapat menyumbang secara nyata kepada usaha kelestarian alam.
Sebelum ini, saya sudah terbiasa mengasingkan barang ini ke dalam tong biru (bagi barangan boleh dikitar) di estet perumahan.
Namun, bezanya kali ini, usaha tersebut disertakan ganjaran ketara – satu sentuhan kecil yang bertujuan lebih menggalakkan usaha mengitar semula.
Langkah Ubah Tabiat
Skim BCRS yang dikuat kuasa sepenuhnya pada 1 Oktober lalu menandakan anjakan besar dalam pengurusan sisa tempatan.
Di bawah skim ini, semua botol plastik dan tin minuman bersaiz 150ml hingga 3 liter wajib dilekatkan tanda deposit 10 sen berserta kod bar khas.
Pembeli membayar deposit tambahan tersebut semasa membuat pembelian dan menuntutnya semula apabila memasukkan bekas kosong ke dalam mesin ‘Return Right’.
Dari segi logistik, sebanyak 1,070 mesin telah diletakkan di lebih 430 cawangan pasar raya dan peruncit, selain 610 lokasi kelolaan majlis bandaran seperti kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Angka ini disasarkan meningkat kepada 2,000 mesin dalam tempoh setahun.
Hasil awalnya amat memberangsangkan – sehingga 27 September lalu, lebih 48 juta bekas minuman berjaya dikumpulkan, sekali gus menyelamatkan lebih 823 tan sisa daripada dibakar.
Inisiatif ini merupakan usaha baik bagi menanam tabiat mengitar dalam kalangan rakyat Singapura.
Apatah lagi, menurut ZeroWaste SG dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), walaupun sekitar 72 peratus isi rumah melaporkan bahawa mereka mengitar semula, kadar kitar semula domestik sebenar jatuh ke paras terendah iaitu sekitar 11 hingga 12 peratus pada 2024.
Lebih membimbangkan, kadar kitar semula sisa plastik secara keseluruhan hanyalah sekitar 5 peratus.
Masalah ini diburukkan lagi oleh kadar pencemaran tong biru yang mencecah 40 peratus, menyebabkan banyak sisa kitar semula yang bersih akhirnya tercemar dan terpaksa dilupuskan di loji pembakaran.
Mesin BCRS berfungsi memintas masalah ini dengan mengumpul aliran bahan yang bersih di peringkat awal.
Jadikan cara hidup
Bagaimanapun, pelaksanaan BCRS masih boleh diperbaiki.
Meluaskan rangkaian kepada 2,000 mesin BCRS akan menjadikan pemulangan bekas minuman satu tindakan spontan, sama seperti amalan memulangkan dulang makanan di pusat penjaja.
Sasaran meletakkan 90 peratus penduduk HDB dalam lingkungan lima minit berjalan kaki ke mesin pemulangan adalah permulaan baik tetapi capaian ini wajar diperluas ke estet perumahan privet juga agar inisiatif ini benar-benar merangkumi seluruh lapisan masyarakat.
Cabaran terbesar sebenarnya terletak pada komitmen individu.
Tidak semua orang sanggup memperuntukkan ruang di rumah untuk menyimpan bekas terpakai sebelum membawanya ke mesin pemulangan bekas.
Bagi sesetengah pihak, deposit 10 sen belum cukup kuat untuk mencetuskan perubahan tingkah laku.
Pada masa sama, warga emas mungkin perlu bimbingan berterusan untuk menyesuaikan diri dengan sistem bayaran digital.
Memperkenalkan saluran pulangan tambahan – seperti terus ke kad debit ATM atau kad kredit – tentunya akan lebih memudahkan.
Lebih daripada sekadar insentif wang, kitar semula perlu diangkat sebagai sebahagian daripada identiti nasional kita.
Sekolah boleh menganjurkan pertandingan bekas minuman secara berkumpulan dengan hasilnya diderma kepada golongan memerlukan.
Ibu bapa pula boleh mengubah proses ini menjadi aktiviti keluarga yang mendidik selain seronok: ajak anak bersama ke mesin pemulangan dan serahkan pulangan 10 sen itu sebagai duit jajan mereka.
Apabila amalan ini bermula dari rumah, ia tidak lagi dirasakan sebagai satu bebanan.
Contohi negara lain
Jika mahu melihat sejauh mana budaya ini boleh berkembang, kita wajar meneliti amalan di negara yang telah berjaya menjadikan kitar semula sebahagian daripada DNA masyarakat.
Contoh paling dekat adalah di Korea Selatan, yang mencatatkan kadar kitar semula sisa pepejal perbandaran melebihi 60 peratus melalui sistem bayar mengikut jumlah sisa.
Di sana, penduduk diwajibkan membeli beg sampah am rasmi berbayar mengikut saiz, manakala pelupusan bahan kitar semula adalah percuma.
Digabungkan dengan pemantauan ketat serta pengasingan terperinci bagi plastik, kertas, kaca, dan sisa makanan, kitar semula di Korea Selatan bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu norma hidup yang dipantau bersama oleh masyarakat.
Di Jerman pula, kejayaan mereka bertunjang skim deposit pemulangan, Pfand – perkataan Jerman yang bermaksud deposit.
Dilaksanakan sejak 2003, pembeli di Jerman membayar deposit antara 15 sen euro ($0.25) hingga 25 sen euro untuk setiap botol kaca, plastik, atau tin minuman yang dibeli.
Nilai wang cagaran ini hanya diperoleh semula apabila bekas tersebut dipulangkan ke mesin khas di pasar raya.
Disokong oleh rangkaian lebih 135,000 lokasi pemulangan dan pendidikan kelestarian sejak di bangku sekolah, Pfand mencatatkan kadar pemulangan luar biasa mencecah 98.4 peratus.
Disiplin sama turut dilihat di Jepun, dengan budaya kitar semula dibina atas dasar tanggungjawab masyarakat.
Setiap isi rumah wajib membasuh bersih botol, menanggalkan penutup serta label plastiknya secara berasingan.
Singapura mungkin belum sampai ke tahap ketat seperti di Korea Selatan, Jerman, mahupun Jepun.
Namun, ini tidak bermakna kita tidak boleh memupuk piawaian sivik dan disiplin kita sendiri.
Usaha yang besar boleh bermula dengan sesuatu yang mudah.
Setiap kali menghabiskan minuman dalam tin atau botol plastik, jangan terus mencampaknya ke dalam tong sampah.
Bilas seketika, simpan dan kumpul dulu di rumah. Datang hujung minggu, cari mesin BCRS.
Deposit 10 sen mungkin kecil nilainya, namun cukup besar untuk kelestarian alam.
