Pengendali sesetengah permainan go-kart kini tidak lagi perlu memohon permit pemasangan dan operasi berkuat kuasa 2 Januari susulan perubahan peraturan.
Pengecualian itu khusus untuk pengendali go-kart berkuasa bateri yang mempunyai had kelajuan di bawah 6 kilometer sejam (km/j) dan mempunyai komponen mekanikal yang terlindung dengan selamat.
Demikian umum Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada 5 Januari.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dalam hantaran di Facebook pada hari yang sama, menyingkap rayuan yang pernah beliau terima semasa bertugas di Kementerian Pengangkutan.
Rayuan itu daripada beberapa usahawan mengenai keperluan permit bagi go-kart bateri di bawah Akta Keselamatan Permainan Hiburan.
Tanpa mendedahkan butiran rayuan, Encik Chee berkata syarikat tersebut mengendalikan tunggangan berisiko rendah dan berkelajuan rendah untuk kanak-kanak di sebuah pusat beli-belah, dan beliau memahami kebimbangan yang disuarakan.
“Walaupun keselamatan kekal sebagai keutamaan, adalah penting peraturan kami seiring dengan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah dalam industri tunggangan hiburan serta mencerminkan tahap risiko yang berbeza,” katanya, lapor The Straits Times (ST).
Beliau menambah, tidak adil mengenakan piawaian keselamatan yang sama ke atas go-kart berkuasa rendah seperti yang dikenakan ke atas go-kart perlumbaan.
Menurut Encik Chee, beliau menyokong rayuan tersebut dan turut meminta BCA memperkemas proses kelulusan lesen bagi mengurangkan beban kawal selia serta mewujudkan persekitaran mesra perusahaan.
Pengecualian itu, katanya, akan membantu pengendali tunggangan berisiko rendah bertindak lebih pantas terhadap permintaan pasaran, serta menjimatkan kos.
Ini termasuk penjimatan sehingga $5,000 bagi yuran permit pemasangan dan sekitar $2,000 setahun untuk pembaharuan permit operasi.
Menjawab pertanyaan, seorang jurucakap BCA berkata sebelum pengecualian, semua pengendali go-kart perlu mendapatkan permit bagi pemasangan, pengubahsuaian dan operasi, dengan proses kelulusan lazimnya mengambil masa sehingga 30 hari bekerja.
Beliau berkata pengendali go-kart berkelajuan rendah yang tidak dikawal selia BCA tetap perlu menjaga keselamatan dan penyelenggaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif PeopleUp, Encik Chris Tan, berkata syarikatnya berdepan cabaran mematuhi peraturan tersebut ketika menubuhkan VroomTown, sebuah kemudahan pemanduan tertutup untuk kanak-kanak di Marina Square.
Beliau berkata penerapan peraturan secara menyeluruh akan memerlukan ciri keselamatan seperti di litar perlumbaan, sesuatu yang berlebihan bagi go-kart yang bergerak sekitar 5 km/j.
“Tanpa pengecualian ini, kos dan sumber yang diperlukan untuk mematuhi peraturan akan menjadi sangat tinggi,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg