Pengendali kapal pelabuhan elektrik boleh menerima geran sehingga $250,000 bagi mengurangkan kos dan menggalakkan penggunaan awal kapal mesra alam.

Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada 14 Oktober berkata skim dua tahun itu bertujuan merangsang permintaan awal dan menggalakkan pengilang serta penyedia teknologi meningkatkan pelaburan dan keupayaan pengeluaran.

Geran akan dibayar dalam tiga peringkat berdasarkan kuasa bateri, pada kadar $250 bagi setiap kilowatt-jam (kWj).

Had geran bergantung pada saiz kapal, menurut MPA.

Kapal kecil yang membawa sehingga 12 penumpang atau 20 tan kargo layak menerima $150,000, manakala kapal lebih besar sehingga $250,000.

Walaupun bermula pada 1 Januari 2027, skim itu memberi kelayakan kepada kapal elektrik sepenuhnya yang memperoleh lesen antara 14 Oktober 2026 dengan 31 Disember 2028.

MPA menyasarkan sektor kapal pelabuhan, yang mempunyai lebih 1,600 kapal berkuasa diesel, mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Namun, memandangkan kapal lazimnya digunakan lebih 20 tahun, peralihan kepada pilihan yang lebih mesra alam perlu dipercepatkan.

Mulai 2030, semua kapal pelabuhan baharu mesti menggunakan elektrik sepenuhnya, berupaya menggunakan biodiesel tulen B100 daripada sumber boleh diperbaharui, atau serasi dengan bahan api sifar bersih seperti hidrogen.

Menteri Negara Kanan (Undang-undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, berkata “setiap peralihan memerlukan perintis”.

Pada Persidangan Bunkering Antarabangsa Singapura pada 14 Oktober, beliau berkata: “Tanpa pengguna awal, tiada tempahan pertama. Tanpa tempahan, pembekal tidak dapat meningkatkan skala operasi.

“Tanpa peningkatan skala operasi, kos kekal tinggi.”

Persidangan dwitahunan di Resorts World Sentosa itu menghimpunkan lebih 2,000 karyawan maritim dari lebih 60 negara, bertemakan “Melakar Masa Depan Pelbagai Bahan Api yang Berdaya Tahan”.

Encik Murali berkata Singapura tidak mahu bergantung pada satu bahan api memandangkan pilihan masa depan masih belum pasti.

Singapura juga menyediakan prasarana bagi pilihan bahan api yang lain seperti ammonia.

Pada 14 Oktober, MPA dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) melancarkan satu Piawaian Singapura (SSC) baharu serta dua rujukan teknikal bagi ammonia.

Ketua Eksekutif MPA, Encik Ang Wee Keong, berkata piawaian pembekalan bahan api kapal mesti berkembang seiring kepelbagaian bahan api marin.

Piawaian baharu itu akan menyokong peralihan industri dan memperkukuh keupayaan Singapura memenuhi permintaan dunia.