Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranti kren lori baru bagi kurangkan bahaya

Jul 3, 2024 | 6:12 PM
kren lori
Sistem Kawalan Kestabilan adalah peranti yang akan mengesan penggunaan dan lanjutan setiap penstabil kren lori untuk menyekat pergerakan kren. - Foto ZAOBAO

Kejadian kren lori yang terbalik secara tidak sengaja semasa beroperasi dijangka berkurang mulai 2025.

Ini menyusuli langkah apabila kren lori baru di Singapura dilengkapi dengan alat yang memberi amaran kepada pengendali apabila kenderaan menjadi tidak mantap.

Dikenali sebagai Sistem Kawalan Kestabilan (SCS), alat itu akan mengesan penggunaan dan pemanjangan setiap penstabil kren lori.

Ia kemudian mengira dan mengehadkan pengendalian kren dalam zon angkat yang selamat, dan akan mengeluarkan amaran kepada pengendali jika kren lori menjadi tidak mantap.

Mulai 1 Januari 2025, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan mewajibkan kren lori baru yang didaftar dipasang dengan jenis SCS yang diterima, sama ada dipasang di kilang oleh pengeluar kren lori atau dipasang oleh ejen yang diberi kuasa.

Seorang jurucakap MOM memberitahu The Straits Times bahawa terdapat 14 kejadian berbahaya yang melibatkan kren lori antara 2020 dengan 2024, yang mengakibatkan dua kematian.

MOM akan menyediakan geran kepada pemilik kren lori yang ingin memasang sistem tersebut pada kren lori baru dan sedia ada.

Kren lori lama tidak diwajibkan dipasang dengan SCS, tetapi pemilik digalakkan memohon geran melalui laman web kementerian untuk memasang SCS pada kenderaan mereka yang layak.

Geran itu akan tersedia antara kini dengan Mac 2025, dan akan membayar balik sehingga 70 peratus daripada kos yang layak untuk pemasangan SCS pada kren lori yang berusia kurang 17 tahun.

Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menggalakkan pemilik kren lori lama supaya mengambil tawaran geran bagi kenderaan mereka.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah untuk menyokong kontraktor dalam mengamalkan teknologi yang terbukti dapat membantu meningkatkan keselamatan.

“Kami mengakui bahawa pemasangan boleh menyebabkan masa henti untuk lori sedia ada dan meningkatkan kos perniagaan.

“Oleh itu, kami sangat menggalakkan pemilik kren lori sedia ada agar memasang SCS, tetapi ia hanya diwajibkan bagi kren lori yang baru didaftar,” katanya.

Beliau berkongsi demikian semasa acara tahunan Kempen Alam Sekitar, Kesihatan dan Keselamatan Persatuan Kontraktor Singapura di Akademi Penguasa Bangunan dan Binaan di Braddell Road pada 3 Julai.

Menurut MOM, sistem itu adalah teknologi terbukti yang menghapuskan risiko kren lori terbalik

Ia menyatakan bahawa berdasarkan perangkaan, 63 peratus daripada kejadian berbahaya yang berkaitan dengan kren lori dalam dekad lalu dapat dicegah jika kenderaan tersebut dilengkapi dengan SCS.

Pada masa ini, ia terpulang kepada pengendali kren dan pemerhati lain untuk menggunakan pertimbangan dan pengalaman mereka bagi memastikan keselamatan operasi mengangkat.

Kren lori digunakan untuk memuat dan memunggah bahan atau peralatan dan sering digunakan berhampiran kawasan awam.

Kren ini dilengkapi dengan penstabil yang boleh ditarik balik, yang dikenali sebagai outrigger, untuk memastikan kestabilan semasa operasi mengangkat.

Bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, pemanjangan penuh penstabil mungkin tidak dapat dilakukan, dan ini boleh menjejas keselamatan operasi mengangkat dan menimbulkan bahaya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg